PUTRAJAYA - Tindakan biadap seorang imam membaling selipar ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini bulan lalu, menerima padah apabila dia dihukum penjara setahun hari ini.
Hoslan Hussain, 46, dikenakan hukuman penjara selepas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah.
Hakim Zulkefli berkata, hukuman berkenaan adalah setimpal dengan tindakan Hoslan Hussin, 46, yang menjatuhkan maruah institusi kehakiman.
Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan Hoslan adalah serius, tidak boleh dibiarkan serta perlu dibendung.
"Kamu sebagai pesalah, jika tidak dikenakan tindakan akan boleh menggugat kuasa mahkamah dan boleh menjatuhkan maruah mahkamah. Apa-apa kritikan yang hendak dibuat terhadap hakim hendaklah dibuat dengan munasabah dan baik, bukan dengan cara mengugut dan maki hamun.
"Mahkamah yang ada bidang kuasa perlu dihormati oleh semua pihak. Perlu dinyatakan bahawa tindakan prosiding yang diambil di dalam kes ini (menghina mahkamah) bukan untuk melindungi maruah kami secara peribadi tetapi adalah untuk melindungi maruah dan kewibawaan mahkamah yang mulia ini dalam sistem kehakiman di negara ini.
"Mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pencegahan untuk kepentingan awam," kata Hakim Zulkefli.
Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan bertindak membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman, di sini antara 10.15 pagi dan 10.30 pagi pada 22 Feb lepas.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar menyifatkan tindakan Hoslan sebagai angkuh, biadap, riak, ganas dan langsung tidak menghormati mahkamah.
Dalam penghakimannya, Hakim Suriyadi menyatakan bahawa insiden itu amat memalukan dan tindakan Hoslan tidak mencerminkan keperibadian sebagai seorang yang berilmu dan berbudi pekerti.
"Saya tidak bermurah hati dalam kes ini. Pada saya, insiden ini amat memalukan. Orang yang memegang jawatan keagamaan, sebagai imam, sepatutnya berilmu dan berbudi pekerti tinggi tetapi awak bersifat sebaliknya.
"Awak angkuh, biadap, riak dan lansung tidak menghormati mahkamah. Awak datang memfailkan (permohonan) ke mahkamah tetapi awak tidak berjaya, bukan sebab mahkamah (tidak berjaya) tetapi sebab awak sendiri tidak kompeten.
"Itu tindakan (baling selipar) yang saya tidak boleh terima. Ini institusi yang kamu perlu hormati. Sekarang awak kena terima padahnya," katanya.
Selain Hakim Zulkefli dan Hakim Suriyadi, Hakim Mahkamah Rayuan Datin Paduka Zaleha Zahari turut bersetuju dengan keputusan hukuman itu.
Dalam kejadian 22 Februari lepas, Hoslan gagal mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengosongkan unit kuarters yang didudukinya selepas pelantikannya sebagai imam ditamatkan, empat tahun lalu.
Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan, dia bertindak membaling sepasang selipar pada panel hakim dan satu daripadanya terkena Timbalan Pendaftar yang bertugas.
Berikutan insiden itu, mahkamah telah menghantar notis tunjuk sebab kepada Hoslan pada 5 Mac lepas yang memintanya memberi penjelasan ke atas tindakan itu hari ini.
Hakim Zulkefli sempat menyatakan bahawa mahkamah tidak mengambil tindakan sejurus kejadian itu berlaku kerana mengetahui bahawa Hoslan tidak mampu berfikir dengan betul ketika itu.
Hoslan, yang merupakan kakitangan Jabatan Alam Sekitar, memakai jubah dan berserban hadir bersama peguam Karpal Singh kira-kira 9.35 pagi dan beliau hampir dikenakan waran tangkap kerana tidak muncul selepas dipanggil beberapa kali.
Kesemua anggota keluarganya kelihatan murung selepas melihat Hoslan dibawa oleh anggota polis mahkamah untuk dihantar ke penjara.
Sebelum keputusan, Hoslan diminta memberi penjelasan berhubung tindakannya itu tetapi mahkamah mendapati beliau gagal berbuat demikian.
Terdahulu, Hoslan memberitahu bahawa beliau keliru dengan pertuduhan terhadapnya dan kes terhadap imam, sepatutnya didengar di Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun ketika membuat rayuan, Hoslan telah memohon maaf kepada pihak terlibat dan kesal dengan tindakannya.
"Saya kesal dengan apa yang berlaku. Saya pohon maaf, saya tahu walaupun tiada kecederaan terlibat tetapi ada hati yang terguris, saya pohon maaf," katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Peguam Negara berkata hukuman yang berat perlu dilaksanakan bagi menjaga maruah institusi kehakiman dan Peguam Arthur Wong yang mewakili Majlis Peguam juga memohon perkara yang sama.
Karpal yang mewakili Hoslan pula berkata "Ia tanpa dirancang. Dia keliru."
Sepanjang prosiding, Hoslan dilihat menangis selepas diminta memberi penjelasan dan bersembahyang di luar mahkamah.
Beliau juga hanya memakai stokin tanpa kasut atau selipar.
Sumber : Sinar