KUALA LUMPUR - Senjata api jenis Steyr yang digunakan dalam cubaan melarikan RM253,000 di sebuah bank di Taman Muda, Ampang, Selasa lalu, dipercayai milik seorang anggota tentera berpangkat pegawai.Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa tentera.
“Kami memberitahu kepada Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) mengenai perkara itu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, semalam.
Ismail berkata, polis percaya terdapat suspek lain yang terlibat dalam insiden itu dan sedang mengesan individu terbabit.
Polis menemui senjata tersebut pada suspek yang ditembak mati seorang pengawal keselamatan dengan pump gun ketika hendak melarikan diri.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, polis sedang mengesan seorang suspek berhubung kes kehilangan Timbalan Presiden Komuniti Sukan Korea Selatan di Malaysia, Kim Chong Yong yang dilaporkan hilang sejak hujung Oktober dan dipercayai dibunuh.
“Polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang kini berada di luar negara. Kita minta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan suspek yang juga ada hubung kait dengan mangsa,” katanya.
Menurutnya, polis kini giat mengesan bukti selain mencari mangsa.
Kelmarin, polis mengesan isyarat telefon bimbit Chong Yong, 53, yang juga ahli perniagaan, di sekitar kawasan hutan antara Batu 14 hingga Batu 25 Jalan Gombak-Bentong dekat sini.
Sumber : Sinar



No comments:
Post a Comment