Translator

Sunday

Mayat bayi lelaki ditemui dalam beg pakaian di Setapak


KUALA LUMPUR - Mayat bayi lelaki yang telah reput di beberapa bahagian badan ditemui dalam sebuah beg pakaian dekat Surau Al-Falaq, Danau Kota, Setapak di sini hari ini.
  
Mayat bayi itu ditemui kira-kira pukul 9 pagi oleh penuntut wanita sebuah kolej Islam ketika ke surau untuk menyertai aktiviti gotong-royong.
  
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata anggota polis turut menemui sekeping yang ditulis dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
  
"Nota itu menyebut 'Nama saya Mintah, tolong pengurus masjid tolong urus bayi ini'.
  
"Selain itu, sepasang baju kurung kuning, lampin dan seluar panjang warna hitam juga ditemui dalam beg itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Zakaria berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya bayi itu berusia tujuh hari dan meninggal dunia dua hari lepas.
  
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama


Padah potong kiri, penunggang motosikal maut digilis treler


RAWANG – Tindakan seorang penunggang motosikal memotong sebuah treler di bahagian kiri jalan membawa padah apabila dia maut dalam keadaan tragis dengan isi kepalanya terburai dilanggar kenderaan 18 tayar itu, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, warga Pakistan, Zulfiqar Ali dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Rawang menghala ke Country Homes.
Sumber berkata, ketika berada di Jalan Sungai Dua berhadapan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan cuba memotong sebuah treler jenis Nissan yang berada di depannya.
Katanya, tindakan mangsa memotong dari bahagian kiri itu berdepan detik malang apabila dia dikatakan terlanggar konkrit pembahagi bahu jalan.
Menurut sumber,  akibat daripada itu, motosikal ditunggangi terbabas dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.
“Mangsa yang bekerja sebagai penjual tudung tidak sempat bangun menyelamatkan diri menyebabkan kepalanya digilis oleh treler cuba dipotongnya sebelum itu.
“Isi kepala mangsa terburai dilenyek tayar bahagian belakang treler yang membawa muatan batu konkrit sebelum disahkan meninggal dunia serta merta,” katanya.
Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan memberhentikan kenderaan dipandunya sebaik merasakan tayar belakang terangkat.
Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati treler yang terbabit dengan kemalangan tidak mengalami sebarang kerosakan namun motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian kanan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di parah dikepala,” katanya lagi.
Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,  Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262273 atau 03-61262257.

Sumber : Sinar

Nenek 108 tahun minta PM bubar Parlimen segera


DUNGUN – Seorang wanita berusia 108 tahun meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera bubarkan Parlimen bagi membolehkan dia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Halimah Muda, penduduk Rantau Abang di sini berkata, dia bimbang jika Perdana Menteri lewat mengadakan pilihan raya, dia mungkin terlepas peluang untuk mengundi.

"Nenek sudah tua. Sudah 108 tahun. Bila ALLAH nak ambil umur pun kita tak tahu. Tapi apabila dalam umur macam ini, biasanya sudah tak lama. Kerana tu, nenek harap sangat dapat mengundi, mungkin untuk kali penghabisan," katanya.

Halimah, yang dilahirkan pada 1904 mempunyai 12 anak, berpuluh-puluh cucu dan cicit itu berkata, dia tidak ingat bila dia mula mengundi.

"Yang nenek ingat, sudah lebih daripada 10 kali (undi). Pendek kata, setiap kali ada pilihan raya sejak muda dulu, nenek tak pernah ketinggalan," katanya.

Meskipun matanya kabur dan sering sakit, Halimah masih tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Sejak dulu lagi, kalau tak dapat berjalan ke tempat mengundi, ada kereta datang ambil di rumah. Yang penting, nenek tahu di mana tempat nak pangkah. Kertas undi masih boleh nampak," katanya.

Halimah dikesan Umno Bahagian Dungun melalui semakan daftar pemilih dengan kerjasama Sekretariat Teknologi Maklumat Daftar Pemilih Umno Negeri.

Dia menarik perhatian kerana bakal menjadi pengundi tertua di kawasan Parlimen Dungun dan besar mungkin, yang tertua di Malaysia.
Sumber : Sinar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditumbuk


KANGAR - Gara-gara tidak puas hati dengan isu pasar, seorang lelaki yang ada rekod ditahan polis, menumbuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Mat Hassan di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wakil rakyat itu bersama isterinya ketika kejadian berada di Kampung Seberang Tok Pi untuk menziarahi kematian.

Katanya, semasa beliau mahu pulang, datang seorang lelaki berusia 36 tahun, memaklumkan peniaga-peniaga pasar di Kuala Perlis ada mengadu kepadanya bahawa mengenai jumlah pelanggan terjejas semenjak Pasar Burma dibuka.

Menurutnya, Mat Hassan kemudiannya memberitahu lelaki berkenaan agar memaklumkan peniaga-peniaga pasar terbabit supaya datang berbincang mengenai masalah itu dengannya.

Walaupun Adun itu meminta lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada para peniaga, lelaki terbabit masih bercakap mengenai masalah tersebut, tambah beliau.

“Semasa pengadu ingin bergerak pulang suspek masih bising-bising dan tiba-tiba meluru ke arah pengadu dan melepaskan satu tumbukan di muka sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka dan sakit di bawah mata pipi kirinya," kata beliau.
Abdul Rahman memberitahu, semakan mendapati suspek, yang juga seorang nelayan, pernah lima kali ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya di Perlis, lima kali ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas di Batu Gajah serta tangkapan di bawah Seksyen 411 dan 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun katanya, suspek buat masa ini tidak ditahan reman tetapi diambil keterangan untuk siasatan.

Difahamkan, kematian yang diziarahi pengadu dan isteri merupakan emak saudara kepada suspek  yang turut tinggal di kampung yang sama.

Sementara itu, Mat Hassan ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan kes tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sumber : Sinar

Kawan Dajal


Gara-gara tegur jangan terlibat dadah, lelaki mati ditikam
KOTA BHARU - Gara-gara menasihati rakan serumahnya agar tidak terbabit dengan gejala dadah, seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian antara pukul 8 dan 9 pagi itu, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam dengan sebilah pisau yang mengenai jantungnya.
  
"Mangsa mati ketika dalam perjalanan ke klinik di Rantau Panjang," katanya pada sidang media, di sini.
  
Beliau berkata suspek yang berumur 37 tahun menyerah diri di Balai Polis Lubuk Setol, setengah jam selepas kejadian.
  
Katanya polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 sentimeter daripada lelaki itu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
 
Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai rekod membabitkan dadah pada 2002, katanya.
  
Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata insiden berlaku di hadapan kantin di kawasan perlombongan bijih besi kampung berkenaan, selepas mangsa menegur suspek agar tidak terbabit dengan dadah dan berhenti daripada mengganggu  keluarga sendiri.
  
"Suspek baru bekerja di lombong itu dalam tempoh sembilan bulan dan berasal dari Benut, Johor manakala mangsa yang dilahirkan di Kedah kini menetap di Pasir Mas dan tinggal bersama suspek," katanya.
  
Mangsa katanya ditikam dua kali, namun tikaman pertama berjaya dielak sebelum ditikam kali kedua yang tepat ke jantung mangsa.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor