KUALA LUMPUR: Pasangan kekasih yang dipercayai menyamun dan mencabul
seorang ejen hartanah wanita di sebuah unit kondominium mewah di Mont
Kiara, di sini, 10 Mei lalu ditahan polis, kelmarin.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kedua-dua suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam hasil maklumat orang awam.
Beliau melalui laman sosial facebook miliknya berkata, suspek direman hingga 6 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut.
Dalam kejadian 10 Mei itu, mangsa yang berusia 34 tahun dilaporkan membawa pasangan yang menyamar sebagai bakal penyewa terbabit bagi melihat sebuah kondominium untuk disewa sebelum dia diikat, dibogelkan, dicabul dan ditampar.
Mangsa kemudian disamun kedua-dua suspek terbabit sebelum dikurung dalam rumah berkenaan.
Wanita terbabit bagaimanapun diselamatkan pada jam 3 pagi, keesokan harinya, kira-kira 10 jam selepas dikurung apabila polis menerima aduan daripada penghuni lain yang terdengar tangisan dan jeritan meminta tolong.
Difahamkan, pasangan penyamun itu menggunakan kereta Mitsubishi Lancer putih dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika melakukan jenayah samun terbabit.
Sumber : Metro



No comments:
Post a Comment