Translator

Showing posts with label Panas. Show all posts
Showing posts with label Panas. Show all posts

Monday

Peguam bantah cara polis tangani demo pelajar

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) kesal dengan tindakan polis terhadap penuntut yang berdemonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim, Perak, awal pagi semalam.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kejadian itu dapat dielakkan jika pihak berkuasa menangani dengan berhemah dan tidak menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan kecederaan kepada penuntut terbabit.

“PPMM berharap polis menghormati hak berkumpul yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun jika mereka (penuntut) tidak mengikut lunas undang-undang, pihak berkuasa perlu mengikut Standard Prosedur Operasi (SOP) yang ada, bukan melalui kekerasan.

“Malah, dengan bukti yang ada, jika berlaku pelanggaran dalam undang-undang, polis boleh mendakwa mereka di mahkamah dan diberi hak bela diri,” katanya.

Beliau berkata, penuntut yang mengalami kecederaan perlu diberi rawatan dengan segera di samping membebaskan beberapa tahanan berkenaan.

Untuk memastikan keadilan kedua-dua belah pihak, katanya, PPMM menggesa polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden ini dan sekiranya berlaku kekerasan sehingga melampaui undang-undang, anggota polis terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Kami khuatir sekiranya insiden yang berlaku di luar negara menjadi pemangkin kepada polis di negara ini berbuat perkara yang sama yang boleh mencemarkan imej negara di mata dunia.

“Jika ini diamalkan, ia menunjukkan pihak berkuasa menyanggah sistem demokrasi yang diamalkan. Justeru, segala tindakan perlu berasaskan kepada peruntukan mengikut norma dan tata susila budaya negara kita,” katanya.

Sumber : Sinar

Orang luar dalang kekecohan Upsi

SHAH ALAM – Orang politik diminta tidak masuk ke universiti dan menerap budaya politik yang kurang ajar sehingga mengganggu kehidupan siswa yang sepatutnya memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd Shahar Abdullah berkata, apa yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim pada awal pagi 1 Januari lalu adalah contoh campur tangan orang politik dalam kehidupan pelajar.

"Saya berani katakan majoriti penuntut Upsi tidak mahu kehidupan mereka diganggu. Mereka ada cita-cita untuk belajar hingga dapat genggam ijazah. Itu matlamat mereka," katanya.

Mohd Shahar berkata, apabila insiden seperti itu berlaku, sudah tentu ramai yang tertekan, terutama pelajar perempuan.

"Mereka tidak biasa dengan tindakan seperti ini. Mereka harus beri tumpuan pada pelajaran, apa lagi sekarang adalah minggu ulang kaji terakhir sebelum peperiksaan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi 1 Januari lalu, kira-kira 100 pelajar dari pelbagai universiti di Lembah Klang, berhimpun di hadapan Upsi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) selain menggesa penarikan balik tindakan terhadap penuntut Upsi, Adam Adli Abdul Halim yang akan dihadapkan ke perbicaraan tata tertib universiti 9 Januari ini.

Perbicaraan itu adalah susulan tindakannya menurunkan bendera bergambar Perdana Menteri ketika menyertai perarakan sekumpulan mahasiswa ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menempatkan ibu pejabat Umno 17 Disember lalu.

Mohd Shahar berkata, hanya dua orang penuntut Upsi sahaja terlibat termasuk Adam Adli dan seorang pelajar wanita yang telah dibuang dari universiti itu kerana menghadapi masalah disiplin.

Katanya, perhimpunan tidak mendapat sambutan kerana kebanyakan yang hadir bukan penuntut Upsi.

“Pengacau berkenaan sebenarnya tidak menghormati suara majoriti (pelajar Upsi yang tidak sertai perhimpuan) dalam masa yang sama memanjat pagar menceroboh kawasan universiti.

“Yang saya hairan, kenapa mereka memecah cermin sebuah klinik di depan Upsi? Adakah mereka mahu menganggap kecederaan itu dilakukan pihak berkuasa? “Yang saya dapati laporan perubatan Hospital Slim River, Perak orang luar, iaitu Safwan Anang Talib cedera kerana serpihan kaca,” katanya.

Beliau menyokong tindakan yang dilakukan polis dan pihak keselamatan Upsi kerana menahan orang luar daripada menceroboh dan melakukan kekecohan.

Sumber : Sinar

Polis nafi guna kekerasan surai perhimpunan Upsi

TANJUNG MALIM - Polis menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan ambang tahun baru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

"Semasa perhimpunan itu, tiada anggota FRU dipanggil bertugas... hanya anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tanjung Malim sahaja, dan ternyata blog berkenaan cuba membuat fitnah.

"Malah semasa menyuraikan perhimpunan haram itu, anggota kami tidak menggunakan sebarang kekerasan malah bertindak dengan sangat berhemah," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata kecederaan anggota kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri, dan bukan dipukul polis seperti didakwa.

Mohd Shukri berkata pada awalnya, polis cuba menasihati kumpulan itu dan memberi masa selama 30 minit untuk bersurai, namun mereka tidak menghiraukannya malah bertindak lebih agresif.

"Mereka kemudian mara dan berbaring di atas jalan raya, mengganggu lalu lintas... polis terpaksa bertindak demi keselamatan awam menghalang perlakuan berkenaan, namun ia masih dilakukan dengan berhemah.

"Mereka terus lari lalu merempuh pula klinik berdekatan sehingga berlaku kerosakan pada premis itu dan kemudian polis menahan 17 penuntut pada masa tersebut," katanya.

Kesemua 17 penuntut yang ditahan berusia antara 19 dan 24 tahun disiasat mengikut Seksyen 186, 145 dan 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 27(5) Akta Polis.
Mereka dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi setelah diambil keterangan.

Awal pagi tadi, kira-kira 70 penuntut beberapa universiti berhimpun tanpa kebenaran di pekarangan Upsi selepas sambutan ambang tahun baru bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971. - Bernama

Sumber : Sinar

Friday

15,400 penjawat awam berprestasi rendah disiasat

PUTRAJAYA: Kira-kira 15,400 kakitangan awam yang mencatatkan prestasi rendah iaitu mendapat markah penilaian 69 peratus ke bawah, tidak akan sewenang-wenangnya diminta bersara awal, sebaliknya kelemahan itu akan disiasat panel khusus bagi mengelakkan penganiayaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata panel itu diberi tempoh enam bulan untuk melakukan siasatan berkenaan yang membabitkan 1.1 peratus daripada 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara.

Katanya, siasatan itu turut membabitkan kemungkinan kakitangan terbabit mempunyai sebab tertentu mendapat prestasi rendah.

“Siasatan panel khas itu akan menyeluruh... kita melihat semua perkara termasuk bakat dan kemampuan kakitangan terbabit dan hanya selepas itu, panel akan memberi cadangan sama ada mungkin memindahkan mereka ke jabatan lebih sesuai dengan bakatnya.

“Mereka mungkin hanya diminta bersara awal sekiranya didapati mempunyai rekod prestasi buruk bagi tempoh yang lama dengan mengambil kira rekod tahun terdahulu secara berturut-turut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, katanya, fenomena itu bukan isu besar bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana sebahagian besar kakitangan awam memiliki rekod prestasi baik iaitu melebihi 70 peratus berdasarkan kepada sampel laporan prestasi tahun lalu yang dibuat ke atas 131,196 penjawat awam atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan awam.

Daripada laporan itu, katanya, 39 peratus (546,000) penjawat awam mendapat markah prestasi 90 peratus; 55.6 peratus (778,400) mendapat markah antara 80 hingga 89 dan 4.3 peratus (60,200) mendapat antara 70 hingga 79 markah.

Beliau mengulas laporan akhbar berkaitan isu penjawat awam yang berprestasi rendah dengan markah 70 peratus ke bawah, akan diminta bersara awal apabila skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilaksanakan mulai 1 Januari depan.

sumber : Berita

Thursday

Penjawat awam tetap diutamakan dalam SBPA

PUTRAJAYA  – Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier, walaupun terdapat dasar membenarkan “orang luar” mengisi jawatan tersebut dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan mula dikuatkuasakan Januari depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, penilaian akan dibuat terhadap penjawat awam yang layak mengisi kekosongan itu terlebih dahulu dan calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak untuk memegang jawatan itu.

“Penjawat awam jangan risau tentang perkara ini, sebab ini hanyalah persediaan. Kalau kita tak sediakan peruntukan ini sekarang dan kalau keperluan timbul nanti, waktu itulah baru kita nak buat pindaan dan sebagainya tentulah tak elok.

Setiap skim yang kita laksanakan bukan saja untuk mengatasi masalah sedia ada tapi juga melihat kemungkinan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa dalam skim baharu ini, jawatan premier perkhidmatan awam, peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah dasar tersebut, mengatakan ia seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.

Abu Bakar berkata, bakat dari luar itu turut perlu melalui proses sepertimana pegawai dalaman termasuk saringan dan penilaian oleh satu panel yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara.

“Jadi dia akan dinilai keupayaannya dari segi pengetahuan peraturan-peraturan perkhidmatan, kewangan, pengauditan dan sebagainya yang bermakna dia perlu cekap tentang urusan pentadbiran kerajaan dan dicampur dengan keupayaan dan pengalamannya berkhidmat di luar perkhidmatan awam barulah diberi pertimbangan,” katanya.

Setakat ini tiada kuota spesifik ditetapkan untuk pengambilan tersebut, namun menjangka keperluannya tidak akan melebihi 20 peratus daripada jumlah jawatan yang ada, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk urusan spesifik jangka pendek, seperti untuk menyertai kumpulan perundingan kedudukan negara dalam ekonomi, mereka yang tidak berada dalam perkhidmatan awam boleh diambil bekerja secara kontrak.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata SBPA bukanlah bertujuan untuk mengurangkan penjawat awam, tetapi bagi memastikan tenaga kerja dalam sektor awam itu dapat dikawal mengikut keperluan.

Beliau berkata, tahun ini sehingga hari ini sahaja sejumlah 29,000 jawatan dalam perkhidmatan awam dimansuhkan dalam usaha tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih baik.

“Sebagai contoh, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, kita mengambil 7,000 anggota polis yang selama ini berkhidmat di ibu pejabat dan balai, dipindahkan membuat kerja kawalan keselamatan awam dan tempat mereka ini digantikan dengan 4,200 penjawat awam dari agensi kerajaan lain,” katanya. – BERNAMA

sumber : Utusan

Kakitangan Awam Setuju SBPA

PUTRAJAYA: Kajian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diterima baik oleh hampir 1.4 juta kakitangan awam kerana menawarkan faedah dan insentif baru termasuk skim gaji serta prospek perjawatan yang lebih baik.

Sehubungan itu, jabatan menjangkakan hampir semua kakitangan akan memilih bertukar daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata, sebagai contoh, kakitangan awam Gred N11 akan menerima faedah kenaikan gaji 10.5 peratus, Gred U17 (10.9 peratus), Gred N27 (9.7 peratus) dan Gred J41 (9.5 peratus).
Abu Bakar berkata, kakitangan awam diberi tempoh bermula 16 Disember hingga 30 Disember untuk memilih sama ada kekal dalam SSM atau bertukar kepada SBPA dan tidak boleh menukarnya selepas tarikh itu.

Menerusi SBPA, hierarki perkhidmatan awam akan mempunyai empat kumpulan, iaitu Kumpulan Primier yang menerima peruntukan gaji secara ‘single point’ tanpa kenaikan gaji tahunan, Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang menerima konsep gaji minimum-maksimum dengan kenaikan gaji tahunan mengikut pencapaian prestasi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana (menggantikan Kumpulan Sokongan) yang kedua-duanya menerima peruntukan gaji sebaris dan tangga gaji untuk kenaikan gaji tahunan.

Beliau berkata, skim itu turut membabitkan kenaikan gaji setara dengan gred kenaikan pangkat walaupun tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong bagi pegawai yang diiktiraf sebagai pakar dalam sesuatu bidang.

SBPA juga memperkenalkan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PPROSPEK) mengandungi dua komponen, iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) sebagai mekanisme penilaian.

Sumber : Berita Harian

INTIPATI PELAKSANAAN SBPA


Antara Intipati Yang Dipersetujui Adalah Seperti Berikut:
  1. Pelaksanaan transformasi Perkhidmatan Awam melalui lima (5) inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif;
  2. Pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun. 
  3. Pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat (4) prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu (subject matter expert) serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi; 
  4. Pembentukan hierarki Perkhidmatan Awam yang terdiri daripada empat (4) peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional,serta Kumpulan Pelaksana yang menggantikan Kumpulan Sokongan; 
  5. Peruntukan gaji secara single point tanpa Kenaikan Gaji Tahunan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan Kenaikan Gaji Tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi; 
  6. Peruntukan Jadual Gaji Sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana; 
  7. Pelaksanaan enam (6) strategi untuk merealisasi inisiatif Perkhidmatan Awam yang kejat iaitu kawalan saiz Perkhidmatan Awam (right-sizing), kajian pertindihan fungsi antara agensi (duplication), penjajaran fungsi utama perkhidmatan (realignment), perkhidmatan yang boleh diserah urus (outsourcing), perekayasaan proses kerja (business process reengineering) dan kajian semakan skim perkhidmatan (revision); 
  8. Penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan melalui pelaksanaan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan memberi fokus kepada Laluan Pengajaran dan Pembelajaran (LPDP); 
  9. Penambahbaikan laluan kerjaya pegawai dan anggota dalam Senarai Tugas Am ATM berdasarkan subject matter expert dalam bidang-bidang kritikal dengan diberi kenaikan gred gaji tanpa bersandarkan kepada pangkat; 
  10. Pemberian peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat tanpa dinaikkan pangkat ke jawatan kosong kepada pegawai yang diiktiraf sebagai subject matter expert; 
  11. Pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang mengandungi dua (2) komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP), dan Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan; 
  12. Perluasan pemberian kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada pegawai dalam Kumpulan Pelaksana bagi membolehkan pegawai mengikuti latihan kemahiran di bawah program SkillsMalaysia; 
  13. Pengekalan prinsip-prinsip pemberian elaun sedia ada dan penambatan kadar bagi empat (4) elaun yang pada ketika ini kadarnya ditentukan berdasarkan gaji iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Pedalaman; 
  14. Pengekalan prinsip-prinsip pemberian kemudahan sedia ada dengan penambahbaikan melalui Program Keseimbangan Kehidupan dan Kerjaya yang memperkenalkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah; 
  15. Pemansuhan dasar pelepasan dengan izin yang diganti dengan dasar pelepasan jawatan bagi mempertingkat mobiliti pegawai  dalam perkhidmatan; 
  16. Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) kepada penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan; 
  17. Penyelarasan pencen kepada pesara Perkhidmatan Awam secara peratusan berasaskan kajian berkala kos sara hidup berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013; 
  18. Peningkatan umur persaraan wajib dari 58 tahun ke 60 tahun bertujuan mengekalkan pegawai mahir di dalam perkhidmatan; 
  19. Pengekalan pegawai yang menolak SBPA di bawah sistem saraannya, skim perkhidmatan dan syarat perkhidmatan sedia ada (SSM)
Dikeluarkan Oleh :
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
7 Disember 2011

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor