Translator

Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Wednesday

Salah Siapa? Remaja mangsa kes rogol tertinggi

KUCHING: Biarpun jumlah kes rogol menunjukkan penurunan, golongan remaja, terutama berusia 16 tahun, perlu diberi perhatian apabila mencatat bilangan mangsa tertinggi bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Statistik Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) menunjukkan, daripada 67 kes rogol yang berlaku sejak Januari hingga bulan lalu, 40 kes atau 60 peratus mangsa ialah remaja pada usia berkenaan dan sekali gus menimbulkan kebimbangan semua pihak.

Ketika mendedahkan perkara ini, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, tahun lalu sebanyak 200 kes rogol direkodkan dengan 139 atau 70 peratus daripada mangsanya adalah remaja.

Beliau berkata, daripada segi peratusan atau jumlah remaja menjadi mangsa kerakusan lelaki, tidak banyak berubah khususnya dua tahun lalu apabila merekodkan 141 daripada 206 kes rogol keseluruhan.

“Begitu juga pada 2008 apabila 70 daripada 145 kes membabitkan golongan sama. Daripada maklumat diperoleh, kebanyakan kejadian berlaku di rumah mangsa dan suspek,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MWKS dan Perlantikan Ahli Majlis sesi 2011/12, semalam.

Fatimah berkata, rekod juga menunjukkan mangsa membabitkan golongan kurang upaya (OKU) termasuk kurang siuman, mengalami kecacatan mental dan kurang upaya lain.

Katanya, berikutan bilangan kes rogol membabitkan remaja meningkat, MWKS akan mengadakan pelbagai program, terutama berkaitan pendidikan bagi mengelak lebih ramai gadis menjadi mangsa.

“MWKS akan mengatur program bersama badan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan masyarakat. Malah, program bakal dijalankan memberi tumpuan kepada remaja di bandar dan luar bandar.
“Menerusi program ini, kita akan memberi pendedahan berhubung kebarangkalian menjadi mangsa rogol dan kesan daripada pergaulan bebas,” katanya.

Fatimah berkata, program pendidikan turut disertai golongan lelaki baik remaja mahupun dewasa supaya mereka lebih mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta lebih menghormati hak wanita.

Dalam pada itu, Fatimah menambah, statistik menunjukkan daripada 200 kes pada 2010, Kuching merekodkan bilangan tertinggi dengan 49 kes, diikuti Samarahan (26 kes), Sibu (24 kes), Miri (23 kes) dan Bintulu (18 kes).

Sumber : Metro

Friday

KBS mohon maaf konsert K-Pop

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memohon maaf sekiranya persembahan artis dikenali sebagai KPop dari Korea dalam Himpunan Jutaan Belia Ahad lalu, menyinggung perasaan mana-mana pihak di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berjanji pihaknya akan lebih berhati-hati untuk memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak sekiranya mereka tersinggung dengan persembahan K-Pop, yang dikatakan berpakaian kurang sopan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria Selasa lalu, bahawa program belia itu tidak seharusnya dicemari dengan pemilihan artis dari luar negara yang kurang sopan dari segi aksi dan pemakaian.

Ahmad Shabery berkata, beliau menerima dengan baik teguran membina mana-mana pihak mengenai program yang diadakan sempena perhimpunan itu.

Menurutnya, sepanjang program lima hari itu, lebih 500 acara diadakan. “Mungkin ada beberapa acara perlu dilihat kembali. Saya amat terbuka, tetapi banyak perkara lain yang boleh dilihat.

Malah banyak program keagamaan dan modal insan turut diadakan," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Shabery ke Hospital Putrajaya, melawat ketiga-tiga mangsa yang cedera ketika menyaksikan aksi drag, apabila sebuah kereta yang terbabit dalam perlumbaan itu terbabas dan merempuh penonton.

Ahmad Shabery berkata, kesemua mangsa kini berunsur baik dan kementeriannya bersama penganjur sukan itu akan menanggung segala kos perubatan mangsa.

“Perkara ini tidak akan dipanjangkan oleh pihak keluarga dan saya juga meminta agar ia tidak dipolitikkan.

“Kita tidak mahu menuding jari. Perkara sudah berlaku, dan kita akan pastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, salah penonton yang menyaksikan kejadian dan mengalami cedera ringan, Mohd Norizam Mohd Rihani menyatakan, kemalangan itu turut berpunca daripada kecuaian mereka sendiri.

Menurutnya, sebelum perlumbaan itu berlangsung pihak penganjur memberikan amaran, tetapi ia tidak dianggap penting dan dipandang ringan oleh setengah penonton.

Sumber : Metro

Tuesday

Nasihat Wardina : ‘Wahai remaja, jangan taksub cinta!’

“SELAGI kita tidak jumpa sumber dan asas cinta, jangan kita sesekali berani untuk bercinta!” Demikian kata selebriti Wardina Safiyya, dalam memberi definisi cinta menerusi dialog “Di Mana Cinta Kita” bagi program Bicara Cinta Anak Muda, yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, baru-baru ini.

Jelas Wardina, manusia perlu kembali ke fitrah asal, cinta manusia adalah kepada ALLAH. Maka, kita perlu kembali kepada fitrah sebenar manusia dalam mencari cinta.

Friday

Minda: Kawal keinginan tiada had

APABILA berlaku kemerosotan pengaruh Islam iaitu kurangnya kehadiran ilmuan Islam pada abad ke-15, pemikiran asing mula mempengaruhi perubahan dunia. Justeru, kita berada dalam sistem yang dipelopori oleh Barat hari ini bukanlah atas kehendak pemimpin terdahulu mahupun sekarang, apatah lagi rakyat.

Sesungguhnya bukan juga secara kebetulan. Ia adalah akibat daripada kelemahan dalam masyarakat Islam yang gagal berlawan dengan arus perubahan dari Barat.

Sejak seawal abad ke-16 berlaku kebangkitan pengaruh kuasa Barat yang berkembang abad demi abad. Penjajahan mereka menelusuri hingga ke Nusantara dan secara langsung mempengaruhi landskap politik, sosial, ekonomi serta dominasi agama di sekitar Asia Tenggara.

Selama 500 tahun Tanah Melayu dikuasai pengaruh Barat dan kesannya hingga ke hari ini walaupun selepas kemerdekaan. Dunia berpaksi di atas sistem Barat dalam segala segi.


Bukan atas kerelaan setiap umat Islam untuk berada dalam dunia pasaran berasaskan sistem ekonomi Barat. Apatah lagi reda dengan setiap urusan yang melanggar syariat agama Islam. Mereka tiada pilihan kerana berada dalam sistem ekonomi Barat akibat daripada kegelapan pada penghujung keagungan ilmu Islam.

Usaha melakukan perubahan harus diteruskan untuk keluar daripada kepompong sistem hari ini. Menuntut perubahan dalam kekosongan ilmu dan hanya berpeluk tubuh mungkin akan memerlukan lagi seribu tahun untuk direalisasikan. Jika ditakdirkan Allah.

Perkembangan ilmu ekonomi Islam melalui pengkajian, penghayatan serta analisis tidak lagi dijadikan asas. Ketika momentum perkembangan ilmu Islam mulai perlahan selepas ilmuan ekonomi sehebat Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, dunia sudah dijajah dan didedahkan dengan sistem pemerintahan, sistem sosial dan sistem ekonomi berasaskan pemikiran dan matlamat Barat.

Masyarakat hari ini sudah sebati dengan sistem ekonomi konvensional yang matlamatnya ialah memenuhi kepuasan kehendak manusia yang tiada batas dengan kebendaan semata-mata.

Falsafah Barat sudah sebati dalam masyarakat iaitu mengangkat kemampuan manusia dan kewibawaan mereka dengan tidak tunduk kepada sistem Allah serta menolak akhirat.

Corak sistem ekonomi Barat memisahkan peranan gereja, khususnya dalam perkembangan sistem amalan mereka. Ini kerana bagi mereka pencapaian kebendaan adalah matlamat akhir. Maka tidak hairanlah nilai-nilai hidup masyarakat banyak dipengaruhi sistem tersebut yang bercanggah dengan syariat agama Islam.

Motivasi dalam sistem ekonomi Islam ialah mengawal sifat, kehendak serta keinginan yang tiada had dalam usaha memperluaskan kemajuan serta berpandukan peraturan dan kawalan syarak.

Hukum Allah menjadikan aktiviti ekonomi terpimpin. Sistem ekonomi Islam mempunyai identiti peraturan tersendiri. Ia bukanlah satu andaian baru dibawa tetapi sudah wujud sejak Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Hakikatnya ialah umat Islam sememangnya berkeinginan untuk kembali kepada nilai-nilai etika kehidupan mengikut ketentuan syariat Allah. Mereka sedar bahawa hanya jalan Nabi dan sahabat yang diredai Allah.

Mereka juga sedar bahawa sistem ekonomi sedia ada bertentangan dengan kehendak al-Quran dan sunnah. Tetapi perlu ditekankan juga jika ingin membetulkannya, ia berkehendakkan ilmu pengetahuan dan perubahan sikap bukan dengan cemuhan serta kritikan. Perubahan harus didatangi dengan ilmu berserta kefahaman.

Mereka perlu mengembali keyakinan terhadap sistem ekonomi Allah dengan sepenuhnya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh (dengan mematuhi) segala hukum-hakamNya; dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang dan nyata.” (Surah Baqarah: 208).

Malah, kaedah asas dalam sistem perniagaan dan ekonomi Islam dibina daripada ayat Allah “…janganlah kalian saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang timbul daripada kerelaan di antara kalian…” (Surah An-Nisaa’: 29).

Kekuatan hanyalah boleh dibina jika kita kembali serta taat kepada syariat Allah. Strategi untuk berubah dan meluaskan bidang ekonomi sudah Allah gariskan serta janjikan kepada kita. “Dan tiadalah petunjuk melainkan dengan petunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakal dan kepadanya aku kembali.” (Surah Hud: 88).

Nabi serta sahabat juga sudah tunjukkan dalam sunnah kehidupan mereka. Kita hanya perlu memanfaat kebijaksanaan mereka sebagai rujukan. “Dan jika kamu mentaatinya nescaya kamu akan mendapatkan hidayah.” (Surah An Nur: 54).

Umat Islam berdepan dengan persoalan - Di manakah model ekonomi Islam? Apakah sistem ekonomi Barat sedia ada boleh diubah suai dengan mengislamkan sistem Barat berperingkat-peringkat? Yang jelas, sistem ekonomi Islam mengikut syariat adalah jauh berbeza dengan sistem konvensional Barat. Pengubahsuaian adalah sukar.

Namun, sistem konvensional sedia ada boleh dimanfaatkan sebagai kayu pengukur atau menapis yang tidak sesuai dan menolak yang bercanggah dengan syariat. Itu satu permulaan.

Amat jelas bahawa perkara bertentangan dengan urus niaga mengikut syariat itu bukanlah sunnah Nabi dan sahabat. Ia dapat dilihat dalam tindakan Umar Al Khattab r.a memarahi individu yang tidak berurus niaga dalam pasar mengikut cara disyariatkan. Kebijaksanaan Abdul Rahman bin Auf r.a dalam konsep ‘guerilla marketing’ perlu diteladani serta dicontohi.

Imam Abu Hanifah pula mengatakan lebih baik untuk pergi menuntut ilmu urus niaga dulu sebelum masuk berurusan dalam pasar! Berurusan dengan sistem ekonomi selain daripada sistem ekonomi sunnah adalah riba! “Padahal Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah Al-Baqarah: 275).

Jika kita mengkaji dan melihat dalam perbahasan ekonomi Islam, kita akan dapati Islam menggariskan beberapa prinsip yang jelas dan urusan perniagaan dan ekonomi sebagaimana kata Umar r.a: “Yang boleh berjualan di pasar kami ini hanyalah orang-orang yang faqih (faham akan ilmu agama), kerana jika tidak, maka dia akan terjerumus dalam riba.” (Lihat : Taudhihul ahkam 4/213-214).

Begitu juga dengan amaran Rasulullah dalam hal ini: “Sesungguhnya pedagang-pedagang itu adalah kaum yang fajir (suka berbuat maksiat), sahabat berasa amat hairan dan bertanya, “Bukankah Allah sudah menghalalkan jual beli, wahai Rasulullah?” Maka beliau menjawab, “Benar, namun pedagang-pedagang itu tatkala menjual barang dagangan, mereka bercerita mengenai dagangan lalu kemudian berdusta, bersumpah palsu dan melakukan perbuatan keji.” (Musnad Imam Ahmad 31/110).

Hakikatnya, kehidupan manusia tidak boleh dipisahkan dengan isu ekonomi membabitkan hubungan antara manusia dengan manusia. Dalam sistem ekonomi Islam bukanlah menjadi matlamat memenuhi keinginan manusia yang tiada had tetapi matlamatnya lebih kepada untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Matlamat utama untuk mendapatkan imbuhan pahala daripada Allah dijadikan asas melalui sifat keikhlasan, amanah, jujur, kebijaksanaan dan sebagainya.

Inilah kesempurnaan yang dimaksudkan dan berjaya dimanfaatkan melalui kekayaan yang diperoleh sahabat Nabi.

Sistem ekonomi sunnah adalah ibadah yang semakin ditinggalkan oleh masyarakat Islam. Dalam berurusan seharian di pasar, jual beli keperluan asas atau menjalankan perniagaan sama ada individu atau perkongsian, berapa ramaikah yang cuba sedaya-upaya mendekatkan diri dengan sunnah ekonomi Nabi dan sahabat?

Atau menyuarakan keinginan untuk berubah lebih sunnah daripada berusaha mempraktikkannya? Mungkin kita lupa, Rasulullah datang untuk memberi jawapan segala-galanya buat kita, bukan hanya solat, puasa dan zakat, tetapi dalam apa jua urusan harian untuk umatnya berjaya dalam kehidupan baik di dunia mahupun akhirat.


Penulis berkelulusan hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah Timbalan Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia

Sumber : Metro 

Wednesday

Penilaian integriti pendidik Ditingkatkan

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap integriti guru dan warga pendidik perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya kefahaman serta kesedaran kepentingan nilai mulia dalam perkhidmatan pendidikan dapat dipertingkatkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian itu turut akan membantu Kementerian Pelajaran mengenal pasti aspek yang boleh dilakukan penambahbaikan.

“Usaha ini perlu dilaksanakan untuk menyebar luas maklumat berkaitan amalan dan budaya integriti warga pendidik supaya tahap kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingannya dapat dipertingkatkan,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Pertandingan Pidato Integriti Antara Institut Pendidikan Guru, Piala Menteri Pelajaran 2012, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud dan Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses pemantapan integriti memerlukan pembabitan dan usaha bersungguh-sungguh semua peringkat pengurusan pendidikan.

“Justeru, strategi dan pelan tindakan berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti warga pendidik sentiasa tinggi.


“Saya yakin kerjasama pintar sedia terjalin antara Institut Pendidikan Guru dan IIM dikembangkan lagi untuk menyemarakkan amalan serta budaya integriti di kalangan warga pendidik di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, krisis ekonomi di Barat dan kemunculan kembali pemikiran menekankan kepentingan amalan nilai moral dan etika dalam masyarakat menjadi peringatan semua pihak tidak sekali-kali mengabaikan fungsi asas pendidikan.

Sumber: Metro

Monday

Doakan kesejahteraan guru

TIDAK kiralah gelaran yang diberikan kepada guru sama ada cikgu, ustaz, ustazah atau profesor sekalipun, mereka adalah golongan pendidik yang berperanan mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

Bermula dari taman asuhan kanak-kanak, sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti, sumbangan pendidik ternyata tiada tolok bandingan.

Namun tidak dinafikan, ibu bapa sebenarnya adalah guru ‘paling berpengaruh’ kerana mereka mampu mempengaruhi tindakan, karakter dan tindak-tanduk anak mereka.

Profesion guru adalah amanah dan kerjaya yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang menyarankan manusia menjadi pendidik atau golongan menuntut ilmu.


Mungkin ada sebahagian guru yang pernah mendidik kita sudah pergi mengadap Ilahi. Maka sebagai ‘produk’ hasil didikan mereka, berdoalah selalu untuk kesejahteraan mereka.

Tugas tarbiah yang dilaksanakan seorang guru meletakkan mereka pada kedudukan tinggi. Pengorbanan masa dan tenaga mereka mencurahkan ilmu kepada kita dikira sebagai ibadah.

Bagi pelajar pula, mereka dituntut keluar mencari ilmu kerana setiap kaki yang melangkah bermula dari rumah ke sekolah dan kembali semula ke rumah turut dikira sebagai ibadah.

Tugas menyampaikan ilmu perlu dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah kerana ia jihad yang paling tinggi dan dituntut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl ayat 125)

Peranan guru dalam mendidik masyarakat amat luas pengertiannya. Mereka menyampaikan ilmu akidah dan keimanan untuk serta menghubungkan manusia dengan Penciptanya.

Guru juga menjadi pembimbing paling akrab. Jadi mereka perlu menggunakan kesempatan untuk meluaskan ilmu yang dimiliki itu dengan perkara meliputi fardu ain dan fardu kifayah.

Malah, guru berupaya mendidik anak bangsa menjadi individu berperibadi mulia.

Jadikanlah nasihat dan bimbingan berguna Lukman Al-Hakim menerusi ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai anakku! Dirikanlah solat (sembahyang) dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman ayat 17)

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawab kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Gejala sosial di kalangan remaja adalah barah yang perlu ditangani secara bersama antara ibu bapa dan guru di sekolah supaya ia tidak terus merebak dalam masyarakat.

Guru bertanggungjawab menanamkan anak didik mereka dengan asas akidah Islam dan keimanan kepada Allah. Jadi seorang guru perlu menonjolkan sahsiah Islam bagi memungkinkan anak didik mereka mudah ‘tertarik’ dengannya.

Mereka perlu menjadi penyelesai masalah, bersifat ceria, berfikiran terbuka, bercakap sopan, mudah mesra dengan sesiapa saja dan tidak lokek ilmu.

Seorang guru tidak boleh berasa jemu dan mudah berputus asa dalam mengesan potensi anak didiknya selain berusaha mencari pendekatan terkini dalam menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat berilmu, beriman bagi tujuan pembangunan agama, masyarakat serta negara.

Mereka perlu menggalas cabaran sebagai pemimpin bagi menyempurnakan akhlak di kalangan anak didik mereka di sekolah. Jika ilmu yang dicurahkan itu diamalkan secara berterusan, mereka tetap menerima pahala itu walaupun sudah meninggal dunia.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda menegaskan, menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun satu ayat.

Malah, bayangkan begitu beruntung sekali mereka yang dalam usaha mencari ilmu kemudian meninggal dunia, mereka dianggap sebagai mati syahid.

Tema Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara menyeru seluruh warga pendidik supaya memperbaharui niat dalam memberi sumbangan kepada anak bangsa sehingga mampu melahirkan individu kreatif, inovatif, berwawasan dan berkualiti.

Seorang pendidik hebat semestinya mahukan anak didik mereka mendapat pendidikan dan kemahiran mengurus diri dengan sempurna berlandaskan kehendak Islam dengan bersungguh-sungguh.

Saidatina Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).’” (Riwayat al-Baihaqi)

Setiap warga pendidik perlu berasa bangga pekerjaan yang sedang mereka lakukan kini adalah amanah yang cukup besar dan tinggi nilainya.

Keikhlasan seorang insan bergelar guru melihat anak didikannya berjaya cemerlang dalam kehidupan bukannya angan-angan kosong.

Pengarah Urusan Tahsin Al-Quran Training Centre, Mohd Nasir Rustam berkata, guru perlu bertindak sebagai pendidik yang perlu sentiasa memenangi hati pelajarnya.

“Apabila memilih untuk menjadi pendidik, mereka wajib mendalami isi hati anak didik mereka. Perkembangan masalah sosial yang kian meruncing sekarang berpunca daripada pengaruh rakan sebaya sekeliling mereka.

“Maka guru perlu bijak menyesuaikan diri dengan setiap pelajarnya. Mendidik pelajar tidak boleh berasaskan nafsu amarah semata-mata dan mempunyai perasaan dendam kerana mereka perlu didekati secara psikologi,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah sendiri berdakwah melalui pendekatan berhikmah dan ia dapat diterima semua peringkat.

“Rasulullah tidak pernah sesekali mengamalkan tarbiah secara mengherdik, mengata tetapi menggunakan pendekatan dari hati ke hati.

“Seorang guru perlu menghormati dan menganggap pelajarnya seperti anak atau adik mereka sendiri.

“Di sini perlu wujudnya keikhlasan dalam memberi tumpuan dan didikan supaya anak didik mereka berjaya melakukan perubahan besar dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata, cabaran besar menanti warga pendidik iaitu bersama-sama berusaha mewujudkan jurang lebih rapat antara guru dan pelajar supaya mereka merasakan ada hubungan akrab yang terjalin.

“Bagi pelajar yang keras hati dan degil, guru perlu menggunakan kesempatan dan kemahiran mereka berhubung dengan lebih kerap, belanja mereka makan dan merancang program pendek bercuti bersama-sama.

“Insya-Allah, jika niat kita ikhlas kerana Allah, pasti Allah permudahkan segala urusan dan usaha kita lakukan. Guru perlu bersedia menjadi insan yang mampu memberi buah fikiran serta tempat mengadu masalah,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pelajar yang membawa masalah di sekolah biasanya datang daripada keluarga yang bermasalah.

“Guru tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru apabila berhadapan dengan pelajar sebegitu. Mereka tidak suka dipaksa, maka langkah terbaik buat mereka adalah beri mereka peluang dan masa untuk berubah,” katanya.

Beliau berkata, setiap orang perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan guru mereka walaupun mereka tidak lagi mengajar.

“Kalau ada antara kita pernah melakukan kesilapan dan keterlanjuran terhadap guru, mereka perlu berjumpa dan memohon maaf.

“Ini penting kerana setiap kejayaan yang kita kecapi hari ini sudah pasti berpunca daripada didikan yang dicurahkan kepada kita. Jangan sesekali berasa riak dengan apa yang kita miliki sekarang jika ia tidak mendapat keberkatan,” katanya.

Sumber : Metro

Minda: Guru pencetus transformasi

PENDIDIKAN wadah utama menentukan kemajuan dan kemakmuran negara, sekali gus menjadi peneraju dalam membangunkan generasi pelajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeperibadian mulia.
Sehubungan itu, pelbagai dasar dan pembaharuan pendidikan dilaksanakan kerajaan bertujuan memantapkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentu untuk menghasilkan anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Tanggungjawab guru untuk melakukan transformasi atau perubahan dalam pendidikan negara sangat besar. Ia bermula daripada cara guru mengaplikasikan Dasar Pendidikan Negara secara berkesan.

Mereka mesti memahami agenda transformasi yang dilaksanakan. Justeru, jati diri guru mestilah tinggi supaya mampu mengikuti rentak dirancang kerajaan dalam bidang pendidikan.


Guru perlu mempunyai rasa pertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi institusi masing-masing.

Penulis yakin guru sekarang memiliki kemampuan dalam semua aspek perguruan sejajar kehendak negara kerana daripada peringkat pemilihan calon guru, latihan, fasa induksi, pembangunan profesionalisme berterusan sehingga ke peringkat penilaian serta pengurusan prestasi guru itu sendiri, dipastikan sentiasa berada pada tahap tinggi.

Dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) adalah rujukan dan panduan untuk memperkasa dan melestarikan guru berkualiti. SGM menggariskan kompetensi profesional perguruan atau piawaian yang patut dicapai guru dan keperluan yang patut disediakan agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu mereka mencapai tahap kompetensi ditetapkan.

Hasil satu soal selidik SGM yang dibuat pada 2010 menunjukkan tahap kompetensi profesional guru secara umumnya adalah cemerlang. Syabas dan tahniah cikgu semua!

Secara ringkasnya, ada tiga peranan utama seorang guru. Pertama, guru hendaklah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid. Kedua, mengajar kemahiran dan ketiga, menerapkan nilai serta akhlak mulia dalam diri pelajar.

Lantaran itu, guru yang hebat semestinya perlu mempunyai kemahiran mengurus dalam segala aspek duniawi serta ukhrawi secara sempurna mengikut sistem pengurusan yang disarankan ajaran Islam.

Ingin saya sebut konsep tawhidik iaitu keyakinan yang sebenar kepada Allah dan mengikut contoh Rasulullah. Konsep rabbaniyyah dan uluhiyyah merujuk kepada iman seseorang Muslim dan melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai ibadah serta bertakwa kepada Allah.

Islam juga membawa nilai itqaan (kesempurnaan) yang menuntut kita bersifat amanah dan mempunyai akauntabiliti dan integriti yang tinggi. Nilai itqaan ini sepatutnya menjadi budaya kerja bermutu tinggi bagi mencapai matlamat atau pelan transformasi diharapkan.

Tugas guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan saja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai ejen perubahan. Selain pendidik, pensyarah dan tutor, guru juga bergelar fasilitator, mentor, murabbi, mursyid, muaddid, musyrif, mudarris dan mualim.

Dalam menjana transformasi pendidikan, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga berperanan membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya perumpamaan orang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Diriwayatkan Imam Malik pernah menolak tawaran untuk mengajar di istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan, ilmu itu didatangi bukan mendatangi.

Sikap merendah diri dan rasa hormat seorang imam dan ulama terbilang juga ada pada Imam Syafie. Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, hilanglah seluruh ilmu ulama negeri Hijaz ini.”

Pada abad ke-21 ini, antara cabaran terbesar dihadapi guru ialah perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses sahsiah, terutama pelajar.

Kebanyakan pelajar sudah mahir komputer bahkan pemahaman dan keupayaan mereka kadangkala melebihi guru. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, selain memahami tanggungjawab serta berikan komitmen dengan melaksana pendekatan baru ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.

Di negara kita, terdapat 430,000 guru untuk mendidik 5.4 juta pelajar. Betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik bilangan anak dan pelajar yang begitu ramai. Pelajar sering melakukan kejutan kepada masyarakat dengan masalah sosial mereka.

Ada segelintir daripada pelajar yang malas belajar, suka tidur dalam kelas, ponteng atau terbabit kegiatan samseng, membuli, merempit, berzina, buang bayi, merokok, salah guna dadah, mencuri dan gejala lain.

Antara Januari dan Jun tahun ini, kira-kira 11,880 pelajar direkod terbabit dengan kegiatan jenayah. Kira-kira 40,000 pelajar terbabit dengan vandalisme, menonton dan menyimpan bahan lucah dan bertindak kasar manakala 24,000 lagi didapati ponteng dan lewat ke sekolah.

Isu disiplin pelajar memang satu perkara yang serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti masalah atau keadaan tertentu yang dihadapi anak mereka serta lebih prihatin dan mengambil tahu hal anak mereka secara lebih mendalam dan terkawal.

Sesungguhnya, guru berada di saf hadapan untuk membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan dihormati.

Daripada perspektif Islam pun, profesion perguruan adalah suatu pekerjaan yang mulia di sisi Allah dan banyak hadis Rasulullah yang menyarankan manusia menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain.

Dalam Sirah Nabawiyyah sendiri, baginda menegaskan menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun hanya satu ayat.

Tambahan pula ajaran Islam menekankan kelebihan amalan pendidikan dengan meletakkan seseorang berilmu pada darjat yang tinggi dan mulia. Maksud firman Allah dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 bermaksud:

“Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan imu pengetahuan dengan beberapa darjat (kemuliaan). Dan Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.”

Bukan setakat itu kelebihannya, jika individu sedang menuntut ilmu pengetahuan tiba-tiba meninggal dunia, beliau dianggap sebagai gugur syahid. Betapa besar ganjaran yang diperoleh ketika di dunia, apatah lagi ganjaran yang menanti pada hari akhirat kelak.

Begitulah hebatnya seseorang berilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat agar sesebuah komuniti tidak dibayangi dengan sifat jahiliah atau berada dalam kegelapan.

Transformasi perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Guru daripada pelbagai latarbelakang, anutan agama atau bangsa mestilah terbabit dalam proses membentuk perpaduan, sekali gus menjalin hubungan dan kerjasama yang kukuh dan berkekalan.

Maka, dalam menjayakan harapan tinggi bagi menjana transformasi sistem pendidikan negara, guru perlulah banyak berkorban, bekerja kuat dan ikhlas serta bersedia menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian serta maklumat supaya selari kehendak diperlukan bagi mencapai aspirasi negara.


Penulis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Sumber : metro 

Minda: Sekolah benteng disiplin

MALEK Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’, Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.

Rencana itu sudah lama ditulis tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.

Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda bukan masalah baru, cuma pendekatannya yang berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup yang sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa pening memikirkan anak-anak mereka terutama ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.


Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka kerana melakukan kesalahan.

Paparan media massa tentang pelbagai salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil mereka dipengaruhi norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.

Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan memberi penekanan nilai-nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan pelbagai cabaran di luar kelak.

Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai-nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing murid ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai-nilai murni yang disogokkan kepada mereka melalui karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, pasukan pakaian seragam dan sukan tidak kurang penting memainkan peranan membentuk murid menjadi insan yang mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah.

Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan ditetapkan sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak walaupun anak mereka melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti buang bayi, dadah, pergaduhan, kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.

Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah kedai serbaneka dengan pistol mainan dan parang panjang. Kita pernah mendengar kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru yang memperlihatkan kepada kita bahawa jenayah dan salah laku ini bukan hanya dilakukan orang dewasa, tetapi juga oleh golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan.

Sebenarnya, pemahaman dan penglibatan murid dalam aktiviti yang ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku tersebut.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka yang masih tergamak melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, dadah dan jenayah lain?

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari.

Ironinya, boleh kita fikirkan setiap pelajar itu jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus orang guru mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak-anak muridnya mencuri, merompak dan menipu, tetapi setiap guru memberi ajaran positif ke arah kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.

Oleh hal demikian, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan lebih bijak menilai yang mana kaca dan mana permata.

Sejak tahun 70-an lagi, kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi satu penghalang untuk membentuk sahsiah murid. Kita agak ketinggalan kerana sampai sekarang kita masih melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih tiga puluh tahun perkara ini sering diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang membelenggu hidup pelajar di negara ini.

Penulis seorang guru

Sumber : metro 

Sistem pendidikan perlu diperkemas

SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’, Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.

Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.

Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak muda bukan masalah baru cuma pendekatannya saja berbeza. Memang anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam dan sebagainya, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup yang sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.
Krisis nilai yang berlaku di kalangan anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak-anak mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.

Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan. Paparan media massa mengenai pelbagai salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.

Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai-nilai murni lewat subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di luar kelak.

Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai-nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing murid ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai-nilai murni yang disogokkan kepada mereka melalui karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk murid menjadi insan yang mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Sekolah mesti memastikan setiap aktiviti dilibatkan pelajar dan tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah. Sekolah juga perlu mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak- anak mereka walaupun anak-anak mereka ternyata melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya, kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita. Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar yang menyamun di sebuah kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru yang memperlihatkan kepada kita bahawa jenayah dan salah laku ini bukan hanya dilakukan orang dewasa, tetapi juga oleh golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan. Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan murid dalam aktiviti yang telah ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku berkenaan.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka ini yang masih melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, dadah dan jenayah lain.

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka belajar.

Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus orang guru yang mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, tidak ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran yang positif ke arah kecemerlangan individu dalam mengharungi masa depan mereka.

Oleh yang demikian, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan yang lebih bijak menilai mana kaca dan mana permata. Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang untuk membentuk sahsiah murid. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih melaungkan perkara sama sedangkan sudah lebih tiga puluh tahun perkara ini diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara ini. Penulis ialah guru

Sumber : Metro

Minda: Memantapkan sahsiah pelajar

SAUDARA Malek Murad dalam rencananya ‘Krisis disiplin di kalangan penuntut sekolah’ Dewan Masyarakat April 1975, antara lain menyentuh tentang pentingnya sekolah mengenakan hukuman berat terhadap pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah jika sekolah mahu mengekalkan peranan tradisionalnya sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan.

Rencana itu sudah lama ditulis, tetapi gaya dan permasalahan yang dibangkitkan masih sama dengan apa yang masih diperkatakan sampai sekarang.


Ini bermakna masalah disiplin dan moral anak-anak muda bukan baru, cuma pendekatannya berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut.

Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa yang pening memikirkan anak- anak mereka terutamanya ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja.


Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang, tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka atas sesuatu kesalahan yang mereka lakukan.

Paparan media massa mengenai segala jenis salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil lagi mereka sudah dipengaruhi norma-norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan.

Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan penekanan nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan segala macam cabaran di luar kelak.

Di sekolah, antara subjek yang mengandungi penekanan nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing pelajar ke arah kemantapan jiwa dan sahsiah.

Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalan Komponen Sastera (Komsas) sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.

Keberkesanan Komsas bukan hanya untuk melatih pelajar menjadi penulis, tetapi memantapkan pemahaman dan kepatuhan mereka terhadap nilai murni yang disogokkan kepada mereka lewat karya sastera kemudian diterjemah dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, unit pakaian seragam dan sukan juga tidak kurang penting memainkan peranan membentuk pelajar menjadi insan mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan sesuatu tugas yang diamanahkan.

Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah.

Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan yang ditetapkan di sekolah. Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak mereka walaupun anak ternyata melanggar peraturan sekolah.

Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah tidak akan dipandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar.

Jadi, apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti kes buang bayi, dadah, pergaduhan dan sebagainya kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara kita.

Kita pernah mendengar berita mengenai pelajar menyamun di sebuah kedai serbaneka menggunakan pistol mainan dan parang panjang, kita pernah mendengar kisah pelajar mencederakan guru, merosakkan kereta guru dan sebagainya yang memperlihatkan bahawa jenayah dan salah laku bukan hanya dilakukan orang dewasa, malah golongan yang sedang menimba ilmu pengetahuan.

Sebenarnya, pemahaman dan pembabitan pelajar dalam aktiviti yang ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan pelbagai salah laku.

Persoalannya, mengapa ada antara mereka yang masih tergamak melakukan pelbagai salah laku termasuk melawan guru, merosakkan harta benda sekolah, terbabit dadah dan jenayah lain?

Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami apa tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.

Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung di sebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari.

Ironinya, boleh kita fikirkan sendiri bahawa setiap pelajar itu, jika kita kira sejak bersekolah di peringkat sekolah rendah hingga tamat persekolahan di peringkat menengah, mungkin hampir seratus guru mengajar mereka.

Jika difikirkan lagi, mana ada guru yang menyuruh anak muridnya mencuri, merompak, menipu orang, tetapi setiap guru memberi ajaran positif ke arah kecemerlangan individu dalam mendepani hari muka.

Oleh itu, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling, sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikan ke arah melahirkan insan lebih bijak menilai mana kaca dan permata.

Sejak tahun 70-an lagi kita sudah menyedari sistem pendidikan kita condong ke arah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi salah satu penghalang membentuk sahsiah pelajar. Kita agak ketinggalan kerana sampai kini kita masih melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih 30 tahun perkara ini diungkit.

Sampai masanya kita mengubah sistem dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang mengitari hidup pelajar di negara kita.

Sumber : metro

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor