Translator

Friday

Tabiat buruk - Buang Sampah Dalam Peti Surat

KUANTAN – Peniaga di Bangunan Putra Square di sini mahu pihak bertanggungjawab mengenakan tindakan tegas terhadap orang ramai yang membuang sampah di dalam peti pos sekitar kawasan itu.

Tempat meletak surat atau dokumen itu dipenuhi sampah seperti tisu, plastik, botol minuman, kotak rokok serta putung rokok berikutan kebanyakan peti pos pecah atau langsung tidak berpenutup.

Keadaan itu turut menyebabkan sampah bertaburan di atas lantai sekali gus menjadikan kawasan kaki lima bangunan berkenaan kotor.


Tahun lalu, Sinar Harian pernah membuat tinjauan ke kawasan itu, namun keadaannya masih tidak berubah ketika tinjauan semalam.

Bagi peniaga pakaian, Maznah Che Wil, 51, dia meminta pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah di situ.

Katanya, sebagai peniaga, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan peti pos masing-masing dalam keadaan bersih.

Bagaimanapun, akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak, peniaga di situ yang terpaksa menanggung bau busuk.

“Setiap hari, sebelum memulakan perniagaan, saya terpaksa membersihkan terlebih dahulu bahagian depan kedai kerana keadaannya yang agak kotor.

“Bukan saya sahaja yang melalui situasi seperti ini, malah hampir semua kedai di bangunan ini terpaksa melakukan perkara yang sama bagi memastikan kaki lima kedai masing-masing sentiasa bersih,” katanya, semalam.

Maznah berkata, berikutan peti pos dipenuhi sampah, posmen terpaksa menghantar surat terus ke kedai.

“Keadaan itu bukan sahaja membebankan peniaga, malah turut menyusahkan posmen untuk menghantar surat ke satu-satu kedai, sedangkan jika peti pos itu boleh digunakan, posmen hanya perlu meletakkan surat mengikut alamat kedai.

“Masalah ini sudah lama namun hingga kini masih belum ada penyelesaian. Justeru, saya harap selepas ini ada pihak yang tampil bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sementara itu, pembantu kedai buku, Nadia Azlin Abdul Hamid, 21, meminta pihak bertanggungjawab untuk membersihkan kawasan kaki lima tersebut.

“Saya bimbang keadaan kaki lima yang kotor akan menjejaskan kunjungan pelanggan ke kedai kami. Pelanggan sekarang memilih untuk membeli-belah di kawasan yang selesa serta bersih. Jika beginilah keadaannya, kami akan kehilangan pelanggan,” katanya.

Katanya, jika peti pos itu tidak memberikan fungsi kepada peniaga, ia sepatutnya dihapuskan bagi mengelakkan orang ramai terus membuang sampah di situ.

Sumber : Sinar

No comments:

Post a Comment

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor