REMBAU - Seramai 60 pengunjung beragama Islam premis perjudian komputer ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam satu serbuan di sebuah premis perjudian komputer berhampiran Taman Taboh Naning di sini, awal hari ini.
Dalam serbuan tersebut pihak penguat kuasa JHEAINS turut merampas 41 unit perkakasan komputer yang digunakan untuk permainan perjudian selain wang pertaruhan berjumlah RM6,000.
Ketua Unit Operasi JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua yang ditahan adalah lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an, ketika mereka sedang leka bermain judi siber di premis dua tingkat tersebut.
"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau untuk siasatan dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan bon jaminan penguat kuasa dan dikehendaki hadir semula pada satu tarikh yang ditetapkan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini hari ini.
Ahmad Zaki berkata kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 79(a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Katanya pihak penguat kuasa turut menahan empat penjaga premis terbabit dan mereka telah diberi satu surat perintah hadir ke Unit Penguat Kuasa JHEAINS pada satu tarikh yang akan ditetapkan untuk tujuan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Operasi yang bermula pada pukul 12 malam dan berakhir 5 pagi tadi turut disertai anggota dari Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri. - Bernama
Sumber : sinar




No comments:
Post a Comment