Translator

Monday

Doakan kesejahteraan guru

TIDAK kiralah gelaran yang diberikan kepada guru sama ada cikgu, ustaz, ustazah atau profesor sekalipun, mereka adalah golongan pendidik yang berperanan mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

Bermula dari taman asuhan kanak-kanak, sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti, sumbangan pendidik ternyata tiada tolok bandingan.

Namun tidak dinafikan, ibu bapa sebenarnya adalah guru ‘paling berpengaruh’ kerana mereka mampu mempengaruhi tindakan, karakter dan tindak-tanduk anak mereka.

Profesion guru adalah amanah dan kerjaya yang amat mulia di sisi Allah s.w.t. Terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang menyarankan manusia menjadi pendidik atau golongan menuntut ilmu.


Mungkin ada sebahagian guru yang pernah mendidik kita sudah pergi mengadap Ilahi. Maka sebagai ‘produk’ hasil didikan mereka, berdoalah selalu untuk kesejahteraan mereka.

Tugas tarbiah yang dilaksanakan seorang guru meletakkan mereka pada kedudukan tinggi. Pengorbanan masa dan tenaga mereka mencurahkan ilmu kepada kita dikira sebagai ibadah.

Bagi pelajar pula, mereka dituntut keluar mencari ilmu kerana setiap kaki yang melangkah bermula dari rumah ke sekolah dan kembali semula ke rumah turut dikira sebagai ibadah.

Tugas menyampaikan ilmu perlu dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah kerana ia jihad yang paling tinggi dan dituntut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl ayat 125)

Peranan guru dalam mendidik masyarakat amat luas pengertiannya. Mereka menyampaikan ilmu akidah dan keimanan untuk serta menghubungkan manusia dengan Penciptanya.

Guru juga menjadi pembimbing paling akrab. Jadi mereka perlu menggunakan kesempatan untuk meluaskan ilmu yang dimiliki itu dengan perkara meliputi fardu ain dan fardu kifayah.

Malah, guru berupaya mendidik anak bangsa menjadi individu berperibadi mulia.

Jadikanlah nasihat dan bimbingan berguna Lukman Al-Hakim menerusi ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai anakku! Dirikanlah solat (sembahyang) dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman ayat 17)

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawab kamu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Gejala sosial di kalangan remaja adalah barah yang perlu ditangani secara bersama antara ibu bapa dan guru di sekolah supaya ia tidak terus merebak dalam masyarakat.

Guru bertanggungjawab menanamkan anak didik mereka dengan asas akidah Islam dan keimanan kepada Allah. Jadi seorang guru perlu menonjolkan sahsiah Islam bagi memungkinkan anak didik mereka mudah ‘tertarik’ dengannya.

Mereka perlu menjadi penyelesai masalah, bersifat ceria, berfikiran terbuka, bercakap sopan, mudah mesra dengan sesiapa saja dan tidak lokek ilmu.

Seorang guru tidak boleh berasa jemu dan mudah berputus asa dalam mengesan potensi anak didiknya selain berusaha mencari pendekatan terkini dalam menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat berilmu, beriman bagi tujuan pembangunan agama, masyarakat serta negara.

Mereka perlu menggalas cabaran sebagai pemimpin bagi menyempurnakan akhlak di kalangan anak didik mereka di sekolah. Jika ilmu yang dicurahkan itu diamalkan secara berterusan, mereka tetap menerima pahala itu walaupun sudah meninggal dunia.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda menegaskan, menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun satu ayat.

Malah, bayangkan begitu beruntung sekali mereka yang dalam usaha mencari ilmu kemudian meninggal dunia, mereka dianggap sebagai mati syahid.

Tema Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara menyeru seluruh warga pendidik supaya memperbaharui niat dalam memberi sumbangan kepada anak bangsa sehingga mampu melahirkan individu kreatif, inovatif, berwawasan dan berkualiti.

Seorang pendidik hebat semestinya mahukan anak didik mereka mendapat pendidikan dan kemahiran mengurus diri dengan sempurna berlandaskan kehendak Islam dengan bersungguh-sungguh.

Saidatina Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).’” (Riwayat al-Baihaqi)

Setiap warga pendidik perlu berasa bangga pekerjaan yang sedang mereka lakukan kini adalah amanah yang cukup besar dan tinggi nilainya.

Keikhlasan seorang insan bergelar guru melihat anak didikannya berjaya cemerlang dalam kehidupan bukannya angan-angan kosong.

Pengarah Urusan Tahsin Al-Quran Training Centre, Mohd Nasir Rustam berkata, guru perlu bertindak sebagai pendidik yang perlu sentiasa memenangi hati pelajarnya.

“Apabila memilih untuk menjadi pendidik, mereka wajib mendalami isi hati anak didik mereka. Perkembangan masalah sosial yang kian meruncing sekarang berpunca daripada pengaruh rakan sebaya sekeliling mereka.

“Maka guru perlu bijak menyesuaikan diri dengan setiap pelajarnya. Mendidik pelajar tidak boleh berasaskan nafsu amarah semata-mata dan mempunyai perasaan dendam kerana mereka perlu didekati secara psikologi,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah sendiri berdakwah melalui pendekatan berhikmah dan ia dapat diterima semua peringkat.

“Rasulullah tidak pernah sesekali mengamalkan tarbiah secara mengherdik, mengata tetapi menggunakan pendekatan dari hati ke hati.

“Seorang guru perlu menghormati dan menganggap pelajarnya seperti anak atau adik mereka sendiri.

“Di sini perlu wujudnya keikhlasan dalam memberi tumpuan dan didikan supaya anak didik mereka berjaya melakukan perubahan besar dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata, cabaran besar menanti warga pendidik iaitu bersama-sama berusaha mewujudkan jurang lebih rapat antara guru dan pelajar supaya mereka merasakan ada hubungan akrab yang terjalin.

“Bagi pelajar yang keras hati dan degil, guru perlu menggunakan kesempatan dan kemahiran mereka berhubung dengan lebih kerap, belanja mereka makan dan merancang program pendek bercuti bersama-sama.

“Insya-Allah, jika niat kita ikhlas kerana Allah, pasti Allah permudahkan segala urusan dan usaha kita lakukan. Guru perlu bersedia menjadi insan yang mampu memberi buah fikiran serta tempat mengadu masalah,” katanya.

Mohd Nasir berkata, pelajar yang membawa masalah di sekolah biasanya datang daripada keluarga yang bermasalah.

“Guru tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru apabila berhadapan dengan pelajar sebegitu. Mereka tidak suka dipaksa, maka langkah terbaik buat mereka adalah beri mereka peluang dan masa untuk berubah,” katanya.

Beliau berkata, setiap orang perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan guru mereka walaupun mereka tidak lagi mengajar.

“Kalau ada antara kita pernah melakukan kesilapan dan keterlanjuran terhadap guru, mereka perlu berjumpa dan memohon maaf.

“Ini penting kerana setiap kejayaan yang kita kecapi hari ini sudah pasti berpunca daripada didikan yang dicurahkan kepada kita. Jangan sesekali berasa riak dengan apa yang kita miliki sekarang jika ia tidak mendapat keberkatan,” katanya.

Sumber : Metro

No comments:

Post a Comment

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor