Translator

Showing posts with label Kejamnya...... Show all posts
Showing posts with label Kejamnya...... Show all posts

Monday

Kejam : Amah samun dan bunuh Warga emas

ALOR SETAR - Seorang warga emas maut akibat kesan tikaman dipercayai gunting dalam kejadian samun dan bunuh dipercayai angkara pembantu rumah sendiri di Taman Serindit, Jalan Langgar di sini hari ini.
Mangsa, Che Siah Wan Nik, 75, ditemui berlumuran darah di bilik utama rumah setingkat itu dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi.
Berikutan kejadian itu, polis menahan pembantu rumah berusia 38 tahun yang berasal dari Batu Besar, Batam, Indonesia. - 

Sumber : KOSMO!


Nenek Dirompak

Warga emas rugi RM13,000

Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Tanjung, Jalan Lama Seberang Marang di sini, mengalami kerugian kira-kira RM13,000 apabila rumahnya dipecah masuk pencuri.

Ketika kejadian, mangsa, Sulong Yusof, 80-an berada di rumah anaknya di Kampung Darat Pak Chan.

Kejadian hanya disedari kira-kira jam 11.20 malam kelmarin, apabila pulang ke rumah itu bersama cucu, Fatimah Ghazali, 36, yang tinggal bersamanya dan bekerja sebagai pensyarah di Kuala Terengganu.

Sulong yang lebih dikenali sebagai Mek Long Muda mendapati semua lampu di dalam rumah terpasang, manakala pintu depan terdapat kesan dirosakkan.

“Makcik tutup semua lampu rumah sebelum keluar ke rumah anak di Kampung Darat Pak Chan,tetapi sebaik sahaja sampai, semua lampu sudah terpasang.

“Selepas diperiksa, makcik dapati keadaan bilik juga berselerak dan almari pakaian dibuka,” katanya di sini, semalam.

Warga emas terbabit kehilangan empat bentuk cincin, tiga utas gelang tangan termasuk salah satunya adalah gelang emas putih dan wang tunai berjumlah RM1,700.

"Barang milik cucu seperti telefon bimbit dan komputer riba juga didapati hilang.

"Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Marang kira-kira jam 12.15 tengah malam," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memasang lampu apabila keluar rumah dan memaklumkan kepada jiran jika keluar dalam tempoh agak lama bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

Sumber : Sinar

P/S : Jenayah tidak mengenal usia....berhati-hati!!!!!

Bayi Diberi Racun

Tongod: Meskipun diberi minum racun dan dibuang tanpa sehelai pakaian sebaik dilahirkan, namun nasib tetap menyebelahi seorang bayi lelaki apabila ditemui penduduk dalam keadaan masih hidup sebelum diberi rawatan tradisional.
Namun, keadaan bayi malang itu ditemui di depan rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit di Ladang KJS di Kampung Inarad, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu, dilihat semakin lemah.

Keadaan itu menyebabkan penduduk segera menghantarnya ke klinik bergerak, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, bayi itu dipercayai cuba digugurkan ibunya ketika kandungan berusia lima bulan, tetapi sebaik ‘dilahirkan’, bayi berkenaan terus bernyawa.

Tidak sanggup membunuh dengan mencederakan bayi itu, pelaku yang lebih kejam daripada binatang itu kemudian memberi insan kecil itu racun sebelum meninggalkan bayi terbabit dalam keadaan bogel di hadapan rumah pekerja ladang sawit.

Individu menemui bayi terbabit mendakwa mulut bayi itu berbau racun dan masih hidup sebelum dirawat menggunakan perubatan tradisional.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih melakukan siasatan.

“Saya difahamkan sebaik menemui bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu, pekerja ladang hanya membawanya berubat menggunakan kaedah tradisional berikutan kedudukan ladang yang jauh dari hospital.
“Namun, oleh kerana keadaannya semakin lemah, bayi itu dihantar ke Klinik Bergerak Kampung Inarad, kelmarin, bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya.

Martin berkata, siasatan awal mendapati, mulut bayi itu berbau racun ketika ditemui dan sehingga kini, belum ada individu yang tampil menuntut bayi terbabit.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Martin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31, Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Sunday

Abang tetak Adik Kerana Nasi Goreng

ALOR GAJAH: Hanya kerana nasi goreng yang dimasak adiknya terlalu pedas, seorang lelaki berusia 28 tahun naik angin lalu menetak kepala dan badan adik kembarnya itu menggunakan sabit di Kampung Tebong, Kuala Sungga, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa, B Vellakumar, 28, parah di kepala dan badan akibat ditetak menggunakan sabit oleh saudara kembarnya, B Vellokumar, 28.


Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di ruang dapur rumah keluarganya sedang memasak nasi goreng untuk makan malam sebelum suspek datang menjamah nasi goreng yang dimasak adiknya itu.

Ketika kejadian suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Mangsa menerima enam jahitan akibat kejadian itu.

Sumber : Metro

Pembantu rumah disyaki lambung bayi ditahan reman

KUANTAN: Seorang pembantu warga Indonesia ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi berusia empat bulan yang cedera akibat dilambung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Aziz Ahmad berkata pembantu rumah berusia 24 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2010.


"Suspek ditahan sejak 15 Feb lepas. Pihak polis masih menunggu laporan lengkap daripada pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan berhubung keadaan bayi lelaki berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 15 Feb lepas, bapa bayi itu yang berusia 42 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian pembantu rumahnya yang bertindak melambung bayinya di ruang tamu sehingga terjatuh dan mengalami lebam-lebam di tangan dan cedera di kaki kiri.

Lelaki berkenaan melihat kejadian itu menerusi rakaman kamera litar tertutup melalui komputer riba semasa minum pagi di sebuah restoran pada 7.45 pagi.

Lelaki berkenaan bergegas pulang ke rumahnya di Bukit Setongkol dan membawa bayinya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bayi itu kini dirawat di hospital berkenaan dan dilapor dalam keadaan stabil. - Bernama

Tikam kawan kerana cemburu

Angkara cemburu, seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30 tahun maut ditikam rakan serumahnya dalam satu pergaduhan di Kampung Baru di sini, semalam.

Difahamkan, suspek yang berusia lewat 30-an hilang pertimbangan selepas mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya. Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang parah dibawa beberapa rakan yang menyaksikan kejadian itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, namun disahkan meninggal dunia ketika diberikan rawatan. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan kerana cemburu.

“Suspek bergaduh dengan rakan serumahnya kerana mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya,” katanya.
Zainuddin berkata, seorang saksi kejadian berusia 35 tahun yang juga rakan suspek dan mangsa melihat mereka bergaduh.

“Belumpun sempat menghalang mereka, saksi melihat mangsa rebah manakala suspek sedang memegang pisau di tangan kanannya,” katanya.

Menurutnya, saksi kejadian dan beberapa lagi rakan kemudian membawa mangsa ke HKL.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui tiga kesan tikaman di belakang badan mangsa dan suspek melarikan diri namun usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

M/S: Pasal cemburu ajer?.....aik cer citor sikit

Sumber: Metro

Friday

Remaja 'miang' tidak pernah serik

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan berusia 20-an yang pernah menerima waran tangkap sebanyak tiga kali sebelum ini gagal melarikan diri ketika diserbu pegawai penguatkuasa agama dalam Ops Kasih sempena sambutan Hari Kekasih, malam semalam.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh berkata, walaupun remaja berkenaan berada dalam keadaan tidak mencurigakan, dia ditahan untuk diambil keterangan setelah gagal hadir ke mahkamah disabitkan kes khalwat sebelum ini.

“Ketika ditahan, remaja itu berada dalam bilik sewa bersama tiga lelaki dan pintu bilik dibuka. Remaja yang bekerja sekitar Kuala Terengganu itu kemungkinan bertemu rakan lelakinya atas hal tertentu.

“Kita menahan remaja terbabit bukan atas sebab dia  berkhalwat, tetapi kerana gagal hadir ke mahkamah walaupun waran tangkap tiga kali dikeluarkan ke atasnya disebabkan kes khalwatnya sebelum ini,” katanya.

Mohd Ariffin berkata, operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu melibatkan 30 pegawai penguatkuasa agama dan pemeriksaan dijalankan di 14 buah hotel bajet dan  rumah tumpangan sekitar Kuala Terengganu.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, dua pasangan ditahan dan dibawa ke pejabat agama disebabkan berada dalam keadaan mencurigakan.

Kedua-dua pasangan itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah hotel bajet dan sebuah rumah tumpangan.
“Tangkapan itu hasil kerjasama masyarakat setempat yang banyak memberikan maklumat kepada pihak berkuasa agama.

“Ops Kasih ini kita jalankan setiap tahun bagi mencegah perbuatan tidak bermoral khususnya dalam kalangan remaja, walaupun begitu, terdapat juga pasangan yang ditahan dalam kalangan dewasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama pemilik hotel dan rumah tumpangan supaya tidak bekerjasama dengan individu yang ingin melakukan perkara tidak bermoral dan menyalahi hukum agama.
“Kita minta supaya pemilik hotel dan rumah tumpangan tidak bekerjasama dengan membenarkan individu khususnya yang beragama Islam yang bukan muhrim menyewa di hotel atau di rumah tumpangan mereka.

“Hukuman di dunia mungkin terlepas, tetapi mereka tidak akan terlepas hukuman di akhirat. Bagi mencegah perkara ini dari berlarutan, kita di pejabat agama akan terus giatkan operasi begini pada masa akan datang,” katanya.

Padah curi duit tabung masjid

KUALA TERENGGANU- Seorang bapa kepada tiga anak tergamak mencuri duit tabung masjid atas alasan tidak memiliki pekerjaan, serta dalam masa sama terpaksa menanggung anak dan isteri.

Walau apa juga alasan diberikan, Nazawawi @Shafunizam Md Nor, 38, dari Kampung Kepong, Taman Desa Sepakat, di sini, tetap menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Nazawawi mengaku bersalah mencuri wang tunai sebanyak RM332.80 milik Masjid Tengku Sulung Kuala Ibai, di sini, pada 10 Febuari lalu lebih kurang jam 11.30 pagi.

Dengan itu, dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tempoh 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Nazawawi tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan terkutuk Nazawawi yang mencuri duit di dalam tabung masjid telah disedari salah seorang pekerja di masjid itu iaitu Ali Mohd Diah, sebelum memaklumkan kepada penduduk setempat untuk menangkapnya.

Sejurus menerima maklumat penduduk tentang penangkapan Nazawawi, anggota polis ke lokasi kejadian dan menahannya sebelum turut berjaya merampas sebotol gam bertulis ‘Rat Glue’ warna merah jambu; satu pita pengukur warna kuning dan wang tunai kertas serta syiling berjumlah RM332.80.

Sumber : Sinar

Bermadu kasih bersama teman lelaki, ibu sanggup tinggal anak

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal sanggup meninggalkan dua anaknya berusia enam dan 14 tahun semata-mata untuk meraikan Hari Kekasih bersama teman lelakinya di sebuah hotel murah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Lebih memeranjatkan, wanita berusia 40an dan lelaki berusia 33 tahun itu yang tinggal dalam kampung sama di Pontian mengaku datang ke hotel terbabit untuk memadu kasih bersama kekasihnya  yang mempunyai tiga anak dan sudah beristeri.

Pasangan itu antara 36 individu yang ditahan dalam Ops Mawar Merah yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

Timbalan Pengarah Operasi Jaij, Ramly Jusoh berkata, operasi bermula jam 9 malam hingga 3 pagi itu membabitkan hotel sekitar Danga Bay, Taman Perling, Bukit Indah, Nusa Bestari, Taman Tan Sri Yaakob dan Taman Ungku Tun Aminah.

Menurutnya, operasi yang membabitkan sepasukan 13 pegawai dan anggota Jaij itu memeriksa kira-kira 19 hotel murah bagi mengekang umat Islam di negeri ini menyambut sambutan Hari Kekasih.

“Daripada 36 yang ditahan, tiga daripadanya bukan beragama Islam dan berasal daripada Singapura dan Filipina. Mereka yang ditahan berumur 18 hingga 45 tahun.

“Pemeriksaan hari ini pada sebelah pagi menahan 14 orang. Kita akan meneruskan operasi ini hingga malam ini bagi mengesan pasangan bukan muhrim yang meraikan sambutan ini,” katanya di sini, semalam.

 Ramly berkata, pasangan yang ditahan dibawa ke Jaij untuk diambil keterangan dan kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Sumber : Sinar

lelaki telanjang dalam bilik tidur Gadis 14 tahun

Pelabuhan Klang: Luluh hati seorang ibu apabila mendapati seorang lelaki tanpa seurat benang tidur sekatil dengan anak gadisnya berusia 14 tahun ketika dia mahu mengejutkan anaknya itu untuk solat Subuh, pagi kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 pagi di Bandar Armada Putra, dekat sini menyebabkan wanita berusia 30-an itu menjerit ketakutan lalu memaklumkan kepada ahli keluarga lain sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis yang tiba di rumah berkenaan berjaya menahan lelaki terbabit yang tidak dapat melarikan diri selepas dikepung ahli keluarga wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisoner Mohamad Mat Yusop mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan masih dilakukan.

“Memang ada laporan mengenai kejadian itu diterima, tetapi saya tidak dapat mengulas lanjut perkara itu kerana siasatan masih dilakukan yang pasti kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Harian Metro difahamkan, ibu mangsa tidak mengetahui bagaimana lelaki itu menyelinap masuk ke bilik anak gadisnya dan hanya menyedari kehadiran lelaki itu sejurus membuka pintu bilik yang tidak berkunci.

Sejurus ditahan, suspek dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kes itu kini dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan manakala mangsa turut menjalani rawatan di hospital.

Sumber : Metro

P/S : Ini kes yang dilaporkan. Sebenarnya dah bayak kali berlaku..terutamanya dikawasan pendalaman...dan melibatkan orang-orang melayu...Cercitor

Kerana RM5

Hanya kerana isteri enggan memberi RM5, seorang lelaki mengamuk serta mengacukan pisau ke arah wanita itu sambil mengancam mahu menyiramnya dengan air panas dalam kejadian di rumah pasangan itu di Jalan Dungun di sini, Isnin lalu.

Bagaimanapun, suspek berusia 29 tahun dipercayai penagih dadah itu, ditahan polis berhampiran rumah mereka kira-kira jam 12.05 malam kelmarin, selepas isterinya yang bimbangkan keselamatan diri, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang beberapa jam kemudian.

Menurut sumber, pergaduhan pasangan terbabit tercetus kira-kira jam 4 petang Isnin lalu, ketika mangsa berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai sedang bersiap untuk ke tempat kerja.
Katanya, suspek yang menganggur tiba-tiba datang dan meminta RM5 daripada isterinya bagi membeli rokok.

“Mangsa tidak mengendahkan permintaan suaminya menyebabkan mereka bertengkar.

“Dalam pertengkaran itu, suspek tiba-tiba mengeluarkan pisau dan mengacukan ke arah isterinya serta mengugut mahu menyimbah air panas. “Wanita itu yang ketakutan segera keluar dari rumah dan membuat laporan di IPD Marang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mazlan Ahmad Yahaya ketika dihubungi berkata, suspek direman di IPD Marang selama empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sumber : Metro

Mati ditikam kerana dendam

Akibat dendam lama, seorang buruh kilang ditikam hingga mati oleh rakan serumah dalam satu pergaduhan di Medan Selera Maju Jaya Taman Perindustrian, Puchong, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Aungthu, 32, warga Myanmar mati di tempat kejadian ditikam di dada dan perut. Selain itu, mangsa turut cedera di pergelangan tangan kiri.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dan kehilangan banyak darah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan seorang lelaki memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Katanya, berlaku pergaduhan kecil antara mangsa dan suspek akibat perselisihan faham sebelum suspek naik berang lalu menikam mangsa dan melarikan diri.

“Bagaimanapun, dua jam selepas kejadian, polis menahan lelaki warga Myanmar berusia 33 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Lelaki itu ditahan ketika cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta di kawasan Lebuhraya Damansara-Puchong berdekatan Bandar Bukit Puchong,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.

Sumber : Metro

P/S : Cer Citor.....Dimana akal kita sebagai manusia?...marah tak bawak kita kemana pun.....

Penangan Blog dan Facebook

“Saya minta pihak tidak bertanggungjawab menyiarkan gambar anak saya dalam laman sosial Facebook yang kini tersebar luas kononnya tangan kirinya dipotong kerana didera supaya menarik balik gambar terbabit kerana itu satu pembohongan dan kami tiada kaitan,” kata Mohamad Yazwin Mohamad Yasin, 37, yang menyedari gambar anaknya perempuannya, Ameera Danii berusia lapan tahun disalah gunakan sehingga mengaibkan keluarganya.

Dia yang menyedari penyebaran gambar anaknya itu selepas diberitahu adiknya semalam berkata, kisah yang dipaparkan dengan tajuk ‘Ayah bagilah tangan Ita balik’ dengan memuat naik gambar Ameera perbuatan melampau sedangkan anaknya itu tidak pernah mengalami nasib seperti tajuk dipaparkan.

“Dalam Facebook itu, digambarkan kononnya seorang kanak-kanak dikenali sebagai Ita dipotong tangan oleh bapanya kerana tidak minat melukis.


“Dalam kes anak saya ini, tangannya terluka ketika bergayut pada sinki rumah kami pada Ogos tahun lalu selepas sinki itu pecah menyebabkan urat tangan anak saya putus. Kami menghantarnya ke Hospital Ampang Putri untuk menerima rawatan dan Alhamdulillah anak saya terselamat, malah tangan kirinya juga tidak dipotong seperti didakwa dalam cerita yang tersebar itu,” katanya ketika hadir membuat aduan di pejabat Harian Metro, semalam.

Mohamad Yazwin berkata, kemungkinan gambar anaknya itu diambil tanpa kebenaran melalui blog milik isterinya yang memuat naik gambar anak mereka ketika menerima rawatan di hospital.

“Saya rasa mereka mengambil gambar itu dan membuat cerita seolah-olah kejadian menimpa kanak-kanak terbabit adalah anak saya sedangkan nama kanak-kanak itu Ita.

“Kemungkinan apa yang dipaparkan dalam laman sosial terbabit yang mendapat komen ratusan orang memang berlaku namun perbuatan menggunakan gambar anak saya adalah tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Hulu Klang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sumber : Metro

P/S : cercitor apae ke jadahnya buat fitnah macam ini?.....

Tikam belakang suami

Melaka: Akibat berang dengan suami yang dipercayai menegur perbuatannya kerana kerap keluar rumah tanpa izin, seorang wanita ‘naik minyak’ dan bertindak menikam lelaki itu menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di sekitar Malim di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 32 tahun terpaksa menerima rawatan di hospital akibat kecederaan di belakang tubuhnya. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan P R Gunarajan berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dan wanita berusia 27 tahun itu hingga menyebabkan pertengkaran di dalam rumah terbabit.

“Bapa kepada seorang anak itu dikatakan menegur tindakan isterinya yang sering kali keluar rumah tanpa keizinannya.

“Wanita berkenaan yang berang kemudian mengambil pisau dapur lalu menikam belakang tubuh mangsa hingga mendatangkan kecederaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu kemudian dipercayai keluar pergi ke rumah keluarganya di sekitar Kandang dan turut membawa anak perempuannya berusia dua tahun.

“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Malim pada hari sama untuk tindakan lanjut.

“Lelaki berkenaan turut ditahan di wad hospital berkenaan berikutan kecederaan dialaminya,” katanya. Kata Gunarajan, bertindak atas laporan dan maklumat diperoleh, pihaknya menahan wanita itu di sekitar negeri ini, semalam.

“Siasatan masih dijalankan dan punca kejadian itu dipercayai akibat perselisihan faham antara pasangan suami isteri berkenaan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Difahamkan, mangsa bekerja sebagai jurujual manakala isterinya seorang penyelia kilang.

P/S : Yang kes Ini Wajib diceraikan bininya.....Cercitor kalau laki dia tak mahu ceraikannya jugak?....Siapa cakap lelaki ajer yang jahat.....

‘Raja Syabu’ RM15 juta

Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa diketuai seorang lelaki bergelar ‘Raja Syabu’ tumpas apabila dicekup bersama 12 lagi ahli kumpulannya dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini membabitkan rampasan syabu seberat hampir 75 kilogram (kg) yang mencecah nilai pasaran lebih RM15 juta.
Syabu
Serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, turut menahan tiga ahli sindiket warga Hong Kong, berusia antara 25 dan 53 tahun.

Kereta mewah seksPengarah JSJN Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit turut merancang mendirikan makmal dadah.

“Dalam serbuan ini, polis merampas 74.98 kg syabu, wang tunai RM31,946 dan mata wang Hong Kong HK28,880 selain beberapa kereta mewah seperti Porsche, Mercedes Benz dan BMW turut disita.

“Sindiket ini diketuai rakyat tempatan digelar ‘Raja Syabu’ dan mereka merancang mendirikan makmal dadah bagi memproses syabu di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

P/S : tahniah Polis Diraja Malaysia.....

Sumber : Metro

Tiga tikaman cemburu

Tindakannya mahu memutuskan hubungan cinta dipercayai menjadi punca seorang wanita mati selepas ditikam kekasihnya yang kecewa dengan permintaan teman wanitanya itu.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi semalam, Tan Ching Chin, 24, mati selepas ditikam tiga kali di badan dan perut oleh teman lelakinya yang berusia 31 tahun di rumah mangsa di Taman Hwa Seng, Alma, di sini.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang bekerja di syarikat kejuruteraan itu mandi di tingkat atas rumahnya.

Teman lelakinya yang juga pembekal barangan binaan kepada syarikat milik abang mangsa berada di rumah mangsa sejak Ahad lalu untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama-sama, masuk ke bilik air ketika mangsa sedang mandi dan terus menikam mangsa.

Difahamkan juga, sebelum itu berlaku pertengkaran antara mereka dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu sebelum mangsa masuk ke bilik air untuk mandi.

P/S : cerCitor apa ke gila manusia sekarang ini...belum jadi bini lagi ini....perg...kejamnya.....

Sumber : Metro

Monday

Kasih suami, sabar walaupun dihalau dari rumah

REMBAU – Demi kasihkan isteri dan anak-anak, seorang bekas tentera tidak berpencen sanggup menjadikan sebuah perhentian teksi di pekan ini sebagai tempat menumpang teduh sejak sebulan lalu.

Semuanya kerana dia terpaksa keluar dari rumah selepas isterinya mengambil keputusan untuk bercerai.

Namun, bagi Ramu, 56, (bukan nama sebenar), dia masih menaruh harapan tinggi agar isterinya lembut hati dan dapat menerimanya semula serta memaafkan kesalahannya selama ini.

Walaupun sebenarnya dia boleh menumpang tidur di rumah kakaknya di Nilai, namun disebabkan sayangnya keluarga, dia mengambil keputusan untuk tidak tinggalkan jauh keluarganya itu.

“Bukan mudah hidup di luar rumah lebih-lebih lagi di perhentian ini kerana keadaannya yang terbuka dan cuaca yang agak sejuk pada waktu malam.

"Saya jadikan lokasi ini sebagai tempat tinggal saya buat sementara waktu dan tidak putus-putus berharap agar isteri saya lembut hati serta menerima saya semula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perhentian teksi berkenaan.

Ramu berkata, sejak berhenti dari tentera, dia mengambil upah memotong getah milik kebun orang dan menjaga tandas awam bagi menampung hidup keluarganya.

"Saya sudah berkahwin sejak lebih 13 tahun lalu dan mempunyai tiga anak yang berusia lima hingga 13 tahun," katanya.

Ramu berkata, walaupun menumpang tidur di perhentian berkenaan, dia tetap menjaga kebersihan di kawasan berkenaan dan tidak berat tulang membantu menyapu sampah berdekatan perhentian berkenaan.

“Mana tidaknya, tidur, mandi semuanya di sini. Walaupun ianya bukan mudah, saya tetap juga menetap di sini," katanya.

Menurut Ramu, buat masa ini, dia masih belum dapat memutuskan sama ada mahu pulang ke rumah kakak di Nilai atau sebaliknya.

Sumber : Sinar

Campak bayi dari tingkat tiga

PETALING JAYA – Mayat bayi perempuan masih bertali pusat ditemui di kawasan letak kereta di Blok 1, Pangsapuri Desa Mentari awal pagi semalam.

Bayi dipercayai baru dilahirkan dan dicampak dari tingkat tiga blok pangsapuri itu, ditemui penduduk kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bayi tersebut mati akibat cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Menurutnya, seorang wanita berusia 20-an dipercayai ibu bayi tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Seorang penduduk, Jundi Mat, 35, yang menemui mayat bayi itu berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki motosikal dan menyedari ada sesuatu yang jatuh di belakangnya.

“Pada awalnya, saya menyangka orang membaling sampah dari tingkat atas kerana itu sudah menjadi kebiasaan penduduk di sini, tetapi terkejut apabila melihat darah di kepala bayi.

“Saya mendapati bayi itu tidak bergerak dan mendapatkan bantuan dari jiran untuk melaporkan kepada polis,” katanya.

Jundi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia sudah 10 tahun tinggal di pangsapuri 11 tingkat itu dan tidak pernah berlaku kejadian buang bayi.

Sumber : Sinar

Selera terbantut, cebisan dawai dalam mi goreng

KLANG - Keenakan seorang gadis menikmati mi segera goreng bersama seorang rakan di sebuah restoran di sini terbantut selepas dia menemui cebisan dawai penyental periuk dalam makanan itu, minggu lalu.

Pengadu, Roziana Mohamad, 29, berkata, restoran terbabit memang menjadi pilihannya dan rakan lain untuk menikmati hidangan memandangkan kelazatan makanannya.

“Sebelum ini saya kerap ke restoran itu namun saya hanya menikmati nasi bersama lauk pauk.

“Bagaimanapun kali ini saya dan rakan memesan mi segera untuk mengisi perut dan dalam tempoh kira-kira 14 minit makanan yang dipesan tiba di meja pada malam itu,” katanya.

Tanpa membuang masa, dia terus menjamah dan menikmati hidangan, namun selera tersentap selepas menyedari benda asing  di sebalik dalam mi tersebut.

“Selepas amati secara jelas saya dapati ia cebisan dawai penyental periuk yang termasuk ke dalam mi segera saya.

“Selera saya terhenti serta merta, saya tak nak mati sebab makan mi berulam besi. Saya tak mahu  makan lagi, bimbang boleh membahayakan kesihatan saya,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Melihat apa berlaku, rakannya turut memeriksa dalam mi segera goreng dimakan kerana bimbang perkara sama menimpanya.

“Bagaimanapun dia bernasib baik dan atas nasihat rakan, saya memaklumkan kepada pekerja restoran terbabit berkenaan kewujudan benda asing itu.

“Selepas dimaklumkan, pekerjanya dan pemilik restoran memohon maaf dan menggantikan makanan lain.

“Bagaimanapun pada awalnya saya akur namun khuatir insiden sama berulang, pemilik restoran tidak mengenakan sebarang bayaran kepada saya,” katanya.

Apa yang dikesalkan, Roziana berkata, dia khuatir pelanggan lain berdepan situasi yang sama sepertinya.

“Justeru itu, saya harap pemilik restoran dan tukang masak peka dengan perkara tersebut kerana ia membabitkan makanan yang dimakan pelanggan.

“Jika  benda  asing itu masuk ke tubuh pelanggan pastinya  akan berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kesihatan pelanggan. Jadi perkara ini harus dipandang serius,” katanya yang enggan lagi ke restoran berkenaan.

Sumber : Sinar

Remaja 19 tahun diperkosa lebih 7 lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun melalui detik hitam dalam hidupnya selepas diperkosa secara bergilir-gilir dipercayai lebih tujuh lelaki dalam kejadian di sebuah hotel murah di Cheras, di sini.

Difahamkan, remaja terbabit dianiaya oleh dua rakan lelaki yang membawanya ke hotel berkenaan selepas mangsa tidak sedarkan diri dipercayai diberi minuman keras.

Sumber berkata, dalam kejadian malam Jumaat lalu, mangsa bersama seorang rakan perempuannya dibawa keluar oleh dua lelaki yang juga rakannya ke sebuah kelab malam di ibu kota jam 12 tengah malam.

“Ketika di dalam kelab itu, mangsa dipercayai diberi minum minuman keras menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Dalam keadaan separuh sedar mangsa dibawa rakan-rakannya itu ke sebuah hotel di Cheras.

“Mangsa mendakwa menyedari didatangi empat lelaki ketika di dalam sebuah bilik hotel itu yang bertindak memegang tangan dan kakinya ketika dia cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa menjerit dan minta dilepaskan bagaimanapun badan mangsa yang lemah tidak berupaya melawan menyebabkan dia ditolak oleh keempat-empat lelaki itu dan menghempas mangsa ke katil “Mangsa diperkosa secara bergilir-gilir dipercayai lebih tujuh lelaki sebelum mangsa dihantar kedua-dua rakan lelakinya itu pulang ke rumahnya pada sebelah pagi,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan akibat dipukul dan diperkosa suspek kemudiannya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sumber : Metro

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor