ALOR GAJAH - Seorang bapa menyangka motosikal anaknya yang diletakkan di luar rumah tetapi hilang kedua-dua tayar serta rim, sedang diperbaiki.
Namun, akhirnya dia menyedari motosikal jenis Yamaha LC135 itu sebenarnya jadi mangsa pencuri tayar dan rim motosikal.
Kejadian berlaku di Taman Pisang Emas Jaya, Gadek, dekat sini, awal pagi kelmarin apabila Azhar Abd Aziz, 43, mendapati motosikal milik anak sulungnya, Saiful Azan, 17, itu diletakkan atas batu-bata, sementara kedua-dua tayar dan rim hilang.
Kejadian disedari kira-kira 7 pagi ketika Azhar mahu keluar pergi ke tempat kerja, bagaimanapun menyangkakan tayar hadapan motosikal itu rosak serta ditanggalkan anaknya untuk diperbaiki.
“Sebaik terpandang motosikal itu, saya tanya kepada anak saya, tetapi anak saya menafikan dia membaiki motosikalnya itu.
“Ketika itu baru saya sedar tayar dan rim motosikal anak saya sudah dikebas pencuri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Azhar berkata, pencuri berkenaan dipercayai melakukan kegiatannya sekitar 1 dan 2 pagi kerana dia dan isteri, Eda Murni Mochtar, 40, terdengar bunyi sesuatu dari luar rumah pada waktu itu.
“Ketika itu, saya dan isteri tidur bersama tiga anak saya di ruang tamu. Isteri saya terjaga dalam keadaan mamai selepas terdengar bunyi di luar, namun hanya menyangkakan kucing,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa kesan minyak hitam yang terdapat pada dinding luar rumahnya.
“Malah, terdapat kesan minyak pada tembok rumah dipercayai kesan seseorang memanjat,” katanya.
Menurutnya, motosikal berkenaan digunakan anaknya untuk pergi ke sekolah setiap hari.
Sumber : sinar




No comments:
Post a Comment