ALOR GAJAH - Kegiatan tidak bermoral sesetengah pihak mengeksploitasi
kanak-kanak bagi mendapatkan wang dengan menjual barangan kepada orang
awam dilihat semakin menular di daerah ini.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi sekitar Tol Simpang Ampang,
Alor Gajah, Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru mendapati kebanyakan
kanak-kanak ini muncul di kawasan berkenaan lengkap berbaju kurung dan
berpenampilan sopan.
Kanak-kanak ini didapati mendekati orang awam yang lalu lalang tanpa
mengira bangsa dan agama untuk mendapatkan wang melalui penjualan kitab
selain tisu untuk meraih simpati.
Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka, Datuk Abu Khir Jamaluddin
berkata, kegiatan segelintir golongan yang berkepentingan sendiri ini
hanya mencalarkan imej agama Islam apabila mereka menggunakan
kanak-kanak untuk meminta sedekah.
Menurutnya, sebagai manusia pastinya kita akan berasa simpati melihat
kanak-kanak itu dipergunakan namun kita harus menilai ke mana perginya
wang diberikan kepada mereka.
"Kanak-kanak ini diletakkan di hadapan pintu masuk bank utama ataupun stesen minyak seperti peminta sedekah.
"Itu bukan cara kita kerana dalam Islam, kita tidak pernah diajar mengutip derma dengan cara itu," katanya.
Abu Khir yang juga Pengerusi Pegawai Syarak Negeri Melaka berkata,
kerajaan bersedia memberikan peruntukan secukupnya untuk tujuan membina
rumah kebajikan atau madrasah, sepatunya senario ini tidak wujud dalam
kalangan orang Islam.
"Tindakan mereka yang hanya mahukan wang dengan jalan singkat hanya
memberikan persepsi negatif penganut agama lain kerana mereka pasti akan
membuat penilaian terhadap apa yang dilakukan kanak-kanak itu.
"Kadangkala mereka sediakan beberapa dokumen pengesahan yang
difotostat, malah ada yang kelihatan tulen bagi meraih simpati orang
lain," katanya.
Malah katanya, tidak dinafikan masih terdapat individu yang tidak tahu
bahawa cara yang dilakukan kanak-kanak ini adalah tidak benar kerana
mereka mempergunakan nama sesebuah institusi malah menunjukkan bukti
untuk meyakinkan orang yang menjadi sasaran.
“Sekiranya benar terdapat pihak yang memerlukan dana untuk tujuan
kebajikan, mereka boleh memohon peruntukan daripada pihak kerajaan,
bukan dengan memperalatkan kanak-kanak. Senario ini perlu dibanteras
segera agar masyarakat tidak tertipu dengan sikap golongan yang
mementingkan diri sendiri ini,” katanya.
Sumber : Sinar




No comments:
Post a Comment