Translator

Showing posts with label Pelik Tapi Benar. Show all posts
Showing posts with label Pelik Tapi Benar. Show all posts

Thursday

Maut akibat main bola

KAJANG: Malang tidak berbau buat seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Semenyih yang menemui ajalnya, kelmarin selepas kepalanya cedera disepak pemain lawan ketika satu perlawanan bola sepak.

Difahamkan, mangsa Afiq Hamizan Abdul Hamid berusia 15 tahun itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 2.45 petang kelmarin selepas menjalani pembedahan di kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa mewakili pasukan sekolahnya dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat (MSSDHL) yang diadakan di sebuah sekolah menengah agama.

Menurutnya, mangsa yang bermain sebagai penjaga gol mewakili sekolahnya itu cedera di kepala selepas terkena sepakan pemain pasukan lawan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Semenyih jam 4 petang untuk rawatan oleh pihak sekolah.

“Bagaimanapun, keadaannya menjadi parah sebelum dihantar ke Hospital Kajang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, selepas doktor mengesahkan mangsa perlu menjalani pembedahan kepala berikutan darah beku selain keadaannya yang sudah kritikal, dia dibawa ke HKL pula namun gagal diselamatkan.

Katanya, mangsa meninggal dunia jam 2.24 petang kelmarin di HKL namun tiada unsur jenayah dipercayai menjadi punca kematian mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu, ayah mangsa, seorang pengawal keselamatan, Abdul Hamid Saad, 50-an, berkata, arwah anak ketiga daripada enam beradik, aktif dalam sukan bola sepak.

Menurutnya, arwah cukup sihat dan aktif ketika pergi ke sekolah pada pagi kejadian dan tidak menyangka akan berjumpa anaknya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya jam 4 petang pada hari sama.

“Ketika tiba di Hospital Kajang, anak saya sudah lemah dan hanya memaklumkan kejadian itu berpunca daripada kecederaan ketika perlawanan namun saya terkilan dengan pihak sekolah yang tidak memberi rawatan awal sebaik terkena sepakan itu.

“Pakar neurologi yang merawat anak saya turut memaklumkan kemungkinan anaknya dapat diselamatkan sekiranya rawatan diberikan lebih awal,” katanya.

Menurutnya, kesal dengan kecuaian dan kelewatan pihak sekolah mengambil tindakan, dia membuat laporan di pondok polis HKL selepas anaknya disahkan meninggal dunia.

Sumber : metro

Al Fatihah...
Ajal tidak mengira siapa,dimana dan Bagaimana...
 Takziah buat buat Keluarga mangsa....

Tuesday

Sah Safee Bercerai

Mengapakah pekara ini terjadi? apakah sebabnya ?

Surat khabar Utusan Malaysia baru sahaja melaporkan bahawa safee sali SAH bercerai dengan isterinya secara rasmi. Safee sali telah melafazkan Cerai terhadap isterinya Sabrina Yusof dihadapan Hakim Syarie Fouzi Mokhtar dalam satu prosiding tertutup dengan kehadiran peguam kedua-dua pihak.

The Star juga ada menyebut yang punca penceraian tidak di ketahui dan peguam mewakili Sabrina Yusof berkata keputusan bercerai ini telah di ambil secara sukarela dan sebarang tuntutan akan di laksanakan secara bersepakat.

Kita nantikan berita selajutnya mengapakah pekara ini terjadi.

Monday

Tergamam lihat sejadah sujud

PAYA PASIR - “Sejadah ini seakan sujud dan dengan tidak semena-mena, saya seram menyaksikan apabila ada dua atau tiga sejadah lain turut tegak menghadap kiblat”.

Demikian kata seorang pelajar Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah, Filza Nur Iffah Rosli, 11, yang menemui sehelai sejadah daripada 43 sejadah didakwa berdiri menghadap kiblat dalam sebuah surau lama di pusat pengajian Islam itu kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Filza berkata, pada jam 6.45 petang sebelum kejadian, pengetua maahad itu meminta dia bersama tiga rakan lain, Badlishah Sadino, 11, Aiza Zamri, 10, dan Norsyamira Ismail, 13, mengangkat 45 sejadah yang dijemur di penyidai kerana hujan.

“Umi meminta kami mengangkat sejadah terbabit untuk dihamparkan di surau lama ini memandangkan semua sejadah masih lembap.

“Selesai solat Maghrib, saya bersama seorang rakan, Najwa Baderi, 14, naik ke tingkat itu untuk mengambil wuduk yang terbatal. Selepas mengambil wuduk dan melintasi bilik mengaji ini, saya terkejut apabila melihat sejadah di hadapan pintu berbentuk seakan sedang sujud menghadap kiblat.

Filza berkata, mereka segera ke tingkat bawah dan memaklumkan kepada pengetua maahad mengenai kejadian pelik itu.

Pengetua maahad itu, Azizah Khatib Mat berkata, kejadian yang berlaku di dalam surau berusia 69 tahun itu disifatkan sebagai bukti kekuasaan ALLAH SWT dan pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menurutnya, kejadian sebegitu pernah dilaporkan berlaku sebelum ini di tempat lain dan beliau yakin ia bukan perbuatan pelajar nakal.

“Pelajar perempuan yang saya minta menghamparkan sejadah ini bukan pelajar nakal, malah masa diberikan pada mereka untuk menyelesaikan tugas itu terhad kerana mereka perlu berada di dalam surau untuk berzikir sebelum masuk waktu Maghrib.

“Jumlah sejadah juga banyak. Maka saya yakin ini bukti kebesaran ALLAH SWT dan mungkin sebagai satu daripada bentuk hidayah kepada pelajar serta umat Islam,” katanya.

Sumber : sinar

Thursday

OKU jadi jurulatih badminton

BACHOK – Walaupun fizikalnya tidak sempurna seperti orang lain, namun empunya badan tidak pernah menjadikannya satu alasan untuk meninggalkan minatnya dalam bidang badminton.

Mohd Razali Said,43, merealisasikan minatnya itu melalui anak didiknya yang dilatih setiap hari di dua gelanggang berdekatan rumahnya, di Kedai Ahad.

Menurutnya, sejak empat tahun lalu, dia diberi kepercayaan untuk melatih pasukan badminton Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Telaga.

“Saya memang meminati sukan badminton sejak dahulu lagi, tetapi tidak sangka diberi amanah sebagai jurulatih pasukan badminton sekolah. Begitu pun saya amat berterima kasih kerana diberikan kepercayaan oleh Pengurus Pasukan, Wan Zamri Wan Mohd Noor untuk melatih pasukan ini sejak empat tahun lalu.

“Alhamdulillah setakat ini pencapaian mereka membanggakan di peringkat daerah bersaing dengan pasukan SMK Beris Panchor,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, setiap hari anak didiknya akan berlatih tiga kali sehari untuk menghadapi saingan Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Bachok yang bermula dari 31 Januari sehingga 7 Februari .

Setiap kali latihan walaupun hanya duduk di kerusi roda berhampiran gelanggang, Mohd Razali yang mesra disapa sebagai Pak Li tekun memerhatikan memberi arahan untuk memantapkan permainan anak buahnya.

Katanya, selain badminton­, beliau juga pernah melatih anak saudaranya bermain sepak takraw, Aswan Che Hamid yang pernah terpilih sebagai wakil Kelantan.

Sumber : Sinar

Monday

Miliki kebolehan luar biasa

BESUT - Pelik tetapi benar tetapi itulah realiti kebolehan luar biasa seorang pelajar tingkatan lima yang secara tiba-tiba boleh bertutur pelbagai bahasa selepas dia terlibat dalam kemala-ngan jalan raya pada jam 2 petang, 13 Januari lalu.

Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Alor Lintang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin dengan lancar walaupun sepanjang hayatnya tidak pernah ikuti kelas bahasa itu.
 
Menurutnya, kebolehan luar biasa itu berlaku selepas empat hari dia terbabit dalam kemalangan apabila motosikal yang dibonceng dirempuh oleh sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang ketika perjalanan pulang dari sekolah.
 
“Ketika kejadian saya membonceng motosikal yang ditunggang abang saya, Jefri, 18, yang tiba-tiba dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan saya terjatuh dan terhantuk kepala atas jalan. Mujur saya pakai topi keledar,” katanya.
 
Sementara itu menurut bapanya, Ismail Salleh, 46, kemalangan itu menyebabkan Noraini koma selama 11 jam dan sebaik sedar dia berada di Unit Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
 
Kata Ismail, selepas doktor menjalankan imbasan kali pertama mendapati terdapat darah beku di bahagian belakang kepalanya.
 
Bagaimanapun katanya, ketika dilakukan imabasan kali kedua untuk melakukan pembedahan, doktor terperanjat kerana mendapati darah beku tidak ada lagi.
 
“Bagi mengesahkan perkara itu, doktor HUSM mengulangi ujianebanyak tiga kali namun ternyata darah beku dikesan peringkat awal memang tidak ada,” katanya.

 
Bercakap bahasa Korea selepas terjaga dari tidur
 
Ismail berkata, pada jam 5 petang pada hari keempat selepas dibenarkan pulang ke rumah, sebaik Noraini terjaga daripada tidur tiba-tiba dia bercakap bahasa Korea.
 
Katanya, anaknya itu meminta air daripada ibunya dalam bahasa Korea namun ketika itu ibunya tidak mengetahui bahasa apakah yang dituturkan Noraini.
 
“Kami sekeluarga tidak faham maksudnya dan langsung tidak tahu bahasa Korea kerana ia mirip bahasa Cina tetapi selepas dia menunjukkan isyarat ingin minum air baru ibunya beri air,” katanya.
 
Kata Ismail, selain Korea dia juga kadang-kadang bertutur dalam bahasa Mandarin dan paling aneh lagi ketika dia berbahasa tersebut dia langsung tidak akan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
 
Pada mulanya, Ismail dan keluarga meragui maksud bahasa yang dituturkan itu betul atau tidak tetapi apabila Noraini menonton cerita Korea di televisyen, dia dapat menterjemahkan cerita tersebut dengan tepat seperti sarikata dipaparkan pada skrin televisyen yang ditutup dengan tangan oleh ahli keluarganya.
 
Menurut Noraini, seorang doktor pakar berbangsa Cina di HUSM yang menjalankan rawatan susulan ke atasnya baru-baru ini juga menganggap kejadian dia boleh bertutur bahasa Cina juga aneh malahan kejadian itu pertama kali ditemuinya semenjak 17 tahun bertugas sebagai doktor.
 
“Doktor itu minta saya membaca nombor dalam bahasa Cina dan apa yang saya sebut adalah benar,” katanya.

 
Tidak boleh bercakap loghat Kelantan
 
Satu lagi keanehan pada Noraini ialah dia kini bertutur bahasa baku sepenuhnya malahan dia langsung tidak boleh bercakap loghat Kelantan lagi seperti pertuturan hariannya sebelum ini.
 
Menurutnya ibunya, Masina Daud, 48, sejak kemalangan anak keenam daripada tujuh beradik itu hanya boleh bercakap bahasa Melayu standard (baku) seperti loghat Kuala Lumpur sahaja manakala bahasa Kelantan sekarang dia boleh menyebut beberapa perkataan, seperti ‘mok’ dan ‘ayah’.
 
“Sebelum ini dia nak sebut perkataan mok (emak) memang langsung tidak boleh tetapi kalau perkataan Mama lancar. Saya pun hairan bagaimanana pertuturan boleh berubah,” katanya.
 
Dalam pada itu Noraini berkata, sejak belakangan ini dia hanya bertutur dalam bahasa Cina atau Korea sekiranya dia tidur semula selepas menunaikan solat Subuh.
 
“Kalau saya tidur semula selepas solat Subuh pasti apabila bangun saya tidak boleh langsung bercakap bahasa Melayu sebaliknya hanya boleh bertutur dalam bahasa Korea yang berlarutan sehingga jam 11 pagi pada hari sama sebelum boleh bertutur semula bahasa Melayu.
 
“Kalau saya tidak tidur selepas solat Subuh saya tidak akan bercakap korea,” katanya yang juga hairan dengan perubahan yang dialami.
 
Katanya, dia memahami bahasa Korea atau Cina di kaca televisyen hanya ketika dia boleh bertutur bahasa tersebut tetapi apabila ketika boleh bercakap bahasa Melayu, dia langsung tidak faham makna bahasa berkenaan.

 
Jalani rawatan alternatif
 
Bapanya pula agak tertekan dengan masalah yang dihidapi anaknya dan sudah beberapa kali dia membawa anaknya menjalani rawatan alternatif namun setakat ini tidak berhasil.
 
Kata Ismail, lebih memeritkan keadaan kerana boleh dikatakan setiap hari sama ada sebelum atau selepas Maghrib, Noraini akan tiba-tiba diserang sakit kepala menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Besut untuk mendapat suntikan.
 
“Sekarang hampir setiap hari saya terpaksa membawa dia mendapat suntikan kerana Noraini tidak akan sedarkan diri jika lambat dibawa ke hospital,” katanya yang tinggal di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini.
 
Ismail merayu orang ramai atau ahli perubatan alternatif untuk tampil membantu menyelesaikan masalah yang dihidapi anaknya kerana dia tidak berkemampuan untuk lebih kerap membawa anaknya mendapatkan rawatan.
 
Ismail menetap di alamat 2672, Kampung Baru Gong Medang dekat Tembila dekat Kampung Raja.
 
sumber : sinar

Tong sampah kalis bom


Pelik tetapi benar....
Takut kena Serang dengan Musuhnya ker?

Wednesday

Kanak-kanak sedih, sunyi tanpa Internet

LONDON: Hampir separuh daripada semua kanak-kanak di bawah usia 12 tahun akan bersedih jika tidak mempunyai akses kepada Internet.

Seorang daripada lima kanak-kanak itu mengaku mereka akan kesunyian.

Sejumlah 1,000 kanak-kanak di United Kingdom yang berusia antara lapan hingga 16 tahun disoal mengenai kesan Internet dalam kehidupan mereka dalam satu kajian baru-baru ini.

Dan hasil kajian berkenaan menunjukkan, kanak-kanak mempunyai emosi yang tinggi pada Internet.

Dan tidak mengejutkan perasaan seumpama itu lebih kuat di kalangan remaja belasan tahun.

Menurut akhbar The Telegraph, 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 16 tahun mengaku mereka akan berasa sedih tanpa Internet sementara 48 peratus berkata, mereka akan kesunyian.


Remaja adalah pengguna paling tinggi peranti mudah alih dan yang lebih pelik, kanak-kanak berusia dua tahun, menguasai iPad keluarga. - AP

Sumber : metro

Tuesday

‘Abangku wira’

PENAMPANG: Seorang budak berusia 10 tahun sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak semata-mata mahu menyelamatkan dua adiknya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kanak-kanak berkenaan, Nigel Justin, melecur di tangan selepas meredah masuk menyelamatkan dua adiknya, Agustin, 6, dan Victor, 2, yang ketika itu berada dalam rumah yang terbakar.

Difahamkan, ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu, Justin Banot, 48, tiada di rumah kerana menemani seorang lagi anaknya, Jun Jenifer, 9, yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini, manakala anak sulungnya, Ricky, 19, bekerja di pekan Inanam.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu yang tidak dikenali dikatakan sudah tidak lagi tinggal di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu walaupun dia belum bercerai dengan suaminya.

Akibat kejadian itu, rumah dua tingkat milik Justin musnah dan menyebabkan kerugian lebih RM60,000 termasuk kedai runcit disewa di tingkat bawah rumah turut rentung.

Menurut Nigel, ketika kejadian, dia di rumah menjaga dua adik selepas bapa pergi menziarah seorang lagi anaknya di hospital.

“Saya terhidu bau asap yang kuat dan terkejut apabila mendapati dapur rumah terbakar.

“Ketika itu, saya hanya berfikir menyelamatkan adik lalu berlari ke ruang tamu dan menarik tangan Agustin keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.
Namun, selepas itu, Nigel menyedari seorang lagi adiknya, Victor tiada bersama lalu nekad masuk semula ke dalam rumah walaupun ketika itu api mula merebak.

“Saya terus ke bilik tidur dan terus mengangkat Victor yang ketika itu nyenyak tidur lalu berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya.

“Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda lain termasuk kelengkapan sekolah kerana hanya terfikir untuk menyelamatkan kedua-dua adik saya,” katanya.

Sementara itu, Justin ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia ke hospital untuk menemani seorang lagi anaknya yang dirawat kerana menghidap penyakit sawan.

“Saya terkejut dan hampir pitam apabila memikirkan keselamatan anak sebaik menerima panggilan memberitahu rumah saya terbakar.

“Walaupun tidak sempat menyelamatkan sebarang harta, saya bersyukur semua anak selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Johnny John Jinuli berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.18 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Seramai 11 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal satu jam kemudian.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sumber : metro

Monday

Monyet, babi hutan tertipu

PORT DICKSON: “Sudah habis cara kami lakukan untuk menghalau monyet liar dan babi hutan, sehinggalah seorang rakan memberi idea supaya meletakkan ‘harimau’ di laman rumah,” kata Norehan Nordin, 55, yang meletakkan patung harimau di hadapan rumahnya bagi menghalau haiwan liar itu daripada mengganas dan merosakkan tanaman di kebunnya di Kampung Telok Pelandok, di sini.

Lebih mengejutkan, idea itu ternyata berkesan apabila ratusan monyet liar tidak lagi menghampiri kawasan rumahnya kerana bimbang ‘dimakan’ harimau itu.

“Tidak sangka idea ini berkesan berikutan monyet liar lari bertempiaran selepas melihat patung harimau itu dan tidak lagi berani menghampiri rumah dan tanaman kami.

“Saya bercadang mahu ‘membela’ lagi harimau kemudian diletakkan di seluruh rumah bagi menakutkan monyet dan babi hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Norehan berkata, patung harimau itu perlu dipilih dengan betul iaitu mulutnya mestilah terbuka seperti sedang mengaum supaya kelihatan garang dan saiznya mestilah sama dengan harimau sebenar.

“Saya mengetahui taktik itu sebaik diberitahu pekedai di Ayer Itam, Johor, yang menyarankan saya membeli patung harimau mulut terbuka.

“Walaupun harganya mencecah RM120 seunit, namun berbaloi untuk menakutkan monyet yang sentiasa ada di sekitar rumah. Jika tidak, kawasan lapang hadapan rumah menjadi tempat haiwan itu berkeliaran,” katanya.

Menurut suaminya, Abu Bakar Yusof, 58, rumah itu peninggalan ayahnya sejak 50-an dan menjadi tempat berkumpul monyet liar.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, monyet berkenaan membiak hingga kadang-kadang boleh mencapai beribu ekor hingga menakutkan cucu saya,” katanya. Abu Bakar berkata, sejak rumahnya meletakkan harimau itu, ia menjadi ikutan kepada jiran yang turut meletakkan patung harimau di halaman rumah mereka.

“Dulu jika kami leka, monyet akan masuk ke dalam rumah dengan membuka pintu kemudian memakan makanan yang diletakkan di atas meja.

“Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan sesuatu berikutan sudah beberapa kali aduan dibuat ke jabatan itu, namun tiada tindakan,” katanya.


sumber : metro

Tuesday

Serangga pelik serupa daun

SETIU – Jika akhbar ini semalam menyiarkan seorang penoreh di Hulu Terengganu mendapat seekor ikan pelik masuk ke dalam bubunya, hari ini, seorang mekanik juga berhadapan senario sama apabila rumahnya tidak putus dikunjungi setelah dia memelihara seekor serangga pelik.

Penemuan seekor serangga yang tidak dikenali me­nyerupai sehelai daun limau purut menimbulkan tanda tanya kepada Norasmadi Nordin, 45, dan keluarganya.
 
Serangga berkenaan turut mempunyai urat daun, berwarna hijau pekat dan berlilin di lapisan permukaannya.
 
Seperti juga saiz daun limau purut, serangga ini mem­punyai ukuran lebar 2.5 sm dan panjang 5 sm.
 
Norasmadi berkata, dia tidak tahu makanan yang diambil serangga itu kerana rumput yang diletakkan dalam sangkarnya tidak berubah seakan tidak pernah dimakan.
 
Menceritakan penemuan spesies pelik itu, Norasmadi berkata, semasa dia mencuci kereta di rumahnya, tiba-tiba dia terlihat seperti sehelai daun berterbangan atas meja.
 
“Namun setelah diamati, sangkaan saya meleset apabila bukan daun berterbangan, tetapi serangga menyerupai sehelai daun sedang bergerak,” katanya.
 
Menurut Norasmadi, serangga ini istimewa kerana sesekali ia mengeluarkan bau wangi seperti limau purut manakala bahagian belakang serangga itu terangkat apabila ia bergerak seperti sehelai daun yang bergulung di hujungnya.
 
Sumber : sinar

Monday

Orang minyak masuk botol

GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Sumber : Sinar

Saturday

Celine Dion Miliki 3 Ribu Pasang Kasut

Tiga ribu pasang, itulah jumlah kasut yang dimiliki oleh pelantun lagu 'My Heart Will Go On', Celine Dion. Celine mengakui obses dengan kasut dan memberitahu akan sentiasa akan menambah koleksi kasutnya ketika membeli-belah.

“Saya sangat obses pada kasut dan hal ini merupakan satu ketagihan untuk saya. Pada dasarnya, saya tidak kisah apa jenama kasut itu kerana jika ia kelihatan cantik dan selesa saya akan membelinya,” katanya yang menggemari jenama kasut daripada Chanel, Louis Vuitton dan Jimmy Choo.

Sumber : Mediahiburan

Tuesday

Batu jalan hablur emas

JOHOR BAHRU: Ratusan individu bakal bergelar jutawan sekiranya puluhan ketulan batu didakwa bersalut hablur emas yang dikumpul keluarga masing-masing sejak empat hari lalu di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee disahkan emas tulen.

Setakat semalam, kumpulan berkenaan tinggal selangkah lagi untuk bergelar jutawan selepas wakil pemilik kedai emas yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Tampoi mengesahkan ia emas tulen.

Penduduk memaklumkan, mereka mendapat kerjasama wakil kedai emas berkenaan yang datang ke lokasi dan melakukan pemeriksaan ke atas ketulan batu itu, kelmarin.

Hasilnya, wakil berkenaan mendakwa ketulan batu diselaputi warna kuning tua itu adalah emas tulen yang mempunyai gred terbaik.

Bagaimanapun, perkara itu belum ditentukan kesahihannya 100 peratus kerana banyak lagi kajian serta ujian perlu dilakukan sebelum menyatakan ketulan batu berkenaan sahih diselaputi emas tulen.

Idham Mohd Diah, 36, berkata, wakil pemilik kedai emas yang mengunjungi tapak pencarian itu turut dikatakan menempah batu kononnya mengandungi hablur emas.

“Ada penduduk yang mendakwa batu yang dikumpul mereka itu sudah ditempah pembeli emas dengan harga hingga RM15,000.

“Saya dan bapa menemui beberapa ketulan emas sejak mencarinya empat hari lalu,” katanya.
Suri rumah dari Stulang, Munawarah Rashid, 29, berkata, sejak jam 10 pagi hingga 3 petang semalam, dia serta suami mengumpul 40 batu bersalut hablur dipercayai emas.

“Kami bercadang kembali semula ke sini pagi ini dengan harapan dapat menemui lebih banyak batu berkenaan.

“Saya mendapat tahu berkaitan penemuan batu terbabit menerusi rakan yang mendakwa mengumpul 20 ketulan batu bersalut hablur emas dalam tempoh dua jam, kelmarin.

“Sekiranya benar ia emas tulen, kami menganggapnya rezeki,” katanya.

Munawarah berkata, dia turut tahu berkaitan kesahihan yang dimaklumkan wakil kedai emas berkenaan dan berharap ia benar.

Penduduk, Mohd Diah Abdullah, 63, berkata, suasana perkampungan itu bertukar riuh selepas penemuan batu bersalut warna keemasan terbabit.

Menurut Diah, individu pertama menemui batu itu adalah keluarga besannya, empat hari lalu.

Sumber : metro

Sunday

Gelagat pengantin naik bas, LRT



PENUMPANG ISTIMEWA. Jika kebanyakan mempelai dibawa dengan kereta pada hari persandingan mereka, pasangan Mohd. Shah Helmi, 24, dan Nor Yusnita Ramli, 26, ada pilihan sendiri.

Mereka meraikan hari bahagia dengan menaiki tren LRT dan bas RapidKL bersama-sama penumpang lain untuk ke rumah pengantin lelaki semalam.

Pasangan itu menaiki tren LRT bermula dari Stesen LRT Ampang menuju ke Stesen LRT Gombak kemudian menaiki bas khas RapidKL untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki di Taman Wilayah.

Idea menggunakan perkhidmatan awam itu mungkin terbit daripada kerjaya Nor Yusnita sendiri sebagai staf perkhidmatan pelanggan di Stesen LRT Bukit Jalil, manakala Mohd. Shah pula kakitangan Pos Malaysia.

Sumber : Kosmo

Thursday

Orang minyak atas bumbung

GOMBAK – Orang minyak sekali lagi dikesan muncul di atas bumbung salah sebuah rumah penduduk di Jalan Laksamana 1 jam 1.30 pagi, kelmarin.

Kelibat makhluk hitam bertubuh kurus itu disedari ketika rondaan jam 2 pagi.

Salah seorang anggota ronda mendakwa, makhluk itu dikesan cuba bersembunyi di celah bumbung setelah kehadirannya disedari.

“Saya menjerit, kelibat itu menunjukkan dirinya beberapa saat sebelum ghaib,” katanya.

Sementara itu, anggota Unit Amal, Mohd Rafiq Hamidullah, 34, berkata, anggota unit ronda yang bertugas sehingga jam 6.30 pagi kelmarin di Jalan Laksamana 1/5 juga terdengar bunyi nafas tercungap-cungap.

“Kami yakin makhluk itu mahu berubah kepada manusia semula kerana hari sudah siang namun ia lenyap tanpa dapat dikesan arah ia melarikan,” katanya.

Fenomena gangguan lembaga hitam didakwa sebagai orang minyak yang mula dikesan penduduk Kampung Laksamana di sini sejak 20 Disember tahun lalu kini berlarutan lebih dua minggu.

Pelbagai usaha dilakukan penduduk termasuk mengadakan solat hajat, menggunakan pendekatan agama dan meningkatkan rondaan dalam usaha menangkap dua lembaga didakwa orang minyak terbabit.

Sejak kes tercetus, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima tujuh laporan daripada penduduk mendakwa keluarga dan kediaman diganggu makhluk tersebut.

Kesemua laporan yang diterima membabitkan kediaman yang mempunyai penghuni anak dara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, setakat ini terdapat satu laporan polis dibuat penduduk berhubung kes serangan orang minyak dan maklumat lanjut diperlukan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.

sumber ; sinar

Laluan orang minyak dipagar

GOMBAK - Sudah 16 hari berlalu, namun serangan orang minyak di Kampung Laksamana, Batu Caves masih berterusan berlaku.

Pelbagai ikhtiar dibuat bagi mengatasi gangguan, bagaimanapun kejadian pelik terus berlaku terutama dalam tempoh waktu malam hingga ke pagi.

Kaedah untuk mengatasi masalah gangguan orang minyak diteruskan dan kelmarin, satu majlis tahlil khas diketuai Ustaz Kamaruzaman Abdul Rafar dilakukan di sebuah rumah di Jalan Laksamana 1.

Kamaruzaman hadir diiringi kira-kira 10 ahli persilatan­ memimpin bacaan tahlil dan doa selamat yang turut disertai penduduk.

Majlis yang diadakan tepat jam 10 malam itu diadakan bertujuan memohon petunjuk ALLAH bagi membantu elak daripada terus menjadi mangsa gangguan dua orang minyak yang mengganas di kampung itu.

Program yang berlangsung selama satu jam itu diakhiri dengan memagar seluruh kawasan Jalan Laksamana 1 manakala kawasan lain akan dilakukan secara berperingkat.

Kamaruzaman berkata, majlis bacaan ayat suci al-Quran yang diadakan merupakan salah satu cara untuk mematikan kuasa ilmu hitam orang minyak menggunakan benang.

“Apabila makhluk ini terpijak benang-benang yang sudah diwafakkan dengan ayat al-Quran, kuasanya akan hilang dan ianya akan menjadi manusia biasa semula, ketika itulah kita boleh menangkapnya,” katanya.

Kamaruzaman berkata, benang-benang itu diikat dipangkal pokok pisang dan laluan yang dipercayai sering menjadi lokasi orang minyak muncul.

“Kita cuba cara ini dahulu, mana tahu ianya berhasil untuk mengesan,” katanya.

Turut ‘dipagar’ pada malam itu ialah kawasan kabin usang yang sebelum ini terdapat tiga botol minyak hitam dan minyak zaitun.

Penduduk juga boleh mengelak daripada menjadi mangsa gangguan ini dengan memagar sendiri kawasan rumah masing-masing melalui bacaan 100 kali ayat kursi dari pintu pagar luar ke pintu utama, membaca al-Fatihah terus ke sudut kanan, surah al-Kafirun sambil membaca setiap empat penjuru rumah dengan 25 kali ayat kursi, al-Ikhlas, al-Kafirun dan diakhiri dengan surau al-Falaq.

Semalam, sekali lagi perkara pelik berlaku pada jam 4 pagi apabila batang pokok pisang yang sudah diikat dengan benang terkulai seolah-olah seperti baru dicantas.

Ustaz Kamaruzaman memberitahu, perkara yang tidak disengajakan itu berlaku apabila orang minyak itu terlanggar benang yang diikatkan di kawasan itu.

“Mungkin dia takut dikesan dan cuba melarikan diri menyebabkan pokok pisang yang menjadi tempatnya bersembunyi dilanggar,” katanya.

Difahamkan, satu lagi solat hajat akan digerakkan Surau al-Karimiah, Kampung Laksamana hari ini, seorang lagi ustaz akan dipanggil untuk membantu menyelesaikan isu orang minyak itu.

Sumber : Sinar

Monday

Kak Limah dipenjara dalam botol

Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.

Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.

Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan hangat di pawagam tahun lalu.

Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.

Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang, kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi lokasi liputan bahan berita itu.

Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak jauh di tengah padang.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap yang amat menyeramkan.

Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli keluarga terde­kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan peluang.

Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat dirasuk.

Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.

Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang merasuk.

Pada masa itulah, Masli­ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul. Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang menguasai tubuhnya.

Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul.
Kena sembelih

Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah kebatinan.

Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.

Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.

Proses rawatan tidak meng­­gunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan rawatan diberikan.

Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmonian hidup keluarga Syaawal.

Sumber : Sinar

Misteri bekas orang minyak

GOMBAK – Tiga bekas berisi minyak hitam dan satu botol minyak zaitun ditemui dalam sebuah rumah kosong di Jalan Laksamana 1/5.

Barangan tersebut ditemui susulan maklumat yang diterima unit rondaan penduduk mengenai satu lembaga yang melompat ke rumah tinggal berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Penduduk, Norhan Shafiq, 22 berkata, dia memberanikan diri memasuki kawasan rumah kosong bagi membuat pemeriksaan sebelum terjumpa bekas minyak berkenaan.

“Saya jumpa bekas berwarna kuning di dalam tandas manakala dua lagi bekas minyak dan satu botol minyak zaitun ditemui di bilik utamanya,” katanya.

Sementara itu pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa helai pakaian di dalam rumah tersebut.

Penduduk mensyaki rumah kosong tersebut menjadi lokasi sementara suspek menyembunyikan diri dan bertukar orang minyak

Bagaimanapun rondaan sehingga jam 6.00 pagi tidak menemui sebarang perkara pelik di sekitar kampung tersebut.


Penduduk guna benang, jaring cekup orang minyak

GOMBAK – Benang dan jaring bakal digunakan penduduk Kampung Laksama dalam misi menangkap lembaga didakwa orang minyak.

Pengamal perubatan alternatif, Kamal Abu Zaman penggunaan bahan-bahan itu adalah sebahagian ikhtiar memberkas pengamal ilmu hitam yang menyebabkan kampung itu huru-hara sejak dua minggu yang lalu.

Menurutnya benang dan jaring yang sudah dibacakan ayat suci al-Quran itu akan direntangkan lokasi yang disyaki menjadi laluan orang minyak.

“Apa yang kita buat ini adalah antara ikhtiar yang dipraktikkan sejak zaman Rasullah dan ianya berkesan untuk menumpaskan pembuat sihir dan ilmu hitam menggunakan beberapa surah utama ayat suci al-Quran.

“Insya-Allah bila makhluk itu terpijak atau terkena jaring ini, kuasanya sihirnya akan hilang dan dianya akan bertukar menjadi manusia biasa kembali dan ketika itu kita boleh menangkapnya,” katanya.

Menurutnya mereka yang terlibat dalam mengamalkan ilmu hitam itu sebenarnya disumpah dan mereka perlu menjadi orang minyak untuk memastikan ilmunya bertambah kuat.

“Saya yakin gangguan ini akan berakhir tidak lama lagi kerana kuasa Allah tidak mampu ditandingi oleh sesiapa kerana kita semua adalah sebahagian dari makhluk ciptaan-Nya,” katanya.


Gangguan berterusan

GOMBAK – Gangguan didakwa perbuatan orang minyak semakin menjadi-jadi.

Terbaru, sebuah rumah di Jalan Laksamana 2, di sini dipercayai diganggu makhluk berkenaan sejak dua malam berturut-turut.

Mangsa, Sahimah Ismail, 40, berkata, rumahnya mula diganggu sejak Selasa lalu dan kejadian disedari anak saudara dan abang iparnya yang tidur di ruang tamu.

“Mereka terjaga selepas terdengar bunyi tombol pintu sebelum diikuti dengan ketukan pada pintu rumah selama kurang seminit sebelum bunyi itu lenyap,” katanya mempunyai anak gadis berusia 19 tahun.

Menurutnya, menyedari gangguan itu, pemeriksaan dilakukan namun tidak ada sesiapa dikesan berada di kawasan luar rumah.

Gangguan tidak berhenti setakat itu dan pada malam Jumaat lalu seisi rumahnya terjaga selepas dikejutkan dengan kejadian tingkap cermin tiiba-tiba pecah.

“Bunyi kaca pecah itu mengejutkan semua orang malah sebelum itu tombol pintu itu turut dipulas beberapa kali,” katanya.


Rela bergilir adakan rondaan

GOMBAK – Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kampung Laksamana dengan kerjasama Unit Amal Gombak akan mengadakan rondaan secara bergilir setiap malam bermula jam 1 pagi sehingga Subuh di kampung itu.

Ketuanya, Anuar Harun berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan orang kampung bagi menambah keanggotaan pasukan beruniform di kampung itu.

Menurutnya jika ramai yang menyertai rondaan secara bergilir dan bersistematik dapat diatur bagi memastikan tahap keselamatan kampung berada pada tahap yang terbaik.

“Platun di kampung ini meskipun masih baru ianya berperanan besar dan masalah terbaru di kampung ini ketika amat memerlukan penugasan anggota yang meronda berjalan kaki dan menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya terdapat 60 orang anggota Rela berdaftar di kampung itu dan jumlah itu diharap boleh bertambah dalam masa beberapa hari lagi.

“Anggota sebelum ini pernah menggagalkan cubaan memecah masuk rumah tahun lalu ,”katanya.

Sumber : Sinar

Saturday

Langsuir bertenggek dirakam

HI-TECH - Misteri lembaga putih dipercayai langsuir yang dilaporkan sering bertenggek di atas paip air di jalan masuk ke Taman Kulim Perdana terjawab apabila imej objek putih yang sedang terbang berjaya dirakamkan Sinar Harian kira-kira jam 2.45 pagi semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian dimaklumkan orang ramai mengenai kewujudan makhluk itu dan ia sering ditemui berterbangan sekitar kawasan ladang kelapa sawit berdekatan sebelum bertenggek di atas paip air.

Ketika imej berkenaan dirakam, keadaan di sekitar kawasan itu gelap dan hujan renyai.

Sebelum penggambaran dibuat, perkhidmatan pengamal perubatan tradisional terdiri dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina turut digunakan untuk memastikan lembaga yang selama ini menghantui tempat itu dirakamkan.

Selain kemenyan dan setanggi, beberapa peralatan lain turut digunakan. Malah, pengamal perubatan Cina yang hanya mahu dikenal sebagai Tan turut menjalankan upacara pemujaan di lokasi terbabit dan ini adalah hari ketiga cubaan untuk merakamkan imej lembaga itu.

Sebelum imej berjaya dirakamkan, terdapat beberapa gangguan berlaku seperti salakan anjing yang kuat dan sayup serta bau bunga kemboja yang sering ditemui di tanah perkuburan.

Perasaan seram sejuk semakin kuat dan menyebabkan dua daripada empat orang yang berada di lokasi mengambil keputusan untuk beredar dari kawasan itu.

Daripada pengamatan dibuat pada imej lembaga berkenaan, ia tidak bermata dan badannya putih seakan-akan dibalut dengan sesuatu.

Ketika rakaman dibuat, lembaga itu terbang dengan keadaan mukanya menghadap ke hadapan di belakang wartawan Sinar Harian yang sedang duduk di tepi pembahagi jalan.

Seorang pengamal perubatan tradisional Melayu yang dikenal dengan nama Rosli berkata, terdapat lima lembaga sekitar kawasan itu dan imej yang berjaya dirakamkan adalah yang ketiga.

Menurutnya, sebelum ini, pokok besar dan hutan tebal di sekitar kawasan itu menjadi tempat tinggal mereka, tetapi setelah ia diteroka bagi tujuan pembangunan, makhluk ini terus mendiami tapak lamanya.

“Makhluk halus, jin, iblis dan syaitan memang wujud dan kita harus mempercayainya. Mereka muncul setelah diseru dan dipuja.

“Kita boleh berkomunikasi dengan mereka jika kita mempelajari ilmu tertentu. Selain itu, makhluk ini turut mengenali dan akan membenci individu yang tahu asal-usul mereka,” katanya.

Sumber : Sinar

Thursday

Terkejut rakam wajah misteri

LANGGAR - Seorang pelanggan sebuah gerai minum di pekan Langgar secara tidak sengaja merakam gambar satu kepulan asap yang menyerupai wajah manusia beberapa hari lalu sewaktu bersantai di kedai berkenaan.

Usahawan, Zul Azri Abdul Khalil, 34, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 5 petang, dia hanya mahu menguji kamera telefon bimbitnya sahaja dan mengambil gambar beberapa kali.

Menurutnya, selepas beberapa ketika dia meneliti kembali gambar yang diambil dan terkejut apabila mendapati terdapat satu kepulan asap seolah-olah menyerupai wajah manusia.

“Terdapat seolah-olah kepulan asap yang menyerupai wajah manusia semasa gambar diambil.

“Selepas itu, saya menunjukkan kepada beberapa kawan yang lain dan ternyata mereka juga turut terkejut,” katanya.

Pengalaman pertama kali merakam gambar aneh sedemikian ternyata turut menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang berada di kedai berkenaan.

Zul Azri berkata, dia tidak menyangka bahawa dengan hanya mengambil beberapa gambar menggunakan telefon bimbitnya, dia dapat merakam gambar aneh.

Seorang lagi pelanggan kedai minum itu, Yusof Hat, 40, mengakui masih belum pernah melihat benda aneh yang dirakam secara tiba-tiba.

Menurutnya, bagaimanapun perkara demikian tidak perlu diambil serius kerana langsung tidak memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat di kawasan sekitar.

“Serius saya katakan memang tidak pernah melihat kejadian seumpama ini, sedangkan gambar berkenaan pula dirakamkan pada waktu siang,” katanya.

Sumber : Sinar

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor