Translator

Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Sunday

Bas PKR Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat lagi


SHAH ALAM - Bas yang digunakan PKR pada program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah kali kedua dalam seminggu ini, kata Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini insiden itu terjadi di Melaka.

"Minggu lepas di Kelantan, kali ini di Melaka. Tindakan samseng makin berani dan biadab!" kata mesej Twitter Anwar hari ini.

Kata beliau, gerombolan dipercayai anggota Pemuda sebuah parti melempar cat merah di bahagian cermin hadapan bas Jelajah Merdeka Rakyat sebaik menghampiri Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Melaka di Kampong Kelubi, Jasin.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dihubungi Sinar Harian Online turut mengesahkan kejadian tersebut.
Bas terbabit diserang di Kota Bharu, Kelantan awal pagi 1 September di hadapan Pasar Siti Khadijah.
Ia dilancarkan oleh PKR pada 31 Ogos sebagai kemudahan untuk menggerakkan Jelajah Merdeka Rakyat.
Dalam kejadian di Kota Bharu, cermin bas tersebut telah dipecahkan dan cat merah disimbah pada bas tersebut.
Bas itu mempunyai 19 tempat duduk, kemudahan wifi, tempat mesyuarat, tandas dan dilengkapi sistem bunyi dan pentas segera.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi berkata, beliau dan Anwar berada dalam bas ketika kejadian.
"Bas disimbah cat dan dibaling dengan botol dan batu ketika bas tiba di kawasan kejadian," kata beliau.
Kata beliau, bas diserang apabila skuad AMK yang berada di kawasan kejadian cuba menghalang beberapa pemuda, dipercayai ahli Umno, cuba menyekat bas daripada meneruskan perjalanan ke tempat majlis.
"Apabila bas mula bergerak selepas kumpulan itu dileraikan ke tepi jalan, kumpulan pemuda itu membuang cat ke arah bas dan baling, dipercayai botol dan batu," kata beliau.
Ketika kejadian ada 10 penumpang termasuk beliau, Anwar dan seorang lagi anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Shamsul Iskandar berkata, pihaknya akan membuat laporan polis esok.
"Saya kenal salah seorang yang berada dalam kumpulan pemuda adalah seorang penghulu. Saya akan dapatkan butiran dan akan dedahkan selepas membuat laporan polis esok," kata beliau lagi.

Sumber : Sinar

Nenek 108 tahun minta PM bubar Parlimen segera


DUNGUN – Seorang wanita berusia 108 tahun meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera bubarkan Parlimen bagi membolehkan dia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Halimah Muda, penduduk Rantau Abang di sini berkata, dia bimbang jika Perdana Menteri lewat mengadakan pilihan raya, dia mungkin terlepas peluang untuk mengundi.

"Nenek sudah tua. Sudah 108 tahun. Bila ALLAH nak ambil umur pun kita tak tahu. Tapi apabila dalam umur macam ini, biasanya sudah tak lama. Kerana tu, nenek harap sangat dapat mengundi, mungkin untuk kali penghabisan," katanya.

Halimah, yang dilahirkan pada 1904 mempunyai 12 anak, berpuluh-puluh cucu dan cicit itu berkata, dia tidak ingat bila dia mula mengundi.

"Yang nenek ingat, sudah lebih daripada 10 kali (undi). Pendek kata, setiap kali ada pilihan raya sejak muda dulu, nenek tak pernah ketinggalan," katanya.

Meskipun matanya kabur dan sering sakit, Halimah masih tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Sejak dulu lagi, kalau tak dapat berjalan ke tempat mengundi, ada kereta datang ambil di rumah. Yang penting, nenek tahu di mana tempat nak pangkah. Kertas undi masih boleh nampak," katanya.

Halimah dikesan Umno Bahagian Dungun melalui semakan daftar pemilih dengan kerjasama Sekretariat Teknologi Maklumat Daftar Pemilih Umno Negeri.

Dia menarik perhatian kerana bakal menjadi pengundi tertua di kawasan Parlimen Dungun dan besar mungkin, yang tertua di Malaysia.
Sumber : Sinar

Friday

PKR kecewa SPRM buka kes Azmin, bebaskan Shahrizat

SHAH ALAM - Dua pemimpin kanan PKR kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - mengisytiharkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersih daripada tuduhan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) manakala kes rasuah 17 tahun lalu Azmin Ali mahu dibuka semula.

"Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC dan penglibatan Shahrizat serta tuduhan terhadap Azmin Ali," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kedua-dua mereka berkata, sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.
"Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

"Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Shahrizat didapati tidak terbabit dalam proses perolehan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), yang dimilki suami dan anaknya.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil hari ini berkata kertas siasatan SPRM dan laporan Pejabat Peguam Negara mendapati Shahrizat tidak terlibat dan kes itu ditutup.

Katanya, Ketua Wanita Umno itu tidak terlibat langsung dalam proses perolehan pinjaman yang dibuat oleh suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang juga pengerusi NFC.
Berikutan isu pinjaman itu, Shahrizat telah meletakkan jawatan menteri berkenaan apabila tempoh beliau sebagai senator tamat pada 8 April lepas.

Suaminya kini menghadapi perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965.
Perbicaraan akan bermula 5 hingga 9 November ini disusuli antara 3 dan 14 Disember ini.

Sumber : Sinar

Azmin Ali tekad 'teruskan perjuangan'

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bertekad untuk meneruskan perjuangan walaupun "harga yang perlu dibayar mahal dan berisiko tinggi"  - dilihat menjawab isu terbaru yang berkaitan dengan kes rasuah 17 tahun lalu yang didedahkan Selasa lalu.

Membalas mesej beberapa pengikutnya berhubung perkembangan semasa, Azmin mendakwa Umno amat terdesak tetapi yakin kebenaran akan tetap ditegakkan.

"Kita bertekad untuk lawan perasuah dan kezaliman Umno," kata beliau dalam satu mesej Twitternya lewat semalam.

KBS mohon maaf konsert K-Pop

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memohon maaf sekiranya persembahan artis dikenali sebagai KPop dari Korea dalam Himpunan Jutaan Belia Ahad lalu, menyinggung perasaan mana-mana pihak di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berjanji pihaknya akan lebih berhati-hati untuk memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak sekiranya mereka tersinggung dengan persembahan K-Pop, yang dikatakan berpakaian kurang sopan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria Selasa lalu, bahawa program belia itu tidak seharusnya dicemari dengan pemilihan artis dari luar negara yang kurang sopan dari segi aksi dan pemakaian.

Ahmad Shabery berkata, beliau menerima dengan baik teguran membina mana-mana pihak mengenai program yang diadakan sempena perhimpunan itu.

Menurutnya, sepanjang program lima hari itu, lebih 500 acara diadakan. “Mungkin ada beberapa acara perlu dilihat kembali. Saya amat terbuka, tetapi banyak perkara lain yang boleh dilihat.

Malah banyak program keagamaan dan modal insan turut diadakan," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Shabery ke Hospital Putrajaya, melawat ketiga-tiga mangsa yang cedera ketika menyaksikan aksi drag, apabila sebuah kereta yang terbabit dalam perlumbaan itu terbabas dan merempuh penonton.

Ahmad Shabery berkata, kesemua mangsa kini berunsur baik dan kementeriannya bersama penganjur sukan itu akan menanggung segala kos perubatan mangsa.

“Perkara ini tidak akan dipanjangkan oleh pihak keluarga dan saya juga meminta agar ia tidak dipolitikkan.

“Kita tidak mahu menuding jari. Perkara sudah berlaku, dan kita akan pastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, salah penonton yang menyaksikan kejadian dan mengalami cedera ringan, Mohd Norizam Mohd Rihani menyatakan, kemalangan itu turut berpunca daripada kecuaian mereka sendiri.

Menurutnya, sebelum perlumbaan itu berlangsung pihak penganjur memberikan amaran, tetapi ia tidak dianggap penting dan dipandang ringan oleh setengah penonton.

Sumber : Metro

PRU13: Peluang 50-50 di tiga negeri

ROMPIN - Seluruh jentera pilihan Pas sudah sedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa sahaja dan kini mereka hanya menanti isyaratnya sahaja.

Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berkata, persediaan parti itu sudah cukup mantap dan turut meramalkan PR mampu merampas beberapa negeri lain jika PRU13 diadakan secara bersih dan adil.

“Pas dah bersedia. Macam biasa, sekadar yang termampu. Kita bukan bergantung kepada kewangan tetapi bergantung kepada semangat ahlinya yang tinggi daripada dulu hingga sekarang.

“Kalau pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil, kita yakin akan dapat semula Perak, kita akan dapat Negeri Sembilan dan Johor pun kita letak dalam keadaan 50-50. Begitu juga dengan perkembangan baik sokongan pengundi terhadap PR di Melaka,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Ceramah Pas di Kampung Pianggu, Rompin, di sini.

Beliau turut yakin sokongan pengundi Melayu kini kembali kepada Pakatan Rakyat terutama selepas beberapa siri kemelut dihadapi Umno kebelakangan ini. “Walaupun kehadiran ceramah tidak menjadi ukuran namun kita dapat anak muda sekarang ini semakin cenderung menyokong PR.

“Saya yakin PRU kali ini akan besar memihak kepada kita,” katanya.

Sumber : Sinar

Wednesday

Tok Guru Nik Aziz VS Dato' Najib

SHAH ALAM – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang minggu lalu menegaskan perhimpunan Bersih 3.0 satu cubaan untuk menggulingkan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di bandar I-City di sini malam, semalam.

“Bila timbul persoalan Bersih yang disebut oleh ketua kerajaan yang pergi Kelantan itu, bahawa Bersih ini nak guling kerajaan yang sah, sah sungguh Kerajaan (Pusat) ini?” soal beliau ketika menyampaikan ucapan dalam majlis itu.

Nik Aziz menjelaskan tindakan mengadakan perhimpunan 28 April lalu bukan untuk menggulingkan kerajaan, sebaliknya menuntut sistem pilihan raya yang telus dan adil.

Beliau yang sebelum ini menggalakkan penyertaan dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan turut mengakui membiaya beberapa peserta menggunakan wang sendiri berkata, kerajaan pusat pimpinan Umno-BN tidak sepatutnya takut terhadap tuntutan himpunan tersebut sekiranya mereka selama ini menang dengan cara yang telus dalam 12 pilihan raya umum lalu.

Ketika berucap di Gua Musang Jumaat lalu, Najib berkata, perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

"Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.  Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir," katanya.

Sehubungan itu, Nik Aziz juga menyentuh soal pengundi hantu dan daftar pemilih, yang turut dipertikaikan oleh pembangkang.

“Datuk Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebut berkali-kali kekalahan kerajaan Pas Terengganu pada pilihan raya dulu (2004) kerana dibawa masuk pengundi luar…
“Bila pengundi luar dimasuk dalam  pilihan raya masa itu, adakah itu sah? Di dunia sah tapi di akhirat masuk neraka,” katanya.

Pada majlis sama turut diadakan lelongan barangan peribadi milik Nik Aziz selain persembahan dikir barat Kumpulan Dikir Barat Warisan Darul Naim.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw; Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Majlis anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan adalah untuk mengutip dana bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sumber : sinar

Saturday

Sebab Hasan dipecat....



Wawancara Hadi tentang Isu Pemecatan Hassan Ali....

Kenyataan Datuk Hasan menjejaskan juga prestasi parti?

HADI: Dalam sehari dua, apabila sudah banyak hari akan terserlahlah langkah kita itu betul. Contohnya, isu berkait dengan Himpunan Sejuta Umat. Kita lihat isu ini banyak benda tidak tepat. Contohnya, orang Melayu masuk Kristian sampai ratus- ratus ribu. Pernah dengar kan?

Bila polis siasat, maklumat itu tidak betul, orang yang disiasat dibebaskan.

Mengapa tiada diambil tindakan?

Kerana ada pelindung dia; kita tahu. Pada kita murtad ini bukan sahaja masuk Kristian, tapi termasuklah hina hukum Islam. Boleh jadi murtad dengan kejahilan dia, berlaku begitu rupa. Menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal.

Jadi, murtad ini luas.

Dan kita nampak isu ini dipolitikkan dan pada PRU 2008 ada yang berhempas-pulas mendapatkan undi Melayu. Rata-rata orang Melayu tak tahu agama kebanyakannya dan mereka sayang pada Islam. Mereka jadikan isu ini untuk tarik undi Melayu, bukan untuk mempertahankan Islam.

Saya pernah bawa usul menangani murtad di Parlimen pada 1998. Mengikut standing order di SAMBUNGAN WAWANCARA HADI AWANG Parlimen, usul bukan kerajaan hendaklah diletakkan di belakang.

Yang kedua, usul seperti ini hendaklah dibawa oleh seorang menteri kerajaan yang boleh disokong, dirujuk kepada standing order. Apabila menteri bawa, ada sokongan.

Setelah ada undi barulah saya bawa usul ini, banyak lapis, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja usul ini.

Tetapi akhir-akhir ini dibawa isu ini dengan Himpunan Sejuta Umat.

Tidak lebih daripada mempolitikkan isu, bukan nak pertahankan akidah dan nak gunakan orang Pas untuk mengerah orang Pas ramai-rami hadir di stadium Shah Alam. Saya tahu ada kalangan yang nak sediakan bas. Apabila kita tahu macam ini, kita kata jangan pergi, Datuk Hasan Ali pergi,  kemudian pergi lagi ke Perak dan buat kenyataan.

Kenyataan ini tidak tepat dengan apa yang kita nak. Memang kita tidak setuju dengan murtad; lawan murtad, tapi Saidina Ali (Abu Talib, Khalifah Islam keempat) berkata, kata-kata yang betul, tetapi tujuannya kebatilan. Atau matlamatnya tak betul.

Tak ada dalam Islam ini, matlamat menghalalkan cara. Matlamat mesti betul, cara mesti betul. Kalau matlamat betul, cara salah, tidak boleh.

Matlamat salah, cara betul, tidak boleh. Dua-dua kena betul. Itu lagi kena faham dan Pas bukan milik siapa, milik organisasi, kumpulan kita.

Pas ini ada Majlis Syura Ulama dilantik dalam Jawatankuasa Pas Pusat empat orang, Dewan Ulama lantik empat orang, Dewan Pemuda dua orang, Dewan Muslimat dua orang kemudian mereka dilantik ini pilih lima orang lagi dalam kalangan ulama yang boleh merujuk dalam bahasa Arab, merujuk kitab-kitab Islam; yang kita ketahui kewibawaan, akademik dan kemampuan.

Kita tahu moral dia konsisten dengan pendirian dan dia boleh buat keputusan, boleh membatalkan keputusan parti, sekiranya bercanggah dengan al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias. Ini jaminan yang ada dalam Pas. Kalau ada ahli parti yang nak buat sendiri, bertindak sendiri, maka kalau dia bercakap sebagai orang Pas, orang kaitkan dengan Pas, jadi lebih baik dia bebas.

Bangunan Umno Hulu Terengganu disimbah dengan cat hijau?

HADI: Saya rasa kita orang Pas tidak buat sampai begitu. Kita ajar orang kita tidak boleh melampaui batas. Kalau ada orang Pas bertindak begitu kita disiplinkan dia kerana Islam ajar kita, kita berlawan dalam perang pun tidak boleh melampaui batas, apa lagi perang melalui demokrasi.

Itu boleh jadi pihak lain yang buat provokasi, boleh jadi belaka.

Dalam politik boleh jadi semua.

Siapa Menteri Besar Terengganu kalau Pas menang dalam PRU13?

HADI: Itu ditentukan parti. Belum tentu saya bertanding di state (negeri).

Kalau bertanding di state pun, belum tentu lagi saya jadi menteri besar. Bahkan di Kelantan, saya bagi contoh; tahun 1959, yang jadi menteri besar Datuk Ishak Bakri. Datuk Asri tidak jadi menteri besar. Lepas tu Ishak jadi Speaker, Datuk Asri jadi menteri besar, dia bukan Pesuruhjaya Pas Kelantan.

Lepas tu Datuk Asri tidak jadi menteri besar walaupun dia pesuruhjaya. Tuan Haji Mat Amin Haji Yakob Almarhum.

Di Terengganu juga pernah begitu, masa Daud Saad Almarhum menteri besar, dia pegang pesuruhjaya.

Yang dilantik ialah diterima rakyat, diterima pegawai pentadbir negeri. Kerana kita nak memerintah negeri ini ada beberapa orang di kalangan tuanku sultan, pegawai tadbir negeri, wakil rakyat, yang keempatnya rakyat. Ini kita mesti lihat penerimaan semua sekali.

Tidak boleh kita nak tentutentukan begitu.

Siapa Perdana Menteri (jika PR menang PRU-13?)

HADI: Pada peringkat ini kita dalam Pas tidak bincang. Di peringkat PR pun tidak bincang. Kita bincang untuk ke Putrajaya dulu. Jadi, macam orang kampung cerita, kambing tak bela lagi, sirih tak tanam lagi. Jadi duk bergaduh nak buat pagar. Yang ni kata nak buat pagar, yang ni kata nak tambat kambing. Apabila tanya mana kambing, tiada kambing lagi.

Mana sirih, tidak tanam lagi pun.

Apabila sampai masa, insya-Allah kita ada orang layak. Macam saya kata dululah, saya tiada dalam agenda menjadi perdana menteri.

Yang penting, kita nak perkasakan Islam. Siapa duduk di atas, saya terima, bahkan saya boleh rehat; balik kampung jadi pembantu sahaja, pergi ke laut, balik jadi nelayan.

Dari segi politik, kepimpinan negara mesti Melayu Islam kerana majoriti adalah orang Melayu. Itu mengikut kaedah politik Islam.

Kalau orang Cina masuk Islam, jumlah mereka besar, mereka ada tokoh, mereka layak jadi pemimpin.

Kita orang Melayu kena terima, kalau India begitu juga.

Jadi realiti hari ini majoriti orang Melayu adalah Islam. DAP sudah terima Islam sebagai agama Persekutuan. Hak istimewa orang Melayu dia terima, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dia terima.

Dalam masa yang sama, agama lain ada hak dia. Bangsa lain yang miskin tidak boleh diabaikan, hak dia untuk mengajar bahasa ibunda tetapi bahasa Melayu jadi bahasa rasmi. Dan kita kena sedar Umno tidak buat benda ini dalam masa 50 tahun lebih. Tidak perkasakan; itu silap dialah. Yang kita silapkan MCA, MIC, silapkan Gerakan; silap Umno sendiri.

Dalam Pas sendiri, kita tidak tolak ansur dan DAP menerima kerana kita tegas dalam masalah ini.

Barangkali saudara-saudari ingat masa tahun 2000 DAP keluar daripada Barisan Alternatif, minta Pas batalkan beberapa agenda Pas, kita tegas; kita tidak berganjak dan DAP keluar dan masuk balik.

Dengan kita tidak berganjak itu menunjukkan kita tidak menggadaikan prinsip kita. Dan kita tidak zalimi rakan- rakan kita.

Dari segi hudud, adakah DAP terima?

HADI: Memang dia orang bukan Islam, tidak terima, tetapi untuk melaksanakannya dia tidak boleh halang kita. Dan dalam konteks Islam kita bukan sahaja tidak boleh paksa orang bukan Islam masuk Islam, tetapi juga termasuk dalam melaksanakan undang-undang.

Dengan sebab itu, dalam undang- undang hudud, qisas dan takzir di Kelantan dan Terengganu, kita buat satu peruntukan orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada mereka menerima Islam atau menerima satu cara yang lain. Kepada saya, saya yakin orang bukan Islam akan terima pada akhirnya.

Jangan kita tanya perompak, tanya mangsanya. Kalau tanya perompak, perompak tak sukalah kena hukum.

Dalam Islam, kalau bunuh hukumnya bunuh. Mungkin Undang-undang barat pun sama hukum membunuh, tetapi kalau ambil harta, kalau perompak kena potong tangan, potong kaki. Kalau tanya Cina-Cina yang kena rompak tu, dia setuju kalau potong tangan, potong kaki.

Kemudian ada teori mengatakan kalau kita laksanakan pada orang Islam, orang Islam jadi kudung, jadi apa, itu tidak betul. Kita kena faham, undang-undang hudud ini undangundang mendidik, bukan menghukum.

Nak hukum payah, mendidik.

Apabila dilaksanakan, orang Melayu, orang Islam jadi moral dia tinggi. Penjenayah tidak banyak.

Orang lainlah penjenayah. Ia akan jadi macam itu. Itu hikmat dia kena faham. Dengan itu kita terima kalau DAP tidak setuju, tak apalah. Yang peliknya Umno kata dia tidak setuju.

Barangkali dia anggap itu hudud ala Pas?

HADI:
Kalau hudud Pas kita muzakarahlah. Kita bincang. Hudud ini ayat Quran, bukan Pas boleh buat.

Pas tidak boleh reka hukum hudud ini.

Percanggahan berhubung pelaksanaan hudud antara Pas dan DAP, bagaimana dineutralisekan?

HADI:
Kita neutralisekan dengan utamakan perkara yang jadi bersama.

Contohnya negara berkebajikan, tolong bela rakyat miskin, tolong rakyat miskin, khidmat pada masyarakat.

Rawatan percuma pendidikan percuma. Ada pendidikan swasta, dengan pengawasan dia, ini semua parti bersetuju, kita utamakan yang ini dulu. Nak laksanakan hudud itu, dia makan masa. Ini boleh dibuat. Contohnya nak hapuskan tol, Pas setuju, DAP setuju. Nak bantu kemudahan makanan kepada rakyat, semua setuju. Ini halal, ini haram, bezalah. DAP boleh makan babi, kita tidak boleh makan babi; memang kita tidak setuju dengan babi, tapi kita
tidak boleh halang DAP.

Datuk Hasan Ali kata negara berkebajikan bercanggah dengan konsep Islam?

HADI:
Ada kenyataan mengenai perkara itu, dia tarik balik, dia minta maaf. Sebab dalam Islam tidak disebut sembahyang Islam, puasa Islam, nikah Islam. Disebut negara, kemudian negara berkebajikan, negara adil, negara ihsan. Itu istilah-istilah yang disebut dalam Quran, tetapi dia merangkumi sekali aspek ini.

Dan saya ada tulis buku, negara berkebajikan, berdasarkan huraian yang saya bentang di muktamar Pas. Dan negara berkebajikan sudah diterima
di muktamar. Bila muktamar terima dia tolak, itu sudah melanggar partilah.

Berkenan hudud dilaksanakan tetapi proses tidak sebagaimana yang diharapkan? Adakah manifesto senasib?

HADI:
Yang pertama, hudud pada undang-undang jenayah sudah diwartakan. Tuanku sudah sain.

Sudah lulus. Yang kedua kita balik pada Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia kata Islam adalah agama Persekutuan. Agama ini, ada dua. Mengikut tafsiran Barat, religion.

Pentafsiran Islam addin. Bila kita sudah merdeka kita kena tafsir mengikut addin, bukan religion. Addin merangkumi segala aspek, cumanya berlaku di Kelantan bila kita lulus di Kelantan, Tun Mahathir, Perdana Menteri pada masa itu, hantar surat kepada Yang Amat Berhormat Tok Guru Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz memberi amaran sekiranya Kelantan melaksanakannya, Kerajaan Pusat akan bertindak. Bagi Terengganu tiada surat itu. Terengganu ada bantahan daripada seorang pimpinan Umno yang bukan pimpinan utama, bawa ke mahkamah, tetapi tarik balik benda itu.

Jadi kita harap, setelah gagalnya undang-undang yang diamalkan hari ini, masalah rompakan, masalah jenayah, ada negeri tidak boleh saya sebut takut malu dia, tiap-tiap hari ada kadar jenayah. Tiap hari, bukan tiap-tiap bulan; sehari ada kes bunuh. Negeri yang jumlah penduduk dia ramai di Malaysia yang gejala sosialnya lebih kerana kemajuan industrinya pesat sampai satu hari satu kes bunuh. Itu polis beritahu saya. Tak payahlah saya dedah negeri mana. Itu bahayanya; itu yang media tidak dedah, yang media dedah pun banyak dah. Walaupun yang buat jenayah itu bukan orang kita, orang luar, pendatang tanpa izin, macam-macam, tetapi kesimpulannya jenayah besar.

Kalau laksanakan undang-undang qisas dan hudud ini saya yakin Tuhan kata ‘Dan bagi kamu hukuman jenayah qisas ini membawa kehidupan’.

Quran mengatakan demikian, maknanya membawa kehidupan, di sini jenayah akan berkurang dan hapusnya kes ini, membawa kehidupan kepada manusia. Yang kita ingat kalau laksana hukuman ini banyak orang kena hukum. Barangkali oleh kerana pencuri 30,000 - 40,000 di seluruh negara dalam masa setahun.

Barangkali banyak tangan kena potong. Kita fikir begitu.

Bila diisytihar sahaja undang-undang ini maka habis takut mencuri, berhenti mencuri. Dia akan jadi macam itu. Di Arab Saudi, masa pemerintahan Kiya ul Aziz, dalam masa 20 tahun, tidak sampai 10 orang kena potong tangan. Mereka yang pergi buat umrah, pergi haji lihat sendiri tempat pengurup wang, sebagai contohnya, tutup dengan kain sahaja.

Pergi sembahyang, tutup dengan kain, orang takut nak mencuri, itu dia punya kehebatan. Yang pentingnya, kehebatan undang-undang; undang-undang itu hebat. Yang ada hari ini undang-undang tidak hebat, orang tidak gerun, penguat kuasa pun orang tidak gerun. Bahkan rumah polis pun dia masuk, rumah ketua polis boleh perompak masuk. Itu menandakan tidak hebat.

Dengan sebab itu, saya rasa tidak timbul terhalang. Kita tengok dululah apabila kita menang kali ini.

Apa akan berlaku, respons daripada Pusat bagaimana, kita tengok.

Ada tak calon wanita di Terengganu?

HADI:
Kita usaha nak tonjolkan calon wanita kerana calon kita ini mesti daripada akar umbi, daripada cawangan-cawangan dan daripada atas. Kalau daripada atas sahaja, respons cawangan tiada, tidak boleh.

Kadang-kadang kita ada tokoh, tapi tokoh tu tempat dia orang tidak kenal kena, bawa tempat lain. Calon lelaki pun begitu. kita nak orang ini, contohnya, Mat Sabu Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu pada 2008, tetapi boleh kalah, walaupun dia seorang tokoh yang besar. Dulu pernah di sini tahun 1950 - 1960 Parlimen Dungun, wanita, Khadijah Sidek. Di sini, pernah orang Johor, bukan Terengganu. Menang di sini, jadi calon wanita. Ini bukan kali pertama.

Dan kita ada calon wanita, kita kemukakan dan saya sebagai ahli Majlis Syura Ulama, semua nama calon dihantar ke Pusat dan ada dua tiga orang wanita di Terengganu. (Penceramah bebas) Ustaz Azhar Idrus?

HADI:
Tidak termasuk.

Nampaknya Pas pun laksanakan calon boleh menang?

HADI:
Calon yang boleh menang yang cukup syarat. Dia mengikut kehendak parti kita, ikut syarat dan boleh menang. Kalau boleh menang sahaja, tapi tidak cukup syarat parti kita, kita tidak beri jadi calon.

Thursday

Tee Keat: Sokongan Cina tenat

Karier politik bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dilihat merudum apabila gagal mengekalkan jawatan sebagai Presiden MCA pada pemilihan Mac 2010. Namun menjelang Pilihanraya Umum ke-13, namanya kembali menjadi sebutan selepas dikaitkan dengan pemimpin kanan pembangkang. Kemunculannya sebagai Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) semakin menguatkan desas desus akan meninggalkan MCA.

Pertemuan bersama Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, Editor kanan, Lailatun Khalilah Nasir, dan wartawan Robiatuladawiyah Abd Rashad serta jurufoto Rosli Talib, membongkar isi hati Ahli Parlimen ini yang terkenal dengan keberaniannya mengkritik parti.


Jatuh bangun dalam politik itu lumrah, namun sebagai seorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam parti, bagaimana Datuk Seri melihat MCA sekarang kerana sokongan kaum Cina dilihat sudah beralih arah kepada parti pembangkang?

TEE KEAT: Soalan ini agak sensitif pada masa sekarang apabila ia menyentuh sokongan kaum Cina khususnya kepada pucuk pimpinan­ MCA.

Pada hemat saya, apa yang mustahak kepada sesebuah parti itu adalah kebolehan entiti parti mengerahkan tenaga dan jentera di peringkat akar umbi. Kedua, berkebolehan untuk mendapat keyakinan khasnya masyarakat yang diperjuangkan hak mereka. Ketiga; sama ada sesebuah parti itu berpandukan nilai perjuangan atau didorongi kepentingan semasa khasnya kepentingan diri.

Dalam hubungan ini, saya nampak MCA , bukan sahaja perlu mengalami satu proses transformasi, yang bukan sahaja terhad kepada strukturnya tetapi pada masa sama memerlukan transformasi hala tuju parti itu sendiri.

Saya tidak kata perjuangan nenek moyang kita tidak relevan lagi, tetapi kita telah masuk ke era serba baru, kita tidak lagi boleh terbelenggu dalam minda yang lama. Adalah perlu untuk kita lebih cenderung memperjuangan isu-isu mikro yang merentasi kaum.


Bercakap soal transformasi, adakah Datuk Seri cuba membuat transformasi dalam MCA?

TEE KEAT: Saya perlu mengakui saya pernah berusaha untuk menjurus ke arah mentransformasikan MCA, tetapi tidak berjaya dan sedia maklum saya terkandas dalam usaha itu. Apa yang saya maksudkan itu mencakupi dalam struktur kepimpinan parti.

Bila saya menyandang jawatan Presiden MCA saya beritizam merompak sistem pemilihan parti iaitu direct election yang mana jawatan tertinggi parti dipilih oleh semua ahli bukanlah dipilih perwakilan sahaja. Itu adalah usaha pembaharuan yang saya cuba bawakan, tetapi malangnya walaupun diterima dalam majlis perhimpuan Agung ia tidak dapat dilaksanakan kerana ada rintangan dalaman. Keadaan ini juga menjadi faktor penyumbang kepada ‘penumbangan saya’, tapi itu sudah berlaku.

Saya lebih suka menyentuh soal nilai perjuangan. Orang selalu bercakap soal perjuangan,­ tetapi perjuangan itu berpandu kepada apa? Apa nilai perjuangan yang dibawa? Misi dan visi bukan hanya kata-kata manis tetapi perlu dijadikan panduan yang dapat dilaksanakan. Kalau berpolitik atau menceburi perjuangan untuk mendapatkan habuan peribadi, perkara itu sudah pasti akan menghancur-leburkan parti.


Selepas pemilihan parti yang lalu, Datuk Seri seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak seiring dengan pucuk pimpinan­ dan terbaru menyertai Amanah. Apakah beza Datuk Seri bersuara menerusi parti dan NGO (Amanah)?

TEE KEAT: Perkara ini perlu dilihat dalam dua sudut, iaitu dari segi penyertaan orang politik dengan NGO dan saya sebagai ahli biasa di dalam MCA tanpa sebarang jawatan yang masih belum pasti berpeluang atau tidak untuk bersuara di dalam parti.

Kalau mengikut persepsi umum wadah parti dan NGO tidak semestinya bercanggah. Kebanyakan orang politik ini ada pelbagai topi. Walaupun aktif dalam parti, mereka juga menyandang jawatan tertinggi di dalam NGO tertentu. Pada saya jika wadah perjuangan itu tidak bercanggah dengan kepentingan parti, perkara itu tidak sepatutnya menjadi pantang larang.

Saya akui, selepas saya tumbang, saya terpaksa merombak semula, hala tuju dan penekanan saya. Kini saya lebih kepada kerja di kawasan Parlimen Pandan dan kerja amal dalam NGO.

 Biasanya untuk orang-orang yang bukan Melayu, NGO itu pelbagai, ada yang berteraskan kebaikan, ada yang berteraskan kepentingan suku kaum atau keturunan, perkara itu pelbagai. Tetapi di dalam MCA, Winner Takes All (pemenang membolot segala) itu memang sahih.


Penglibatan Datuk Seri di dalam Amanah yang dipelopori oleh kebanyakan­ veteran politik yang sudah tidak berada di dalam mainstream dilihat sebagai orang yang kecewa dengan parti. Apa komen Datuk Seri?

TEE KEAT: Amanah sebenarnya sebuah NGO baru, ia bukan sahaja dianggotai oleh veteran politik. Memang ada bekas-bekas pemimpin parti khasnya parti kompenan Barisan Nasional (BN) tetapi Amanah turut disertai orang buat BN dan pesara-pesara pegawai kanan kerajaan. Cuma perkara itu orang tidak pandang.

Saya sebagai orang politik yang masih berkhidmat menyertai NGO tentu ada sebabnya. Tetapi kecewa dengan parti atau mahu mencari wadah baru bukanlah penyebabnya. Apa yang digariskan Amanah dan prinsip utamanya berteraskan kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang mengutamakan semangat dalam penyatuan kaum menarik minat untuk saya menyertainya selain menolak rasuah dalam politik.

Walaupun ada yang menjangkakan Amanah akan ditransformasikan menjadi parti politik. Namun saya berpendapat hal itu masih terlalu awal kerana banyak proses yang perlu dilalui.


Tarikh sebenar pilihan raya masih lagi menjadi tanda tanya, namun ramai yang menjangkakan ia tidak lama lagi. Melihat kepada PRU 12 dilihat sokongan kaum Cina sudah beralih arah kepada DAP, dalam kemelut yang dihadapi oleh Gerakan. Jadi apakah harapan untuk meraih undi Cina kembali kepada BN pada PRU13?

TEE KEAT:
Kalau kita menyingkap semula sejarah, iaitu sejarah PRU lalu pada 2004, 1999, dan 1995. Dalam tiga PRU itu sebenarnya masyarakat cina memberikan sokongan yang meyakinkan kepada BN sehingga banyak kubu pembangkang telah tumpas, itu membuktikan pada ketika itu kaum Cina menaruh kepercayaan melalui MCA.

Sokongan kaum Cina terhadap BN nampak begitu tenat hari ini. Apa yang berlaku pada tsunami politik yang 2008 bukan sesuatu petanda baru tetapi sudah ada tanda-tanda awal. Semua parti kompenan perlu terus terang apa yang tidak kena dalam hal ini, jika dibiarkan ianya berlarutan akan jadi satu bencana kepada BN pada PRU-13
Tidak lain daripada desakan masyarakat Cina khasnya terhadap parti kompenan dalam kerajaan untuk merombak corak perjuangan mereka bukannya semata-mata bersifat reaktif dan terus terbelenggu dengan isu-isu yang lama. Isu yang belum selesai memang perlu diteruskan. Tetapi perkara yang mendesak adalah seperti keselamatan, seperti rintihan hidup, kerana desakan hidup yang makin mencabar di peringkat akar umbi perlu ditanganani. Hal ini tidak perlu kenal benteng perkauman pun.

Pada keseluruhannya kaum Tionghoa memang beriktizam untuk menuntut keadilan­ atas beberapa keadilan misalnya dari segi peluang ekonomi.

Saya faham , memang ramai pihak cakap kaum Cina sudah dapat sekian banyak peratusan daripada hasil ekonomi negara, tetapi perlu diingat bahawa peratusan yang dimaksudkan itu sebenarnya tertumpu kepada golongan yang tertentu khasnya mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak tertentu. Bukannya peniaga kecil. Kalaulah kita cuma menganalisakan soal peratusan sahaja agak tercicir kerana apa yang rakyat mahu adalah peluang.

Kalau menyentuh pasal ekonomi peniaga cina, khasnnya industri kecil dan sederhana, mereka tidak banyak mempunyai peluang pinjaman atau kredit. Mereka rasa ruang itu tidak ada dan yang terpinga-pinga mencari jalan keluar. Tetapi apa yang dimahukan itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan dan tidak melanggari Perlembagaan negara.
Sebagai wakil rakyat saya suka untuk dengar rintihan mereka, dan perkara itu kerap kali didengari ketika saya turun padang. Jadi penyelesaian dari segi itulah yang mereka mahukan.


Dalam meraih sokongan kaum Cina dalam BN, kenapa tidak MCA bergabung sahaja dengan Gerakan memandangkan prestasi Gerakan begitu merudum sehinggakan Presidennya Tan Sri Koh Tsu Koon mengumumkan penarikan dirinya dalam PRU13. Tidakkah Datuk Seri melihat penggabungkan itu nanti mampu memberi impak positif untuk menarik kembali sokongan kaum Cina?

TEE KEAT: Perkara pokok sekarang ini bukan soal individu, bukan soal Tan Sri Koh Tsu Koon bertanding atau tidak, hal sekarang ini lebih rumit sebab yang mustahak sekali pengundi Cina khasnya generasi muda walaupun ada sebahagian yang telah berumur terikut-terikut dengan rentak semasa.

Kalau mereka mengharapkan sesuatu yang serba baru atau sesuatu yang disifatkan sebagai perubahan transformasi supaya dapat membawa nafas baru dan harapan negara, itu sesuatu yang jauh berbeza dengan pilihan individu sama ada bertanding atau tidak.

Transformasi dan perubahan itu telah saya nyatakan secara lantang dalam beberapa forum yang lepas. Saya pernah cakap perubahan itu perlukan berlaku pada semua pihak kerana ini trend semasa. Tetapi pada masa yang sama kenalah kita bezakan dan beri pengertian yang betul apakah maksud transformasi sebenar.

Perubahan dari segi tampok pemerintahan­ ataupun perubahan takuk minda. Perubahan takuk minda tidak semestinya perlu tukar orang, tetapi tukar otak itu yang mustahak perlu tukarlah mekanisme yang ada. Saya tidak percaya istilah perubahan itu sekadar perubahan dari segi tampok pemerintahan sahaja tanpa merombak takuk minda tidak ke mana.

Soal bergabung, perkara ini telah lama kita debatkan sejak dahulu lagi dan sehingga sekarang masih ada orang tertanya-tanya kenapa tidak kita bergabung. Kita kena berbalik kepada asas, khasnya perbezaan sturktur kedua-dua buah parti itu. Gerakan yang ditubuhkan pada tahun 60-an, yang mana awalnya dianggotai oleh semua kaum, dan barisan pemimpin awalnya juga terdiri daripada pelbagai kaum tetapi parti MCA sedia maklum adalah parti kaum Cina.

Khalid dedah ‘sejarah’ Hasan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, mendakwa hubungan bersama bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dingin setelah enggan membantu Hasan menjadi Menteri Besar Selangor pada 2008.

Beliau berkata, hubungan­ bersama Hasan sebelum itu baik sehingga beliau dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya II oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia.

Menurutnya, pelantikan tersebut jelas menunjukkan, Hasan tidak menganggap beliau sebagai parasit, tetapi sebaliknya sebagai orang kanan dalam Pas Selangor.

“Pada 2008 hubungan mula berubah, apabila saya menolak berkerjasama dengan Umno yang dikemukakan (Hasan).

“Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hasan Ali akan dilantik sebagai menteri besar dan itu adalah apa yang ditawarkan Umno,” katanya dalam blog, semalam.

Khalid berkata, hubungan menjadi lebih rapuh setelah beliau menamakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

“Beliau terdiam, kecewa, mungkin beliau merasakan saya mengkhianati nya.

“Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanan memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi menteri besar,” katanya.

Khalid mendakwa, setelah pelantikan menteri besar selesai, Hasan berusaha menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor.

Menurutnya, Hasan berusaha mencari peluang menunjukkan perbezaan antara Pas dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran antara parti komponen PR.

“Saya sering mengingatkan beliau tentang keputusan muktamar Pas yang diadakan di Ipoh supaya PR diperkukuhkan.

“Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu,” katanya.

Sumber : Sinar

Saturday

Hasan Ali dakwa 72% pemimpin Pas sekular

MUAR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendakwa 72 peratus kepimpinan parti itu kini dikuasai oleh golongan sekular yang sanggup 'tidur sekatil' dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, sejumlah 28 peratus lagi adalah golongan ulama yang sanggup mengetepikan perjuangan asal Pas untuk menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bercita-cita mahu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Saya berpendidikan sekular tetapi saya mahu Pas terus dipimpin oleh golongan ulama yang berpendidikan dari Mesir dan Jordan," katanya pada ceramah anjuran Pertubuhan Kemajuan dan Integriti Melayu Muar (Pekim) di Bukit Naning di sini, malam tadi.

Pada ceramah yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu, Hasan turut mendedahkan bagaimana kepimpinan Pas cuba memujuknya supaya berlembut dan mengikut sahaja arahan pakatan pembangkang yang tidak setuju dengan tindakannya membanteras gerakan mengkristiankan orang Islam di Selangor.

"Mereka minta saya bersabar dengan mengatakan apabila sudah dapat tawan Putrajaya, waktu itulah baru dikuatkuasakan undang-undang Islam," katanya.

Hasan dalam ceramahnya itu turut mengingatkan orang Melayu bahawa hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan akan terjejas jika membenarkan pakatan Pas, DAP dan PKR berkuasa di negara ini.
Beliau mendakwa pakatan pembangkang tidak mahu mendengar perkataan Islam, Melayu dan raja serta mereka akan mendidik anak-anak dengan didikan secara
liberal jika diberi peluang.  - Bernama

Sumber : sinar

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor