Translator

Friday

Buktikan diri cinta Rasulullah

APABILA berbicara mengenai bulan Rabiulawal, pasti umat Islam akan mengaitkan dengan hari kelahiran Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap lapisan generasi dan masyarakat, tua dan muda, lelaki dan wanita sibuk menyiapkan diri untuk ‘menyambut’ suatu perayaan yang dinamakan Maulidur Rasul. Masyarakat di negara ini sudah sebati dengan sambutan Maulidur Rasul ini. Ia bagi menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah.

Demi Rasul junjungan, institusi kerajaan, swasta dan orang ramai sanggup menyediakan peruntukan yang besar demi kecintaan kepada Baginda.
Ini dapat kita lihat dengan adanya perarakan membawa sepanduk memuji dan mengagung-agungkan peribadi Baginda selain program TV, radio dan forum yang membahaskan sirah perjuangan Rasulullah.

Persoalannya, jika atas nama “cinta dan kasih sayang” kepada seseorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, utusan Allah SWT Rasul terakhir dan penutup segala nabi, sampai bilakah masyarakat kita ingin menterjemahkan dengan sekadar perarakan serta sambutan? Apakah ada mesej lebih besar yang patut kita sama-sama fikirkan? Allah berfirman dalam surah al-Imran ayat 31 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu itu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Ayat itu membawa isu hubungan cinta Allah dan Rasulullah secara hakiki. Bagaimana Allah mengingatkan kita bahawa jika kita benar-benar menyintai Allah, maka cara yang paling baik dan berkesan ialah mengikuti perjalanan Baginda.

Di sini dapat kita fahami bahawa kalimah “ikutilah aku” membawa maksud tidak lain iaitu mengikuti sunah Baginda, sesuai dengan erti sunah itu sendiri yang disandarkan kepada Rasulullah daripada perkataannya, perbuatannya, pengakuannya serta sifat-sifat akhlak Baginda termasuk sifat kejadiannya.

Ibnu Rajab ra mengatakan: Sunah adalah jalan yang ditempuh, maka hal itu mencakupi dengan berpegang teguh dengan apa yang pernah dicontohkan Rasulullah dan khulafa Al-Rasyidin, baik masalah akidah, amalan dan perkataan. Dan inilah sunah yang lengkap dan sempurna.

Selain itu, soal cinta dan kasih sayang ini ditekankan dalam sebuah hadis Baginda, bermaksud: “Tidaklah dianggap beriman (tidak sempurna iman) di kalangan kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada ibu bapanya, anaknya dan sekalian manusia.” (Hadis al-Bukhari).
Hadis ini membawa mesej yang jelas mengenai hirarki cinta dan sayang yang harus ada pada diri kita yang bergelar Muslim. Cinta dan sayang ini harus ditanam bahawa insan yang terlebih dahulu dicintai dan berhak disayangi ialah Rasulullah.

Sebagai umat Islam, bagaimana kita mencintai Rasulullah? Bagaimana pula jika dibandingkan dengan kecintaan para sahabat kepada Baginda? Justeru, Nabi ada bersabda dalam sebuah hadis, bermaksud: “Menyintai Ansar sebahagian daripada iman.” (Al-Jami’ Al-Saghir, Al-Suyuti).

Walaupun di zaman Rasulullah tiada perarakan gergasi, tiada sambutan khusus kepada Baginda, tiada upacara gilang-gemilang baik ketika zaman kenabian atau selepas wafatnya, kecintaan mereka diiktiraf penghuni langit dan bumi.

Mengapa? Ini kerana aqidah mereka jelas dan yakin mengenai kenabian Rasulullah serta cara mereka mengikuti sunah Nabi dalam setiap kehidupan. Inilah bukti cinta yang sebenar yang harus kita ikuti dalam membuktikan cinta dan kasih sayang kita kepada Rasululllah.

Kesimpulannya, cinta sebenar yang harus dizahirkan seseorang bergelar Muslim merangkumi empat perkara asas: Pertama, beriman kepada Rasul iaitu dengan mentaati, mengikuti, mempraktikkan sunah Baginda tanpa bantahan dan keraguan.

Ini sesuai dengan hadis Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya telah aku tinggalkan dua perkara bagi kalian sehingga kalian tidak akan tersesat selamanya jika berpegang teguh dengan kedua-dua perkara itu. (yaitu) Kitabullah dan sunahku.” (Riwayat Imam al-Hakim) Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Berpegang teguhlah kalian kepada sunahku dan sunah khulafa Rasyidin setelahku, gigitlah dengan geraham (dengan kuat) dan waspadalah dari hal-hal yang baru, kerana semua yang baru (bid’ah) adalah kesesatan. (Hadis Abu Dawud (460), Al Tirmizi (2676), Ibnu Majah (44)).

Kedua, beriman dengan Rasul iaitu dengan tidak menolak sunah Rasulullah. Ini kerana ramai di antara masyarakat kita yang mengaku mencintai Rasulullah tetapi menolak beberapa sunah Baginda.

Allah mengingatkan kita dalam firmannya, “Hendaklah berhati-hati orang yang menyelisihi (Rasulullah) dalam urusannya akan ditimpa cubaan atau ditimpa seksa yang pedih.” (Al-Nur: 63).

Dalam hadis lain, “Barang siapa yang menolak sunahku maka dia bukanlah sebahagian dariku.” (Hadis Bukhari) Selain itu dalam tulisan yang lain, “Barang siapa yang menolak hadis Nabi ketahuilah bahawa ia berada pada bibir jurang kebinasaan.” (Thabaqat al Hanabilah).

Ketiga, berusaha menyebarkan, menerangkan dan menyampaikan sunah Rasulullah yang sahih kepada masyarakat.

“Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat.” (Hadis al-Bukhari). Keempat, menghidupkan sunah Rasulullah yang sahih, sudah lama terpinggir di kalangan masyarakat seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis sebagaimana hadis al-Tirmizi dan Ibn Majah dari riwayat Abu Hurairah.

Bahkan, sepatutnya dianjurkan sunah yang paling senang tanda cinta kita kepada Rasul dengan berselawat kepada junjungan Baginda setiap hari bersesuaian dengan hadis: “Barang siapa yang berselawat sekali, maka Allah dan malaikat akan berselawat ke atasnya tujuh puluh kali” (Al-Munziri, Al-Targhib wa Al-Tarhib dan Al-Haithami).

Kesimpulannya, walaupun tarikh keputeraan dan kelahiran Nabi ini masih menjadi perdebatan di kalangan sarjana seluruh dunia, janganlah kita jadikan rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah terbatas hanya pada hari tertentu.

Kita patut tekankan untuk menerapkan sunah Rasulullah dalam kehidupan seharian, bukan sekadar semangat mengangkat dan menjulang kain sepanduk sambil berarak yang kadangkala membawa kepada pembaziran.

Ini sesuai dengan peringatan hadis Nabi yang bermaksud: “Jangan kamu memujaku sebagaimana Nasrani memuja Isa anak Maryam.” (Hadis Al-Bukhari).

Penulis berkelulusan dalam bidang hadis di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia

Sumber : Metro

No comments:

Post a Comment

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor