JOHOR BAHRU - Petinju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, 24, yang
cedera dipukul sekumpulan individu, awal bulan ini, mengadakan sidang
akhbar bagi menjelaskan situasi sebenar kejadian di Majlis Sukan Negeri
Johor, semalam.
Menurutnya, spekulasi kononnya dia dipukul di restoran tidak benar.
“Saya ingin mohon maaf kepada media kerana tidak dapat beri kerjasama
ketika kejadian berikutan keadaan saya tidak stabil. Saya tidak dipukul
di restoran, sebaliknya diserang di rumah suspek.
“Apa saya tahu, berita kejadian ini turut diketahui media luar negara.
“Saya juga ingin bersihkan beberapa nama individu yang dikatakan
mencedera dan memukul saya iaitu Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku
Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan pengusaha restoran,”
katanya.
Muhamad Farkhan berkata, hubungannya bersama Tunku Mahkota Johor masih
baik dan berkawan rapat sejak awal perkenalan hingga kini.
“Saya tidak dipukul kedua- dua individu terbabit. Saya ingin tegaskan
DYAM Tunku Mahkota Johor sanggup mencemar duli melawat saya dan banyak
memberi sokongan moral serta bantuan.
“Hubungan kami masih baik dan berkawan rapat hingga hari ini,” katanya.
Katanya, polis diharap dapat menyegerakan siasatan ke atas suspek yang
kini dalam tahanan reman selain menangkap saki baki ahli kumpulan.
“Saya hanya bertinju dalam gelanggang dan tidak pernah melakukan kesalahan atau ada rekod jenayah,” katanya.
Menceritakan kembali kejadian beliau dipukul, Muhamad Farkhan akui ada
terima panggilan daripada individu ketika menonton perlawanan bola sepak
melibatkan dua kelab gergasi Inggeris.
“Suspek bukan dari kalangankerabat diraja Johor ini ada hubungi saya berulang kali, namun saya tidak menerima panggilan dibuat.
Bagaimanapun, panggilan kelima daripada suspek, saya terima juga dan dia minta saya ke rumahnya.
“Sebaik sahaja saya tiba di rumah suspek, saya terus diserang suspek
dan enam ahli kumpulan lain termasuk seorang wanita menggunakan senjata
antaranya besi, pedang samurai, kayu dan tongkat sehingga mengakibatkan
saya cedera parah,” katanya.
Menurutnya, polis masih menyiasat motif serangan dan petinju kelahiran
Johor itu turut mengakui kenal suspek, namun tidak rapat.
“Mungkin suspek mahu malukan saya. Mungkin dia cemburu, tetapi motif
serangan masih dalam siasatan dan saya hanya mahu keadilan.
“Kecederaan saya merugikan Malaysia kerana saya menunggu tiket wildcard
untuk layak ke Sukan Olimpik. Jika saya dapat tiket wildcard ini, saya
tidak boleh beraksi.
“Doktor nasihatkan saya perlu berehat tiga hingga enam bulan,” katanya.
Muhamad Farkhan turut mengakui diseksa empat jam ketika kejadian
antaranya dipaksa makan cili, diikat tangan dan kaki dan dicampakkan di
dalam bonet selama 45 minit.
Selain itu, katanya, suspek mengugut mahu mengapaapakan diri dan keluarganya jika laporan polis dibuat.
“Saya dijemput pakcik selepas kejadian. Kecederaan saya kritikal dan
parah sehingga tidak sedarkan diri. Saya turut rugi apabila wang tunai
RM800 dan empat telefon bimbit diambil selain lampu belakang kereta
dipecahkan. “Suspek dan rakan diharap diheret ke muka pengadilan dan
terima hukuman setimpal,” katanya.