Translator

Thursday

Sah Kerajaan tangguh SBPA

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengesahkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan kajian semula yang lebih mendalam dijalankan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda sebentar tadi. Pagi tadi, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara mengenai isu itu.

"Ya betul, SBPA ditangguhkan. Tetapi setakat ini belum ada pemakluman secara hitam putih (daripada kerajaan). Cuma Datuk Omar telah mengadakan pertemuan dengan KSN pagi tadi membincangkan perkara ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Azih menambah, kajian ke atas SBPA, yang akan dijalankan melibatkan soal kenaikan gaji, antara kakitangan kumpulan rendah dan tinggi, yang mencetuskan rasa tidak puas hati.

"SBPA bukan dibatal, tetapi ditangguh bagi membolehkan kajian mendalam dijalankan. Apabila selesai nanti, ia boleh dilaksanakan dengan dibayar tunggakan kepada kakitangan awam," katanya merujuk kepada tarikh pelaksanaan SBPA yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

"Kita tidak tahu berapa lama kajian ini akan dijalankan, tetapi keputusan Kabinet ini selaras dengan pandangan yang rata-rata tidak berpuas hati dengan SBPA," katanya lagi.

Cuepacs, dalam pendiriannya akhir bulan lalu, telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perbincangan dengan badan induk kesatuan sekerja sektor awam itu.

Malah katanya, Cuepacs akan mengadakan satu mesyuarat khas malam ini di ibu negara bagi membincangkan keputusan terbaru kerajaan ini.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari ini berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber kepada Sinar Harian Online.



Sumber : Sinar

No comments:

Post a Comment

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor