Translator

Friday

Minda: Kawal keinginan tiada had

APABILA berlaku kemerosotan pengaruh Islam iaitu kurangnya kehadiran ilmuan Islam pada abad ke-15, pemikiran asing mula mempengaruhi perubahan dunia. Justeru, kita berada dalam sistem yang dipelopori oleh Barat hari ini bukanlah atas kehendak pemimpin terdahulu mahupun sekarang, apatah lagi rakyat.

Sesungguhnya bukan juga secara kebetulan. Ia adalah akibat daripada kelemahan dalam masyarakat Islam yang gagal berlawan dengan arus perubahan dari Barat.

Sejak seawal abad ke-16 berlaku kebangkitan pengaruh kuasa Barat yang berkembang abad demi abad. Penjajahan mereka menelusuri hingga ke Nusantara dan secara langsung mempengaruhi landskap politik, sosial, ekonomi serta dominasi agama di sekitar Asia Tenggara.

Selama 500 tahun Tanah Melayu dikuasai pengaruh Barat dan kesannya hingga ke hari ini walaupun selepas kemerdekaan. Dunia berpaksi di atas sistem Barat dalam segala segi.


Bukan atas kerelaan setiap umat Islam untuk berada dalam dunia pasaran berasaskan sistem ekonomi Barat. Apatah lagi reda dengan setiap urusan yang melanggar syariat agama Islam. Mereka tiada pilihan kerana berada dalam sistem ekonomi Barat akibat daripada kegelapan pada penghujung keagungan ilmu Islam.

Usaha melakukan perubahan harus diteruskan untuk keluar daripada kepompong sistem hari ini. Menuntut perubahan dalam kekosongan ilmu dan hanya berpeluk tubuh mungkin akan memerlukan lagi seribu tahun untuk direalisasikan. Jika ditakdirkan Allah.

Perkembangan ilmu ekonomi Islam melalui pengkajian, penghayatan serta analisis tidak lagi dijadikan asas. Ketika momentum perkembangan ilmu Islam mulai perlahan selepas ilmuan ekonomi sehebat Syeikh Islam Ibnu Taimiyah, dunia sudah dijajah dan didedahkan dengan sistem pemerintahan, sistem sosial dan sistem ekonomi berasaskan pemikiran dan matlamat Barat.

Masyarakat hari ini sudah sebati dengan sistem ekonomi konvensional yang matlamatnya ialah memenuhi kepuasan kehendak manusia yang tiada batas dengan kebendaan semata-mata.

Falsafah Barat sudah sebati dalam masyarakat iaitu mengangkat kemampuan manusia dan kewibawaan mereka dengan tidak tunduk kepada sistem Allah serta menolak akhirat.

Corak sistem ekonomi Barat memisahkan peranan gereja, khususnya dalam perkembangan sistem amalan mereka. Ini kerana bagi mereka pencapaian kebendaan adalah matlamat akhir. Maka tidak hairanlah nilai-nilai hidup masyarakat banyak dipengaruhi sistem tersebut yang bercanggah dengan syariat agama Islam.

Motivasi dalam sistem ekonomi Islam ialah mengawal sifat, kehendak serta keinginan yang tiada had dalam usaha memperluaskan kemajuan serta berpandukan peraturan dan kawalan syarak.

Hukum Allah menjadikan aktiviti ekonomi terpimpin. Sistem ekonomi Islam mempunyai identiti peraturan tersendiri. Ia bukanlah satu andaian baru dibawa tetapi sudah wujud sejak Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Hakikatnya ialah umat Islam sememangnya berkeinginan untuk kembali kepada nilai-nilai etika kehidupan mengikut ketentuan syariat Allah. Mereka sedar bahawa hanya jalan Nabi dan sahabat yang diredai Allah.

Mereka juga sedar bahawa sistem ekonomi sedia ada bertentangan dengan kehendak al-Quran dan sunnah. Tetapi perlu ditekankan juga jika ingin membetulkannya, ia berkehendakkan ilmu pengetahuan dan perubahan sikap bukan dengan cemuhan serta kritikan. Perubahan harus didatangi dengan ilmu berserta kefahaman.

Mereka perlu mengembali keyakinan terhadap sistem ekonomi Allah dengan sepenuhnya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh (dengan mematuhi) segala hukum-hakamNya; dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang dan nyata.” (Surah Baqarah: 208).

Malah, kaedah asas dalam sistem perniagaan dan ekonomi Islam dibina daripada ayat Allah “…janganlah kalian saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang timbul daripada kerelaan di antara kalian…” (Surah An-Nisaa’: 29).

Kekuatan hanyalah boleh dibina jika kita kembali serta taat kepada syariat Allah. Strategi untuk berubah dan meluaskan bidang ekonomi sudah Allah gariskan serta janjikan kepada kita. “Dan tiadalah petunjuk melainkan dengan petunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakal dan kepadanya aku kembali.” (Surah Hud: 88).

Nabi serta sahabat juga sudah tunjukkan dalam sunnah kehidupan mereka. Kita hanya perlu memanfaat kebijaksanaan mereka sebagai rujukan. “Dan jika kamu mentaatinya nescaya kamu akan mendapatkan hidayah.” (Surah An Nur: 54).

Umat Islam berdepan dengan persoalan - Di manakah model ekonomi Islam? Apakah sistem ekonomi Barat sedia ada boleh diubah suai dengan mengislamkan sistem Barat berperingkat-peringkat? Yang jelas, sistem ekonomi Islam mengikut syariat adalah jauh berbeza dengan sistem konvensional Barat. Pengubahsuaian adalah sukar.

Namun, sistem konvensional sedia ada boleh dimanfaatkan sebagai kayu pengukur atau menapis yang tidak sesuai dan menolak yang bercanggah dengan syariat. Itu satu permulaan.

Amat jelas bahawa perkara bertentangan dengan urus niaga mengikut syariat itu bukanlah sunnah Nabi dan sahabat. Ia dapat dilihat dalam tindakan Umar Al Khattab r.a memarahi individu yang tidak berurus niaga dalam pasar mengikut cara disyariatkan. Kebijaksanaan Abdul Rahman bin Auf r.a dalam konsep ‘guerilla marketing’ perlu diteladani serta dicontohi.

Imam Abu Hanifah pula mengatakan lebih baik untuk pergi menuntut ilmu urus niaga dulu sebelum masuk berurusan dalam pasar! Berurusan dengan sistem ekonomi selain daripada sistem ekonomi sunnah adalah riba! “Padahal Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah Al-Baqarah: 275).

Jika kita mengkaji dan melihat dalam perbahasan ekonomi Islam, kita akan dapati Islam menggariskan beberapa prinsip yang jelas dan urusan perniagaan dan ekonomi sebagaimana kata Umar r.a: “Yang boleh berjualan di pasar kami ini hanyalah orang-orang yang faqih (faham akan ilmu agama), kerana jika tidak, maka dia akan terjerumus dalam riba.” (Lihat : Taudhihul ahkam 4/213-214).

Begitu juga dengan amaran Rasulullah dalam hal ini: “Sesungguhnya pedagang-pedagang itu adalah kaum yang fajir (suka berbuat maksiat), sahabat berasa amat hairan dan bertanya, “Bukankah Allah sudah menghalalkan jual beli, wahai Rasulullah?” Maka beliau menjawab, “Benar, namun pedagang-pedagang itu tatkala menjual barang dagangan, mereka bercerita mengenai dagangan lalu kemudian berdusta, bersumpah palsu dan melakukan perbuatan keji.” (Musnad Imam Ahmad 31/110).

Hakikatnya, kehidupan manusia tidak boleh dipisahkan dengan isu ekonomi membabitkan hubungan antara manusia dengan manusia. Dalam sistem ekonomi Islam bukanlah menjadi matlamat memenuhi keinginan manusia yang tiada had tetapi matlamatnya lebih kepada untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Matlamat utama untuk mendapatkan imbuhan pahala daripada Allah dijadikan asas melalui sifat keikhlasan, amanah, jujur, kebijaksanaan dan sebagainya.

Inilah kesempurnaan yang dimaksudkan dan berjaya dimanfaatkan melalui kekayaan yang diperoleh sahabat Nabi.

Sistem ekonomi sunnah adalah ibadah yang semakin ditinggalkan oleh masyarakat Islam. Dalam berurusan seharian di pasar, jual beli keperluan asas atau menjalankan perniagaan sama ada individu atau perkongsian, berapa ramaikah yang cuba sedaya-upaya mendekatkan diri dengan sunnah ekonomi Nabi dan sahabat?

Atau menyuarakan keinginan untuk berubah lebih sunnah daripada berusaha mempraktikkannya? Mungkin kita lupa, Rasulullah datang untuk memberi jawapan segala-galanya buat kita, bukan hanya solat, puasa dan zakat, tetapi dalam apa jua urusan harian untuk umatnya berjaya dalam kehidupan baik di dunia mahupun akhirat.


Penulis berkelulusan hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah Timbalan Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia

Sumber : Metro 

No comments:

Post a Comment

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor