JAWI – Polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berjaya memberkas empat
suspek yang disyaki terlibat dengan satu kes pembunuhan seorang lelaki
di Taman Tambun Indah, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, tangkapan pertama
membabitkan dua suspek yang merupakan pasangan adik-beradik berusia 24
dan 26 tahun.
Menurutnya, kedua-dua mereka ditahan dalam satu serbuan di Simpang Ampat kira-kira jam 9.30 malam.
“Berikutan dari tangkapan dan hasil soal siasat ke atas kedua-dua
lelaki itu, kita kemudiannya berjaya menahan seorang lagi rakan mereka
berusia 25 tahun pada hari yang sama (Ahad).
“Isnin lalu, suspek keempat berusia 27 tahun berjaya diberkas dengan
salah seorang dari mereka cedera di bahu. Semua tangkapan dibuat di
sekitar Simpang Ampat dan Valdor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tilawah al-Quran
Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) SPS di sini, malam kelmarin.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar.
Shafien dalam pada itu berkata, semua suspek yang ditahan merupakan
rakan sekumpulan dengan mangsa dan pihaknya percaya kumpulan itu
mempunyai antara 10 hingga 15 ahli.
Menurutnya, usaha memburu suspek utama yang menyebabkan kematian lelaki
berusia 28 tahun itu masih giat dijalankan termasuk saki-baki anggota
kumpulan terbabit.
Bagaimanapun, pihaknya sudah mengenal pasti semua suspek dan berharap dapat memberkas mereka dalam sehari dua lagi.
“Berdasarkan siasatan, kumpulan ini disyaki terlibat dengan aktiviti
pengedaran dadah. Pergaduhan pada awalnya hanya berpunca dari perasaan
tidak puas hati, berlaga bahu dan akhirnya membawa kepada pembunuhan,”
katanya yang percaya semua mereka mabuk ketika kejadian.
Beliau berkata, semua mereka yang ditangkap kini ditahan sehingga 10
Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
kerana membunuh.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 28 tahun ditemui mati dalam keadaan
berlumuran darah selepas dipercayai terlibat dengan satu pergaduhan di
hadapan sebuah restoran tomyam, dekat Taman Tambun Indah, Simpang Ampat.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, G Shanmugam dari
Taman Bukit Panchor, Nibong Tebal, sebelum itu dikatakan bergaduh dengan
seorang lelaki sebelum dipukul dengan sebatang rotan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala selain lebam pada mata kanan itu maut di tempat kejadian.



No comments:
Post a Comment