Keputusan kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya
dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini menyebabkan kedudukan
mereka dalam peta bola sepak dunia kembali merosot.
Menurut ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak
Antarabangsa (Fifa) hari ini menunjukkan skuad bimbingan Datuk
K.Rajagobal itu turun satu anak tangga untuk berada di tempat ke-154
dunia berbanding 153 bulan lepas.
Kedudukan itu merupakan pencapaian terburuk skuad bola sepak negara
selepas menghuni kedudukan ke-148 pada Januari, 150 pada Februari, 152
pada Mac.
Menerusi kedudukan terkini, skuad Harimau Malaya setanding dengan
beberapa pasukan seperti Bangladesh (152), Palestin (153), New Caledonia
(155) dan Samoa (156), yang diketahui umum kekurangan kemudahan asas
bola sepak seperti padang serta peralatan sukan.
Di kalangan Asia Tenggara pula, Malaysia kekal di tempat kelima, di
belakang Vietnam (98), Thailand (136), Filipina (149) dan Indonesia
(151).
Pada peringkat Asia, kedudukan Malaysia kekal di kedudukan ke-27 daripada 46 negara.
Sementara itu, juara Piala Dunia 2010, Sepanyol terus mengukuhkan
kedudukan mereka selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,456
mata.
Pasukan Amerika Selatan, Uruguay, yang sebelum ini menghuni tangga
ketiga merampas tempat kedua daripada Jerman selepas mengumpul 1,292
mata, berkelebihan empat mata.
Kedudukan ranking itu merangkumi keseluruhan 205 negara. - Bernama




No comments:
Post a Comment