Translator

Sunday

Perompak ‘baik hati’

AJIL: “Melihat keadaan saya yang semput dan dahaga ketika diikat, seorang daripada empat perompak yang memecah masuk rumah kami semalam (kelmarin), ke dapur mengambil air untuk saya. Malah, dia juga mengurut kaki dan dada manakala ikatan tangan dan kaki saya dilonggarkan,” kata Alias Ibrahim, 52, menceritakan mengenai perompak yang baik hati itu.

Alias yang ditemui semalam berkata, melihat dia dalam kesakitan, seorang lagi perompak mengarahkan rakannya meletakkan bantal agar dia selesa walaupun ketika itu mereka sedang merompak rumahnya.

“Dalam kesibukan perompak itu memberi bantuan kepada saya, seorang perompak membuka kain penutup mukanya untuk menggigit parang bagi memudahkannya membantu saya,” katanya sempat melihat muka penjenayah itu.

Pemilik rumah yang juga peniaga buah kelapa sawit, Mohamed Saat, 59, dari Kampung Tok Randok di sini berkata, dia menyedari kejadian itu apabila isterinya Tuan Sharifah Tuan Sulong, 59, meninggikan suara apabila perompak mengacukan sebatang kayu ke dadanya.

“Ketika kejadian jam 2.30 pagi itu, saya terjaga daripada tidur dan terdengar isteri berkata selamatkan keluarga aku. Selepas itu kami seramai 12 orang, diarah berkumpul dalam tiga kumpulan.

“Mereka yang bertopeng dan bersenjatakan batang kayu serta parang, memasuki rumah saya melalui pintu depan dan keluar melalui pintu dapur,” katanya yang turut terkena satu pukulan batang kayu di dahinya ketika rompakan berlaku.

Menurutnya, dia kerugian wang tunai RM206,000 yang digunakan untuk perniagaan membeli buah kelapa sawit, barangan kemas RM150,000, sembilan telefon bimbit dan sebuah komputer riba. Katanya, wang tunai berkenaan baru dikeluarkannya dari bank petang kelmarin untuk urusan perniagaan dan disimpan dalam peti besi yang turut diumpil perompak berkenaan.

Menurut isterinya, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu rumah dan apabila terjaga mendapati empat lelaki berada dalam rumah dengan seorang mengacukan sebatang kayu ke dadanya.

“Seorang perompak meragut rantai leher saya dan mengarahkan menanggalkan gelang tangan serta merampas semua barangan kemas dipakai lima ahli keluarga wanita yang berada dalam rumah.

“Kami sekeluarga diikat dengan pelbagai jenis wayar yang dipotong di dalam rumah dan mereka mengumpulkan kami dalam satu bilik. Tiga kanak-kanak berusia lapan bulan, empat dan enam tahun serta ibu saya Long Mamat, 86, yang terlantar sakit tidak diikat,” katanya.

Menurutnya, perompak terbabit berada dalam rumahnya kira-kira 30 minit dan mengarahkan ahli keluarganya tidak bising bagi mengelak jiran menyedari kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.

Sumber : Metro

No comments:

Post a Comment

Backlink Terbaik

Kartikel Ping Blogged.my My Ping in TotalPing.com

Free SEO Tools

SYARAT DAN PENAFIAN

cercitor.blogspot tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui blog ini. dan Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian cercitor