Translator

Monday

Kasih suami, sabar walaupun dihalau dari rumah

REMBAU – Demi kasihkan isteri dan anak-anak, seorang bekas tentera tidak berpencen sanggup menjadikan sebuah perhentian teksi di pekan ini sebagai tempat menumpang teduh sejak sebulan lalu.

Semuanya kerana dia terpaksa keluar dari rumah selepas isterinya mengambil keputusan untuk bercerai.

Namun, bagi Ramu, 56, (bukan nama sebenar), dia masih menaruh harapan tinggi agar isterinya lembut hati dan dapat menerimanya semula serta memaafkan kesalahannya selama ini.

Walaupun sebenarnya dia boleh menumpang tidur di rumah kakaknya di Nilai, namun disebabkan sayangnya keluarga, dia mengambil keputusan untuk tidak tinggalkan jauh keluarganya itu.

“Bukan mudah hidup di luar rumah lebih-lebih lagi di perhentian ini kerana keadaannya yang terbuka dan cuaca yang agak sejuk pada waktu malam.

"Saya jadikan lokasi ini sebagai tempat tinggal saya buat sementara waktu dan tidak putus-putus berharap agar isteri saya lembut hati serta menerima saya semula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perhentian teksi berkenaan.

Ramu berkata, sejak berhenti dari tentera, dia mengambil upah memotong getah milik kebun orang dan menjaga tandas awam bagi menampung hidup keluarganya.

"Saya sudah berkahwin sejak lebih 13 tahun lalu dan mempunyai tiga anak yang berusia lima hingga 13 tahun," katanya.

Ramu berkata, walaupun menumpang tidur di perhentian berkenaan, dia tetap menjaga kebersihan di kawasan berkenaan dan tidak berat tulang membantu menyapu sampah berdekatan perhentian berkenaan.

“Mana tidaknya, tidur, mandi semuanya di sini. Walaupun ianya bukan mudah, saya tetap juga menetap di sini," katanya.

Menurut Ramu, buat masa ini, dia masih belum dapat memutuskan sama ada mahu pulang ke rumah kakak di Nilai atau sebaliknya.

Sumber : Sinar

Campak bayi dari tingkat tiga

PETALING JAYA – Mayat bayi perempuan masih bertali pusat ditemui di kawasan letak kereta di Blok 1, Pangsapuri Desa Mentari awal pagi semalam.

Bayi dipercayai baru dilahirkan dan dicampak dari tingkat tiga blok pangsapuri itu, ditemui penduduk kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bayi tersebut mati akibat cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Menurutnya, seorang wanita berusia 20-an dipercayai ibu bayi tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Seorang penduduk, Jundi Mat, 35, yang menemui mayat bayi itu berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki motosikal dan menyedari ada sesuatu yang jatuh di belakangnya.

“Pada awalnya, saya menyangka orang membaling sampah dari tingkat atas kerana itu sudah menjadi kebiasaan penduduk di sini, tetapi terkejut apabila melihat darah di kepala bayi.

“Saya mendapati bayi itu tidak bergerak dan mendapatkan bantuan dari jiran untuk melaporkan kepada polis,” katanya.

Jundi yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia sudah 10 tahun tinggal di pangsapuri 11 tingkat itu dan tidak pernah berlaku kejadian buang bayi.

Sumber : Sinar

Selera terbantut, cebisan dawai dalam mi goreng

KLANG - Keenakan seorang gadis menikmati mi segera goreng bersama seorang rakan di sebuah restoran di sini terbantut selepas dia menemui cebisan dawai penyental periuk dalam makanan itu, minggu lalu.

Pengadu, Roziana Mohamad, 29, berkata, restoran terbabit memang menjadi pilihannya dan rakan lain untuk menikmati hidangan memandangkan kelazatan makanannya.

“Sebelum ini saya kerap ke restoran itu namun saya hanya menikmati nasi bersama lauk pauk.

“Bagaimanapun kali ini saya dan rakan memesan mi segera untuk mengisi perut dan dalam tempoh kira-kira 14 minit makanan yang dipesan tiba di meja pada malam itu,” katanya.

Tanpa membuang masa, dia terus menjamah dan menikmati hidangan, namun selera tersentap selepas menyedari benda asing  di sebalik dalam mi tersebut.

“Selepas amati secara jelas saya dapati ia cebisan dawai penyental periuk yang termasuk ke dalam mi segera saya.

“Selera saya terhenti serta merta, saya tak nak mati sebab makan mi berulam besi. Saya tak mahu  makan lagi, bimbang boleh membahayakan kesihatan saya,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Melihat apa berlaku, rakannya turut memeriksa dalam mi segera goreng dimakan kerana bimbang perkara sama menimpanya.

“Bagaimanapun dia bernasib baik dan atas nasihat rakan, saya memaklumkan kepada pekerja restoran terbabit berkenaan kewujudan benda asing itu.

“Selepas dimaklumkan, pekerjanya dan pemilik restoran memohon maaf dan menggantikan makanan lain.

“Bagaimanapun pada awalnya saya akur namun khuatir insiden sama berulang, pemilik restoran tidak mengenakan sebarang bayaran kepada saya,” katanya.

Apa yang dikesalkan, Roziana berkata, dia khuatir pelanggan lain berdepan situasi yang sama sepertinya.

“Justeru itu, saya harap pemilik restoran dan tukang masak peka dengan perkara tersebut kerana ia membabitkan makanan yang dimakan pelanggan.

“Jika  benda  asing itu masuk ke tubuh pelanggan pastinya  akan berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kesihatan pelanggan. Jadi perkara ini harus dipandang serius,” katanya yang enggan lagi ke restoran berkenaan.

Sumber : Sinar

Api misteri dianggap saka

KOTA BHARU - Kes gadis sering diekori api misteri sejak dua tahun lalu mendapat perhatian Darussyifa’ Cawangan Kelantan yang akan mengadakan rawatan kali kedua terhadap gadis terbabit bagi membantunya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Darussyifa Cawangan Kelantan, Zaki Ya berkata, kes yang dialami Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 14 boleh diistilahkan sebagai saka dan ia adalah perbuatan daripada jin.

“Penyakit yang dialami gadis ini ada pada badan dia (Wan Nor Fatihah) sendiri dan antara jalan terbaik untuk mengubatinya hanyalah dengan solat hajat dan dirawat tanpa putus asa.

“Sebelum ini, Darussyifa’ Kelantan pernah menjalankan rawatan di rumah Wan Nor Fatihah di Kampung Bunga Mas, Penambang dan didapati rumah yang didiaminya bermasalah,” katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Aidilfitri Darussyifa’ Kelantan di Pejabat Darussyifa’ Lundang, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 500 tetamu terdiri daripada ahli-ahli persatuan Darussyifa’, penduduk sekitar Lundang, kenalan ahli, dan keluarga terdekat.

Zaki berkata, pada pertemuan pertama tahun lalu, rumah itu sudah dirawat, diadakan solat hajat dan acara membacakan surah Yasin turut dijalankan.

Menurutnya, selepas rawatan berkenaan, kejadian api misteri yang muncul tiba-tiba reda hanya dalam lima hari sahaja, kemudian ia terus berlaku dan ketika rawatan, Wan Nor Fatihah sudah dibawa ke Kuala Lumpur.

“Sekarang dengan adanya Wan Nor Norfatihah di rumah itu semula, ia sekurang-kurangnya memudahkan rawatan dilakukan dengan lebih berkesan.

“Dia tidak akan diganggu dan tenang hanya ketika dalam solat dan sewaktu azan berkumandang sahaja kerana jin tidak boleh mengganggu manusia ketika itu,” katanya.

Katanya, sejak mengendalikan Darussyifa’ Kelantan, kes itu diakui paling ajaib ditemui berbanding kes-kes lain kerana ia menyerang menggunakan api pada bila-bila masa.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Wan Nor Fatihah yang sebelum ini terpaksa tinggal di Kuala Lumpur untuk mengelak kejadian api misteri mengekorinya kini pulang semula ke kampungnya setelah ia masih berterusan dialaminya.

Dalam perkembangan terbaru, Wan Nor Fatihah mengakui hidupnya tidak keruan dan tertekan akibat sering dicemuh masyarakat kerana persekitaran yang didudukinya akan terbakar, malahan dia mengharapkan ada pakar perubatan tradisional atau ustaz yang sanggup tampil membantunya.

Sumber : Sinar

Wanita curi RM4,023 sujud kaki minta maaf

KUANTAN: “Wanita yang sarat hamil itu berkali-kali sujud sambil cuba mencium kaki untuk memohon maaf kerana mencuri wang RM4,023 bersama dua gelang tangan milik saya dan adik,” kata mangsa kecurian dikenali Rin, 37, selepas berjaya menahan seorang wanita yang mengambil kesempatan mencuri wang tunai dan barang kemas ketika dia bersama ahli keluarga lain sibuk melayan tetamu di majlis perkahwinan adiknya, di Tanah Putih Baru, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, wanita berusia 22 tahun dari Kampung Pulau Jawa, Pekan, dikatakan hadir sebagai tetamu tidak diundang di majlis kenduri itu sebelum menjadi ‘halimunan’ dengan menyusup masuk ke bilik mangsa.


Ketika berada di dalam bilik itu, wanita terbabit yang sepatutnya dijadualkan bersalin kelmarin, dikatakan menyelongkar almari sebelum mengambil anak kunci dalam kotak lalu membuka laci dan mengambil beg tangan milik mangsa yang mengandungi wang tunai dan barang kemas.

Sumber : Metro

Remaja 19 tahun diperkosa lebih 7 lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun melalui detik hitam dalam hidupnya selepas diperkosa secara bergilir-gilir dipercayai lebih tujuh lelaki dalam kejadian di sebuah hotel murah di Cheras, di sini.

Difahamkan, remaja terbabit dianiaya oleh dua rakan lelaki yang membawanya ke hotel berkenaan selepas mangsa tidak sedarkan diri dipercayai diberi minuman keras.

Sumber berkata, dalam kejadian malam Jumaat lalu, mangsa bersama seorang rakan perempuannya dibawa keluar oleh dua lelaki yang juga rakannya ke sebuah kelab malam di ibu kota jam 12 tengah malam.

“Ketika di dalam kelab itu, mangsa dipercayai diberi minum minuman keras menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Dalam keadaan separuh sedar mangsa dibawa rakan-rakannya itu ke sebuah hotel di Cheras.

“Mangsa mendakwa menyedari didatangi empat lelaki ketika di dalam sebuah bilik hotel itu yang bertindak memegang tangan dan kakinya ketika dia cuba melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa menjerit dan minta dilepaskan bagaimanapun badan mangsa yang lemah tidak berupaya melawan menyebabkan dia ditolak oleh keempat-empat lelaki itu dan menghempas mangsa ke katil “Mangsa diperkosa secara bergilir-gilir dipercayai lebih tujuh lelaki sebelum mangsa dihantar kedua-dua rakan lelakinya itu pulang ke rumahnya pada sebelah pagi,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan akibat dipukul dan diperkosa suspek kemudiannya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sumber : Metro

Padah langgar lampu merah

SUNGAI BULOH: Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Jalan Sungai Buloh-Subang, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, T Jeganathan, 22, dan T Kanikanan, 27, adalah penumpang kereta Proton Wira dan mereka maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Kejadian jam 3.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dari Sungai Buloh yang dinaiki mangsa membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan stesen berkenaan sebelum dirempuh sebuah Proton Waja.

Sumber polis trafik berkata, Proton Waja dari Subang itu tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian kiri Proton Wira dinaiki mangsa.

“Akibat rempuhan kuat itu, Proton Waja terbabit berpusing ke arah bertentangan manakala Proton Wira pula terseret beberapa meter,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila sebuah daripada kereta terbabit melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian berasingan di Kilometer 20 Lebuhraya Karak arah Tol Gombak, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas.

Mangsa, Raja Mohamad Fahmy Izzudin Raja Zulkifli, 21, yang menerima rawatan di Hospital Selayang disahkan meninggal dunia jam 10 pagi, tiga jam selepas kejadian itu.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Sunway menunggang dalam keadaan hujan lebat menyebabkan motosikalnya hilang kawalan dan terbabas.

Polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03- 6126222/2273.

Sumber : Metro

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan

TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.

Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.

Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.

Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.

“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.

Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.

“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang," katanya.

Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.

Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.

“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.

Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.

Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.

“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.

“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.

Sumber : Sinar

Pegawai PTD mati lemas ketika jalani latihan

PEKAN - Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, dekat sini hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan.
  
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.
  
"Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
  
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Yahya berkata Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut dari 3 hingga 28 Sept ini.
  
Difahamkan mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
  
"Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut," katanya.
  
Beliau turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian.
  
Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika latihan itu diadakan.
  
"Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi sudah berbuih," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Intan menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform.
  
Ini, katanya berikutan insiden kematian Aldy Hasmi ketika sedang menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.
  
Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.
  
"Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali melalui laman Facebooknya. - Bernama

Sumber : Metro

Kadet Pegawai Tadbir Diplomatik maut

KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform.

Ini, katanya, berikutan insiden seorang kadet PTD, Aidy Hasmi Abu Hassan, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang.
  
Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan berhubung kejadian itu.
  
"Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Ali melalui laman Facebooknya.
  
Beliau bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut mengenai Aidy Hasmi atau apa yang berlaku terhadap Allahyarham.

Dalam laporan terdahulu, Bernama melaporkan bahawa Aldy dari Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force
136, Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai disebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.

"Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air dan jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan

(CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas," katanya.

Yahya berkata, Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut dari 3 hingga 28 September ini.

Difahamkan mangsa, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

"Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut," katanya.
Beliau turut dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika
latihan itu diadakan.

"Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy
Hasmi sudah berbuih," katanya.

Sumber : Sinar

Aktres Innocence of Muslims telan pil tidur

AKTRES filem mencetuskan amarah masyarakat Islam dunia, terpaksa menelan pil tidur apabila merasa dikecam dan  tidak selamat selepas protes dan pembunuhan  berlaku berikutan tersiarnya klip video Innocence of Muslims di YouTube sejak seminggu lalu.

Anna Gurji, 21, mendakwa melakonkan watak isteri muda kepada seorang lelaki bernama George, tetapi pengarahnya Nakoula Basseley atau dikenali sebagai Sam Bacile, bertindak menukarnya kepada Muhammad.

"Saya tidak tahu George ditukar kepada Muhammad. Kini saya hanya berkurung di rumah. Saya bimbang masyarakat dunia memusuhi saya kerana filem itu.

"Saya penganut Kristian Katolik, jadi mereka terfikir saya juga menentang Islam.Saya berasa dikhianati Bacile. Saya telah dikenali seluruh dunia dan jujur saya akui berasa malu apabila menonton watak itu," katanya kepadaThe Mail Online.

Gurji berkata, selain beliau barisan pelakon filem itu turut diperbodohkan Bacile yang kononnya tajuk filem berkenaan adalah Desert Warrior  atau  Innocence of Bin Laden selain langsung tidak berkaitan dengan isu keagamaan.

"Saya diberi watak sebagai Hilary. Menurut Bacile, filem itu mengisahkan sebuah komet jatuh di kawasan Timur Tengah, dan perebutan komet berlaku sehingga cetus peperangan untuk merebutnya.

"Filem itu sepatutnya mempunyai banyak kesan khas kerana kami berlakon di hadapan layar hijau. Kos penggambaran rendah, saya hanya dibayar $75 (RM227.73) sehari.

"Saya tidak tahu bagaimana Bacile boleh menukar jalan cerita itu. Mungkin saya bodoh tetapi tiada sesiapa menceritakan hal sebenar.
Tiada seorang pun daripada barisan pelakon terfikir filem ini mempunyai agenda rahsia," katanya mengakui filem itu dirakamkan di California.
   
Bahana Innocence of Muslims

Rusuhan dan protes yang tercetus sejak 11 September lalu dilihat sebagai pengulangan memori insiden serangan di Menara Berkembar di New York, Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengilhamkan pengikut anti-Islam dengan menuduh Islam adalah ganas dan jahat.

Jika filem Innocence of Muslims tidak disiarkan, pastinya bangunan Kedutaan AS di Libya tidak dibakar sehingga meragut empat nyawa.

Rentetan itu, pastinya lebih 20 Kedutaan AS di seluruh dunia tidak diserang masyarakat Islam yang berang dengan tindakan Bacile.

Seterusnya, Presiden AS, Barack Obama tentu tidak akan menghantar tenteranya ke Libya dengan satu tujuan iaitu untuk membalas dendam ke atas kematian rakyatnya. Namun, Obama menggunakan alasan mahu bekerjasama bagi menangkap pembunuh dutanya, Christopher Stevens.

Jelas sekali, filem berkenaan telah mencetuskan protes secara besar-besaran dari Maghribi sehingga ke Malaysia. Setakat ini, tujuh terbunuh, ribuan cedera dan rusuhan menular ke Sydney, Australia, semalam.

Semalam, AS terpaksa memanggil balik dutanya di Sudan dan Tunisia selepas mendapat amaran, Al-Qaeda bakal menyerang kerajaan Obama di Arab dan Barat.

Si penghina Nabi disiasat

Masuk hari kelima, protes filem pendek Innocence of Muslims, lelaki Kristian Koptik, Bacile yang berperanan sebagai penerbit dan pengarah filem itu menyerah diri untuk disoal siasat pegawai persekutuan di balai polis Cerritos, Los Angeles, kelmarin.

Bagaimanapun, Bacile, 55, hanya disoal siasat mengenai penglibatan jenayah kewangan yang berpotensi untuk dipenjarakan semula selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana kesalahan penipuan bank pada tahun 2010.

Jurucakap polis memberitahu, pihak berkuasa tidak melakukan siasatan ke atas projek filem berkenaan dan jika sekalipun ia pencetus keganasan kerana AS tidak mengiktirafnya sebagai jenayah berikutan ia termasuk di dalam akta kebebasan bersuara.

Sumber : Sinar

YouTube tak sensitif kemarahan Muslim

KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia masih belum membuang klip filem Innocence of Muslims daripada senarainya.
  
"Itulah bagaimana mereka tidak sensitif," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
  
Rais berkata kebebasan bersuara tidak termasuk menyebabkan atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.
Dalam laporan lewat malam tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa hanya beberapa klip yang disekat dan masih banyak muncul dan boleh diakses oleh orang ramai dari Malaysia.
Memandangkan bantahan meluas dalam dunia Islam, beliau berkata, YouTube mempunyai setiap sebab untuk mengeluarkan filem anti-Islam daripada senarainya.
  
"YouTube nampaknya tidak sedar kepada kekacauan yang disebabkannya. Pemilik YouTube tidak layak untuk dilepaskan daripada kemarahan umat Islam atau tindakan undang-undang," katanya.
Rais berkata, pendakwa raya berhak, mengikut Kanun Keseksaaan, untuk mengheret pihak-pihak yang menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang-orang yang melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Filem itu dikutuk oleh umat Islam dan Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai "sebuah filem yang bersifat menghasut" manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu 'satu penghinaan kepada agama Islam".

Sumber : Sinar

Sunday

Samun guna pemetik api


SEREMBAN: Mendakwa kononnya mahu melangsaikan hutang along, seorang lelaki nekad menyamun sebuah restoran di Seremban Jaya, di sini, dengan menggunakan pemetik api berbentuk pistol tidak ubah seperti senjata sebenar, Selasa lalu.

Bagaimanapun, kelicikan suspek berusia 30-an menyamun RM1,200 daripada pengusaha restoran yang juga pasangan suami isteri masing-masing berumur 38 tahun itu akhirnya tumpas tidak sampai enam jam apabila ditahan di rumahnya di Rahang, di sini.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 4 September lalu itu, suspek menyerbu sebuah restoran yang sedang dikemas berikutan pengusahanya mahu menamatkan operasi.
"Suspek yang memakai cermin mata gelap dan menggunakan kereta Proton Saga Aeroback berwarna hitam itu nekad memasuki restoran berkenaan menerusi pintu hadapan yang ditutup separuh.

"Kemudian suspek terus mengacukan 'pistol' kepada pengusaha restoran iaitu pasangan suami isteri masing-masing berusia 38 tahun sebelum memaksa menyerahkan wang.

"Mangsa yang takut apabila diacukan 'pistol' itu menyerahkan sejumlah wang sebelum suspek melarikan diri dengan keretanya diletakkan di luar premis," katanya.
Menurutnya, polis kemudian dapat mengesan alamat suspek pada hari sama kejadian itu menerusi nombor pendaftaran sebenar kereta digunakan untuk menyamun.

Kira-kira jam 11 malam hari sama kejadian itu, suspek ditahan di rumahnya di Taman Bunga Blossom, Rahang, di sini, di hadapan isteri dan anak-anak suspek.

sumber : Metro

Pemandu teksi ditahan dera anak


SENAI - Seorang pemandu teksi ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di rumah mereka di Taman Sri Skudai, di sini semalam.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi selepas polis menerima maklumat orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketika pemeriksaan, kanak-kanak terbabit dilihat mempunyai kesan lebam baru dan lama di seluruh badan.
“Kami menahan bapa kandung kanak-kanak terbabit selepas dia mengaku memukul anaknya dengan menggunakan penyangkut baju dan dia akan direman esok pagi (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber : Sinar

Remaja 15 tahun dirogol bergilir-gilir

TAPAH - Perkenalan singkat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang baru menjangkau tiga hari mengundang padah buat seorang calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) di salah sebuah sekolah di Bidor apabila dia menjadi  mangsa rogol secara bergilir-gilir tiga pemuda.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa berusia 15 tahun itu baru berkenalan dengan salah seorang suspek dan diajak keluar untuk beraya di rumah rakan suspek di sekitar Tapah sebelum makan malam bersama.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, setelah selesai makan, suspek pertama tidak membawa mangsa pulang sebaliknya memberitahu mangsa, dia mahu mengambil dua rakannya.

"Kereta yang dipandu suspek kepunyaan bapa saudaranya dan mereka menuju ke rumah milik salah seorang suspek di Kampung Muhibbah, Batu 33, Tapah.

“Mangsa dibawa masuk ke dalam rumah sebelum dirogol oleh tiga orang suspek bergilir-gilir dan pihak kami juga percaya, perbuatan itu dilakukan dari lewat malam sehingga awal pagi,” kata dalamsidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir

Tambahnya, ketika suspek pertama cuba mengulangi perbuatannya sekali lagi terhadap pelajar terbabit, mangsa berjaya mengunci pintu bilik sebelum melarikan diri daripada rumah tersebut.

"Ketika mangsa cuba melarikan diri, mangsa telah membuat panggilan 999 dan meminta bantuan daripada pihak polis.

"Mangsa berjaya diselamatkan sepasukan polis daripada IPD Tapah dan dibawa ke balai polis  sebelum dihantar ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan pakar di sana dan satu laporan polis dibuat.

“Mangsa juga dapat mengecam dua daripada tiga suspek iaitu Mohd Shahril Kamaruddin , 23 daripada Kampung  Rebai, Jalan Pahang, Tapah, dan Musa Shaharum, 38, Kampung Bermin, Jalan Pahang, Tapah dan pihak kami sedang dikesan suspek bagi membantu siasatan.

“Kami juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang hanya dikenali sebagai ‘Mok’ dan dipercayai terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Suspek yang dikenali sebagai Musa bekerja sebagai mekanik di salah sebuah bengkel di sini, mempunyai isteri dan anak turut mempunyai dua rekod jenayah iaitu pecah rumah dan curi kenderaan manakala Mohd Shahril  masih dalam siasatan pihaknya.

“Pihak kami sedang giat mencari ketiga-tiga suspek yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu dan menyedari mangsa membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus di hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS Rakan Cops 32728 ataupun balai-balai polis berdekatan,” katanya.

Sumber : Sinar

Pisau lipat sambal tumis


KULIM - Seorang pekerja industri, Mohd Ridzuan Abdul Manaf 31, terkejut apabila mendapati terdapat pisau lipat dalam sambal ikan bilis yang dihidangkan di kantin kilang tempat dia bekerja.
Katanya, dia kemudiannya memaklumkan kecuaian dilaporkan  kepada pengusaha kantin, tetapi ia tidak diendahkan sebaliknya pekerja kantin hanya membuang pisau itu sahaja, manakala sambal ikan bilis itu dijual semula.
“Cuba bayangkan kalau ada dia ntara pekerja kilang ini yang tertelan atau tergigit pisau itu, mereka pastinya akan mengalami kecederaan parah. Saya kesal masalah seperti ini tidak diendahkan semata-mata kami hanya pekerja kilang dan berpangkat rendah.
"Saya bersama beberapa rakan sekerja memaklumkan kejadian itu kepada pihak Sumber Manusia kilang, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.
"Kami kecewa kerana sebelum ini, pengusaha kantin tidak menitik berat tentang kebersihan ketika menyediakan makanan bagi pekerja kilang seperti kami,” katanya.
Mangsa ditemui di pejabat Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim.
Mohd Zailan berkata, beliau meminta persatuan pengguna mengambil tindakan terhadap pengusaha kantin terlibat, kerana ia membahayakan keselamatan dan kesihatan pekerja kilang.
Menurutnya, beliau sudah menghubungi Pejabat Sumber Manusia kilang terlibat dan meminta masalah itu disiasat.
Sekiranya enggan berbuat demikian, Persatuan Pengguna akan membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan dan membuat pemeriksaan mengejut terhadap penyediaan makanan di kilang itu.
“Pisau dalam makanan bukan satu perkara yang harus dipandang remeh. Kita tidak boleh mengetepikan keselamatan pekerja biasa yang bukan terdiri dalam kalangan kakitangan berjawatan tinggi,” katanya.

Bas PKR Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat lagi


SHAH ALAM - Bas yang digunakan PKR pada program Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah kali kedua dalam seminggu ini, kata Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali ini insiden itu terjadi di Melaka.

"Minggu lepas di Kelantan, kali ini di Melaka. Tindakan samseng makin berani dan biadab!" kata mesej Twitter Anwar hari ini.

Kata beliau, gerombolan dipercayai anggota Pemuda sebuah parti melempar cat merah di bahagian cermin hadapan bas Jelajah Merdeka Rakyat sebaik menghampiri Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Melaka di Kampong Kelubi, Jasin.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dihubungi Sinar Harian Online turut mengesahkan kejadian tersebut.
Bas terbabit diserang di Kota Bharu, Kelantan awal pagi 1 September di hadapan Pasar Siti Khadijah.
Ia dilancarkan oleh PKR pada 31 Ogos sebagai kemudahan untuk menggerakkan Jelajah Merdeka Rakyat.
Dalam kejadian di Kota Bharu, cermin bas tersebut telah dipecahkan dan cat merah disimbah pada bas tersebut.
Bas itu mempunyai 19 tempat duduk, kemudahan wifi, tempat mesyuarat, tandas dan dilengkapi sistem bunyi dan pentas segera.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi berkata, beliau dan Anwar berada dalam bas ketika kejadian.
"Bas disimbah cat dan dibaling dengan botol dan batu ketika bas tiba di kawasan kejadian," kata beliau.
Kata beliau, bas diserang apabila skuad AMK yang berada di kawasan kejadian cuba menghalang beberapa pemuda, dipercayai ahli Umno, cuba menyekat bas daripada meneruskan perjalanan ke tempat majlis.
"Apabila bas mula bergerak selepas kumpulan itu dileraikan ke tepi jalan, kumpulan pemuda itu membuang cat ke arah bas dan baling, dipercayai botol dan batu," kata beliau.
Ketika kejadian ada 10 penumpang termasuk beliau, Anwar dan seorang lagi anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Shamsul Iskandar berkata, pihaknya akan membuat laporan polis esok.
"Saya kenal salah seorang yang berada dalam kumpulan pemuda adalah seorang penghulu. Saya akan dapatkan butiran dan akan dedahkan selepas membuat laporan polis esok," kata beliau lagi.

Sumber : Sinar

Mayat bayi lelaki ditemui dalam beg pakaian di Setapak


KUALA LUMPUR - Mayat bayi lelaki yang telah reput di beberapa bahagian badan ditemui dalam sebuah beg pakaian dekat Surau Al-Falaq, Danau Kota, Setapak di sini hari ini.
  
Mayat bayi itu ditemui kira-kira pukul 9 pagi oleh penuntut wanita sebuah kolej Islam ketika ke surau untuk menyertai aktiviti gotong-royong.
  
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata anggota polis turut menemui sekeping yang ditulis dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
  
"Nota itu menyebut 'Nama saya Mintah, tolong pengurus masjid tolong urus bayi ini'.
  
"Selain itu, sepasang baju kurung kuning, lampin dan seluar panjang warna hitam juga ditemui dalam beg itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
  
Zakaria berkata berdasarkan keadaan mayat, polis percaya bayi itu berusia tujuh hari dan meninggal dunia dua hari lepas.
  
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama


Padah potong kiri, penunggang motosikal maut digilis treler


RAWANG – Tindakan seorang penunggang motosikal memotong sebuah treler di bahagian kiri jalan membawa padah apabila dia maut dalam keadaan tragis dengan isi kepalanya terburai dilanggar kenderaan 18 tayar itu, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, warga Pakistan, Zulfiqar Ali dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Rawang menghala ke Country Homes.
Sumber berkata, ketika berada di Jalan Sungai Dua berhadapan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan cuba memotong sebuah treler jenis Nissan yang berada di depannya.
Katanya, tindakan mangsa memotong dari bahagian kiri itu berdepan detik malang apabila dia dikatakan terlanggar konkrit pembahagi bahu jalan.
Menurut sumber,  akibat daripada itu, motosikal ditunggangi terbabas dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.
“Mangsa yang bekerja sebagai penjual tudung tidak sempat bangun menyelamatkan diri menyebabkan kepalanya digilis oleh treler cuba dipotongnya sebelum itu.
“Isi kepala mangsa terburai dilenyek tayar bahagian belakang treler yang membawa muatan batu konkrit sebelum disahkan meninggal dunia serta merta,” katanya.
Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan memberhentikan kenderaan dipandunya sebaik merasakan tayar belakang terangkat.
Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati treler yang terbabit dengan kemalangan tidak mengalami sebarang kerosakan namun motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian kanan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di parah dikepala,” katanya lagi.
Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,  Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262273 atau 03-61262257.

Sumber : Sinar

Nenek 108 tahun minta PM bubar Parlimen segera


DUNGUN – Seorang wanita berusia 108 tahun meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera bubarkan Parlimen bagi membolehkan dia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Halimah Muda, penduduk Rantau Abang di sini berkata, dia bimbang jika Perdana Menteri lewat mengadakan pilihan raya, dia mungkin terlepas peluang untuk mengundi.

"Nenek sudah tua. Sudah 108 tahun. Bila ALLAH nak ambil umur pun kita tak tahu. Tapi apabila dalam umur macam ini, biasanya sudah tak lama. Kerana tu, nenek harap sangat dapat mengundi, mungkin untuk kali penghabisan," katanya.

Halimah, yang dilahirkan pada 1904 mempunyai 12 anak, berpuluh-puluh cucu dan cicit itu berkata, dia tidak ingat bila dia mula mengundi.

"Yang nenek ingat, sudah lebih daripada 10 kali (undi). Pendek kata, setiap kali ada pilihan raya sejak muda dulu, nenek tak pernah ketinggalan," katanya.

Meskipun matanya kabur dan sering sakit, Halimah masih tetap bersemangat untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Sejak dulu lagi, kalau tak dapat berjalan ke tempat mengundi, ada kereta datang ambil di rumah. Yang penting, nenek tahu di mana tempat nak pangkah. Kertas undi masih boleh nampak," katanya.

Halimah dikesan Umno Bahagian Dungun melalui semakan daftar pemilih dengan kerjasama Sekretariat Teknologi Maklumat Daftar Pemilih Umno Negeri.

Dia menarik perhatian kerana bakal menjadi pengundi tertua di kawasan Parlimen Dungun dan besar mungkin, yang tertua di Malaysia.
Sumber : Sinar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditumbuk


KANGAR - Gara-gara tidak puas hati dengan isu pasar, seorang lelaki yang ada rekod ditahan polis, menumbuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Mat Hassan di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wakil rakyat itu bersama isterinya ketika kejadian berada di Kampung Seberang Tok Pi untuk menziarahi kematian.

Katanya, semasa beliau mahu pulang, datang seorang lelaki berusia 36 tahun, memaklumkan peniaga-peniaga pasar di Kuala Perlis ada mengadu kepadanya bahawa mengenai jumlah pelanggan terjejas semenjak Pasar Burma dibuka.

Menurutnya, Mat Hassan kemudiannya memberitahu lelaki berkenaan agar memaklumkan peniaga-peniaga pasar terbabit supaya datang berbincang mengenai masalah itu dengannya.

Walaupun Adun itu meminta lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada para peniaga, lelaki terbabit masih bercakap mengenai masalah tersebut, tambah beliau.

“Semasa pengadu ingin bergerak pulang suspek masih bising-bising dan tiba-tiba meluru ke arah pengadu dan melepaskan satu tumbukan di muka sehingga menyebabkan pengadu mengalami luka dan sakit di bawah mata pipi kirinya," kata beliau.
Abdul Rahman memberitahu, semakan mendapati suspek, yang juga seorang nelayan, pernah lima kali ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya di Perlis, lima kali ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas di Batu Gajah serta tangkapan di bawah Seksyen 411 dan 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun katanya, suspek buat masa ini tidak ditahan reman tetapi diambil keterangan untuk siasatan.

Difahamkan, kematian yang diziarahi pengadu dan isteri merupakan emak saudara kepada suspek  yang turut tinggal di kampung yang sama.

Sementara itu, Mat Hassan ketika dihubungi berkata, beliau tidak mahu membesar-besarkan kes tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sumber : Sinar

Kawan Dajal


Gara-gara tegur jangan terlibat dadah, lelaki mati ditikam
KOTA BHARU - Gara-gara menasihati rakan serumahnya agar tidak terbabit dengan gejala dadah, seorang lelaki maut akibat ditikam dalam kejadian di Kampung Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian antara pukul 8 dan 9 pagi itu, Mohd Yusof Zakaria, 41, ditikam dengan sebilah pisau yang mengenai jantungnya.
  
"Mangsa mati ketika dalam perjalanan ke klinik di Rantau Panjang," katanya pada sidang media, di sini.
  
Beliau berkata suspek yang berumur 37 tahun menyerah diri di Balai Polis Lubuk Setol, setengah jam selepas kejadian.
  
Katanya polis turut merampas sebilah pisau berukuran 12 sentimeter daripada lelaki itu yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
 
Ujian air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai rekod membabitkan dadah pada 2002, katanya.
  
Mengulas lanjut kejadian itu, Mazlan berkata insiden berlaku di hadapan kantin di kawasan perlombongan bijih besi kampung berkenaan, selepas mangsa menegur suspek agar tidak terbabit dengan dadah dan berhenti daripada mengganggu  keluarga sendiri.
  
"Suspek baru bekerja di lombong itu dalam tempoh sembilan bulan dan berasal dari Benut, Johor manakala mangsa yang dilahirkan di Kedah kini menetap di Pasir Mas dan tinggal bersama suspek," katanya.
  
Mangsa katanya ditikam dua kali, namun tikaman pertama berjaya dielak sebelum ditikam kali kedua yang tepat ke jantung mangsa.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Wednesday

Waspada di luar rumah

KUALA LUMPUR: Golongan wanita diminta lebih berhati-hati ketika berada di luar rumah kerana pelaku seks berada di mana saja terutama di kawasan sunyi dan gelap.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelaku seks ada kaitan dengan sakit mental atau ketagihan seks dan mereka cenderung melakukan gangguan seksual dan jenayah rogol di mana saja jika berpeluang.

Katanya, pelaku seks mungkin sudah memerhatikan pergerakan mangsa sebelum menyerang dan merogol atau menunggu sesiapa saja yang datang menghampirinya, serta mengambil peluang itu untuk merogol mangsa.
“Antara kaedah meningkatkan keselamatan dengan mempelajari kemahiran mempertahankan diri, membawa senjata seperti penyembur lada atau objek lain yang boleh melindungi.

“Biarpun kaedah itu tidak seratus peratus menghalang berlaku jenayah, tetapi dapat membantu ketika berada dalam bahaya. Wanita juga diingatkan tidak berseorangan terutama di kawasan berisiko berlaku jenayah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas kejadian cubaan rogol yang berlaku di sebuah pawagam mini di Kuching, Sarawak, kelmarin.
Dalam kejadian itu, seorang wanita nekad mempertahankan kesuciannya daripada diragut walaupun dalam keadaan separuh sedar selepas disuntik ubat pelali sebanyak dua kali oleh seorang lelaki yang cuba merogolnya.

Suntikan itu menyebabkan mangsa menggigil dan separuh sedar, namun tetap menguatkan tenaga untuk melawan suspek yang masih berusaha merogolnya. Sementara itu, Pegawai Kanan Program Persatuan Tindakan Wanita (Awam), Lee Wei San, berkata isu keganasan terhadap wanita tidak pernah selesai, malah pada tahun lalu, 3,595 kes rogol, 3173 dera dan 2054 gangguan seksual dilaporkan.
“Biarpun banyak undang-undang dibuat untuk melindungi wanita termasuk peruntukan mengikut Akta 1994, Kanun Keseksaan dan Keganasan Rumah Tangga, namun keganasan terhadap kaum itu terus berlaku.

“Ini mungkin disebabkan pengawasan undang-undang yang kurang di kawasan berisiko tinggi berlaku jenayah. Kaedah baru dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat perlu diperkenalkan bagi memastikan keganasan terhadap wanita dapat dihapuskan,” katanya.

Sumber : metro

Ustazah dituduh bersubahat

AMPANG : Seorang ustazah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan bersubahat dengan suami baru yang merogol dan mencabul anak kandungnya yang juga bawah umur, tiga bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersubahat kesalahan rogol terhadap anak sulung perempuannya yang berusia 15 tahun satu bulan di rumah mereka di Bukit Ampang Permai, di sini antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi pada April lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa menyuruh anak perempuannya membuka pakaian dan menutup mulut mangsa tanpa kerelaan ketika suami merogolnya.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh bersubahat kesalahan rogol terhadap anak sulung perempuannya yang sama di rumah sama dengan menyuruh masuk ke dalam bilik mereka, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi pada 12 Mei lalu.

Sumber : Metro

Wanita New Delhi dapat ‘senjata baru’ hadapi perogol

NEW DELHI: Wanita di bandar raya ini tidak lama lagi boleh mengatasi sesiapa yang cuba menyerang mereka dengan hanya menekan satu butang telefon untuk meminta tolong kepada pelbagai pihak, termasuk ahli keluarga dan polis.

Butang itu juga menghidupkan penggera di laman sesawang sosial mangsa.

Polis berkata, satu daripada setiap empat kes rogol di India berlaku di New Delhi.
Biasanya, mangsa ditarik ke dalam kereta dan dirogol beramai-ramai ketika kenderaan itu dipandu sebelum mangsa dicampakkan ke tepi jalan.

Data polis India menunjukkan, berlaku satu kes rogol bagi setiap 18 jam.

Namun, melalui kemudahan Fight Back itu, wanita boleh menghantar mesej kecemasan berserta lokasi tepat kepada lima pihak, termasuk polis.
Ia juga dipaparkan dalam Facebook dan Twitter.

Perkhidmatan itu akan dilancarkan bulan depan. Pengasas bersama Whypoll yang pencipta aplikasi itu, Hindol Sengupta, berkata keselamatan wanita menjadi isu besar di India.
“Wanita dicabul dan diganggu di mana-mana saja dan kami percaya aplikasi pertama di Asia ini membantu mereka menjadi lebih selamat,” katanya. - Reuters

Sumber : Metro

Salah Siapa? Remaja mangsa kes rogol tertinggi

KUCHING: Biarpun jumlah kes rogol menunjukkan penurunan, golongan remaja, terutama berusia 16 tahun, perlu diberi perhatian apabila mencatat bilangan mangsa tertinggi bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Statistik Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) menunjukkan, daripada 67 kes rogol yang berlaku sejak Januari hingga bulan lalu, 40 kes atau 60 peratus mangsa ialah remaja pada usia berkenaan dan sekali gus menimbulkan kebimbangan semua pihak.

Ketika mendedahkan perkara ini, Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, tahun lalu sebanyak 200 kes rogol direkodkan dengan 139 atau 70 peratus daripada mangsanya adalah remaja.

Beliau berkata, daripada segi peratusan atau jumlah remaja menjadi mangsa kerakusan lelaki, tidak banyak berubah khususnya dua tahun lalu apabila merekodkan 141 daripada 206 kes rogol keseluruhan.

“Begitu juga pada 2008 apabila 70 daripada 145 kes membabitkan golongan sama. Daripada maklumat diperoleh, kebanyakan kejadian berlaku di rumah mangsa dan suspek,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MWKS dan Perlantikan Ahli Majlis sesi 2011/12, semalam.

Fatimah berkata, rekod juga menunjukkan mangsa membabitkan golongan kurang upaya (OKU) termasuk kurang siuman, mengalami kecacatan mental dan kurang upaya lain.

Katanya, berikutan bilangan kes rogol membabitkan remaja meningkat, MWKS akan mengadakan pelbagai program, terutama berkaitan pendidikan bagi mengelak lebih ramai gadis menjadi mangsa.

“MWKS akan mengatur program bersama badan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan masyarakat. Malah, program bakal dijalankan memberi tumpuan kepada remaja di bandar dan luar bandar.
“Menerusi program ini, kita akan memberi pendedahan berhubung kebarangkalian menjadi mangsa rogol dan kesan daripada pergaulan bebas,” katanya.

Fatimah berkata, program pendidikan turut disertai golongan lelaki baik remaja mahupun dewasa supaya mereka lebih mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta lebih menghormati hak wanita.

Dalam pada itu, Fatimah menambah, statistik menunjukkan daripada 200 kes pada 2010, Kuching merekodkan bilangan tertinggi dengan 49 kes, diikuti Samarahan (26 kes), Sibu (24 kes), Miri (23 kes) dan Bintulu (18 kes).

Sumber : Metro

Padah maki anggota polis

KUALA KANGSAR: Seorang bekas ketua kampung didenda RM50 oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan mengaibkan terhadap anggota polis, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ridzuan Asit, 44, bekas Ketua Kampung Sungai Ati, Padang Rengas didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh didenda maksimum RM100 kerana memaki Koperal Omar Saari dari Balai Polis Kuala Kangsar.

Mohd Ridzuan yang juga Pengerusi Ketua Kampung Pakatan Rakyat Negeri Perak didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pasaraya Hari-Hari di Jalan Kangsar kira-kira jam 5.55 petang pada 9 Disember 2010 kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis menyaman kenderaan orang awam di hadapan pasar raya itu.

Majistret Noordura Mohamed Din menjatuhkan hukuman denda RM50 kepada tertuduh selepas Mohd Ridzuan membuat pengakuan bersalah.

Mohd Ridzuan yang tidak diwakili peguam, pada mulanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan kali pertama dibacakan dan Noordura yang mengenakan jaminan RM500, menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, 15 minit kemudian tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah menyebabkan Noordura memerintahkan tertuduh membayar denda RM50 atau penjara tiga hari jika gagal berbuat demikian.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Ridzuan yang ketika itu bersama seorang lagi rakannya mempertikai anggota polis berkenaan kerana menyifatkan tindakan saman itu tidak adil terhadapnya kerana tidak dikenakan terhadap orang lain yang melakukan kesalahan sama di lokasi sama.

Sumber : Metro

Bos gatal bayar RM25,000

SHAH ALAM: “Saya bersyukur,” kata bekas pembantu peribadi, Mas Anum Samiran, 37, selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintahkan bekas majikannya membayar RM25,000 sebagai ganti rugi kerana melakukan gangguan seksual terhadapnya, empat tahun lalu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia berharap kes itu memberi kesedaran kepada pekerja wanita senasib dengannya supaya tampil dan menggunakan saluran undang-undang.

“Jangan rasa rendah diri. Jika (anda) berada di pihak yang benar dan menggunakan saluran betul, keadilan akan berpihak kepada anda,” katanya. Dia yang kini mengikut suami yang berkhidmat dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Perth, Australia berkata, keputusan itu juga khabar gembira kepadanya dan keluarga selepas perjuangan yang mengambil tempoh beberapa tahun.
Bagaimanapun, wanita itu mengakui serik dan sedikit trauma untuk berkhidmat dengan majikan lelaki. Terdahulu, Hakim Sabariah Othman dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati plaintif dapat membuktikan ada gangguan seksual dilakukan bekas majikan wanita itu.

Justeru, katanya, mahkamah hanya membenarkan tuntutan plaintif terhadap ganti rugi teladan dan punitif sebanyak RM25,000.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tuntutan plaintif terhadap kehilangan pendapatan. Mas Anum memfailkan saman ganti rugi itu terhadap bekas Pengarah Negara sebuah syarikat multinasional, Othman Mohamed, 54, (defendan), di kaunter pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini, tahun lalu.
Berdasarkan penyata tuntutan itu, plaintif mendakwa defendan melakukan beberapa siri gangguan seksual termasuk memegang tangannya pada 13 November 2008 ketika mereka dalam perjalanan mengambil belon untuk sambutan ulang tahun syarikat. Plaintif yang terkejut dengan perbuatan itu meminta penjelasan, namun defendan bertindak menyentuh pipinya.

Defendan kemudian meneruskan gangguan seksual dengan bermain mata terhadap plaintif sambil menjilat bibirnya. Selain itu, plaintif mendakwa defendan memberitahu mahu memeluk dan menciumnya sebagai tanda sayang. Seterusnya plaintif mendakwa pada 12 Disember 2008, defendan menyatakan defendan melakukan gangguan seksual dengan merenung payudaranya. Justeru, plaintif mendakwa perbuatan defendan itu adalah gangguan seksual kerana majikannya mengetahui ia menakutkan dan menyebabkan kegelisahan, kebimbangan di samping perasaan terancam, malu, tertekan dan sakit hati.

Katanya, defendan juga menyalahgunakan kuasa dalam memaksa plaintif melayani perbuatan seksual dan apabila ditolak, defendan menafikan faedah pekerjaan yang sepatutnya diterima plaintif. Pada prosiding semalam, Othman hadir tetapi meninggalkan mahkamah selepas keputusan dibacakan. Mas Anum diwakili peguam bela, S Silas.

Sumber : Metro

Buruh mengaku miliki parang serang polis

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas kesalahan memiliki parang yang digunakan untuk menyerang anggota polis.
Ruddy Radzali, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pondok buruk di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini, pada jam 1.30 pagi, 23 Ogos lalu.

Dia yang menetap di Kampung Padang Nenas, Mengabang Telipot, di sini, didakwa sengaja memiliki parang iaitu senjata yang dijadualkan dalam Jadual Kedua, Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Tertuduh ditawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan Abdul Hayyi menetapkan 13 September ini sebagai tarikh jatuh hukum.


Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Balai Polis Gong Badak yang menjalankan Ops Pintu/Cantas/Lejang pergi ke sebuah pondok buruk di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini.

Setibanya di situ, mereka melihat tertuduh tidur di atas kerusi dan mengejutkannya serta memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa.
Ruddy kemudian bangun dan terus mencapai parang yang berada di sebelah kanan tempatnya tidur dan menyerang dua anggota polis lalu berlaku pergelutan antara mereka.

Tertuduh ditahan dan polis merampas sebilah parang sepanjang 20 inci yang digunakannya dalam kejadian itu.

Sumber : metro

Perompak ‘beraya’

AMPANG: “Perompak itu sempat menjamah biskut raya dan minum air sirap dalam peti ais seolah-olah beraya dalam rumah kami pula.

“Malah, mereka sempat meletakkan tiga gelas air itu dalam sinki. Mereka lakukan itu kerana tahu kami tiada di rumah,” kata pelawak, Imuda atau nama sebenar, Abdul Rahim Muda, 52.

Beliau yang juga penyanyi, pelukis serta pelakon popular menerusi sitkom komedi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, mendakwa mengalami kerugian hampir RM7,000 selepas barang berharga miliknya dilarikan kumpulan yang memecah masuk rumahnya di Jalan Mamanda 12, di sini.
Difahamkan, Imuda sekeluarga pulang beraya ke Pulau Pinang sejak 17 Ogos lalu bagi menyambut Aidilfitri sebelum pulang semula ke rumahnya, kelmarin.

“Saya tiba di rumah pada jam 3 petang semalam (kelmarin) dan langsung tidak menyedari rumah sudah dipecah masuk kerana tiada kesan umpil pada pintu. “Bagaimanapun, sebaik naik ke tingkat atas, saya terkejut melihat lima bilik berselerak. Malah, jeriji tingkap juga terbuka dengan kesan umpil,” katanya.

Selepas memeriksa, katanya, barang berharga seperti komputer riba, dua telefon bimbit dan empat jam tangan berjenama hilang.
“Saya tidak tahu bila rumah saya dipecah masuk kerana lebih 10 hari meninggalkan rumah. Malah, jiran juga tidak menyedari kejadian itu,” katanya. Menurutnya, kejadian itu kali pertama berlaku selepas setahun berpindah di situ bersama isteri, Zabarina Haja Mushadi Ali, 30, dan tiga anaknya Raihana, 17, Mohd Redza, 11, dan Muhammad Rayyan Ziqri, 17 bulan.

Menurutnya, beberapa bulan lalu, isterinya hampir diragut, namun kejadian disedari jirannya yang menjerit menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.
“Saya difahamkan, beberapa jiran lain juga pernah mengalami kejadian sama apabila rumah dipecah masuk dan menjadi mangsa ragut. “Saya bimbang keselamatan keluarga dan berharap polis mempertingkatkan rondaan di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi mengesahkan kejadian.

Sumber : Metro

Jumpa mayat tertiarap terikat dalam longkang

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal terkejut sejurus menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dengan kakinya diikat dalam longkang di Kilometer 14, Lebuhraya Shahpadu arah Klang menuju Pelabuhan Utara, petang kelmarin.

Ketika ditemui jam 5.20 petang itu, mayat lelaki terbabit hanya memakai seluar dalam dan tiada dokumen pengenalan diri pada pakaian mangsa.

Mangsa dianggarkan berusia 40-an dan berkulit cerah serta dipercayai warga asing berdasarkan tiada kesan suntikan BCG pada bahu kiri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Deputi Superintendan Yong Soo Koon ketika dihubungi berkata, mayat terbabit ditemui timbul pada permukaan longkang sedalam satu meter di tepi lebuh raya.

Katanya, hasil pemeriksaan awal, polis mendapati mayat terbabit dipercayai dibunuh berdasarkan kesan lebam yang terdapat pada dada selain kakinya diikat ke belakang pinggang menggunakan tali plastik jenis nilon.

Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan mayat lelaki terbabit sudah empat hari dicampak dalam longkang itu berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat.
“Pihak forensik gagal mengenal pasti kewarganegaraan mangsa kerana tidak menemui dokumen pengenalan ditemui padanya.

“Kami akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui tempat mangsa dibunuh dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi polis,” katanya.
Yong berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian juga diminta menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Sumber : Metro

Keputusan Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Berikut adalah keputusan perlawanan Piala Malaysia yang berlangsung di beberapa venue malam ini:

KUMPULAN A:

Johor (0) - Lions XII (0)
Selangor PKNS (1) - Johor FC (1)


KUMPULAN B:

Angkatan Tentera (1) - Kelantan (1)
Kedah (2) - Terengganu (1)


KUMPULAN C:


N.Sembilan (0) - Perak (0)
Felda United (2) - Sime Darby (3)


KUMPULAN D:


T-Team (0) - Selangor (1)
Pahang (6) - Sarawak (0)


Sumber Bernama

Penggali kubur maut tertimbus dalam lubang Kubur

TEMERLOH: Seorang penggali kubur maut selepas kubur yang sedang digalinya tiba-tiba runtuh dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penak, dekat sini, jam 10 pagi semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Mohd Zailan Hitam @ Hamid, 46, sedang menyiapkan liang lahad sambil diperhatikan bapanya yang berusia 60-an serta seorang rakan, Mohd Nasir Musa, 40.

Mohd Zailan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala lehernya patah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood ketika mengesahkan insiden itu berkata, Mohd Zailan sedang menyiapkan kubur seorang warga emas, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia malam kelmarin akibat sakit tua.

“Mohd Zailan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan lehernya patah. Insiden itu berlaku ketika mangsa sedang berusaha menyiapkan bahagian liang lahad.

“Secara tiba-tiba, tebing kubur runtuh dan menimbus keseluruhan badan mangsa. Mangsa tertimbus lebih setengah meter. Hanya kaki kanan mangsa saja dilihat terjulur keluar.
“Bapa, rakan serta beberapa penduduk yang berada di kawasan berkenaan menjalankan kerja awal untuk membantu menyelamatkan mangsa dengan mengorek tanah menggunakan tangan dan berjaya mengeluarkan mangsa beberapa minit kemudian.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Zundin berkata, polis menolak kemungkinan unsur jenayah dan menyifatkan sebagai kemalangan biasa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya semalam.

Sementara itu, sepupu mangsa, Zainal Abidin Mohamad Ali, 48, berkata kejadian itu berlaku kira-kira lima minit selepas dia pulang ke rumah Minah memaklumkan perkembangan kubur yang sedang digali.

“Tiba-tiba, saya menerima panggilan rakan memberitahu kubur yang digali itu runtuh dan menimbus arwah. Saya bergegas kembali ke tanah perkuburan dan sebaik tiba, saya lihat tangan dan kaki kanannya terjulur keluar. Kami mengorek tanah dengan tangan kerana bimbang dia cedera jika menggunakan cangkul.

“Ketika itu juga saya terdengar bunyi rengusan yang agak kuat dari arwah. Saya yakin arwah sedang berada dalam keadaan yang sangat sakit serta menderita. Hampir menitis juga air mata saya. Beberapa minit kemudian, kami berjaya mengeluarkannya dan ketika itu dia sudah nyawa-nyawa ikan. Dia meninggal sebelum ambulans tiba,” katanya.

Jenazah Mohd Zailan dikebumikan di tanah perkuburan sama.

Sumber : Metro

Simpati bawa maut

KOTA KINABALU: “Saya melihat darah mengalir deras dari leher adik sebelum dia rebah,” kata Faratih Daud, 55, menceritakan kejadian adiknya, Bibia Daud, 40, mati dikelar di leher oleh lelaki yang menumpang rumahnya di Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, kelmarin.

Seorang lagi penghuni rumah yang didiami beramai-ramai itu, Aminah Daud, 30, turut maut dalam kejadian jam 7 malam, namun kedua-duanya tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.


Kejadian itu turut menyebabkan suami Bibia, Ailin Aminung, 52, dan suspek yang berusia 30-an cedera parah selepas dipercayai berlaku pergelutan antara mereka.

Menurut Faratih, ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur sebelum terdengar bunyi bising di ruang tamu dan melihat Bibia memegang lehernya yang berlumuran darah.

Sumber : Metro

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor