Lima ditahan, 13 kes jenayah sekitar Perak dan Lembah Klang selesai
SHAH ALAM: Polis percaya dapat menyelesaikan 13 kes jenayah di sekitar Perak dan Lembah Klang berikutan penahanan lima orang yang disyaki terbabit dalam kes curi kereta mewah di Desajaya, Kepong Isnin lalu. Ketua Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata empat lelaki dan seorang wanita yang berumur 20 hingga 34 tahun itu ditahan sejak Isnin dan Selasa lalu.
"Kesemua suspek itu disyaki terbabit dalam kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan di Ipoh dan Manjung, Perak serta beberapa tempat sekitar Lembah Klang seperti Gombak, Ampang, Kepong dan Kajang sepanjang tahun ini," katanya.
"Polis turut merampas sebuah kereta berjenama Nissan Latio yang mempunyai nombor pendaftaran palsu. Kereta itu dilapor hilang di Bukit Jelapang, Perak 23 November lalu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Mohd Adnan berkata, kumpulan itu berjaya ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian melarikan sebuah kenderaan mewah jenis BMW yang ditinggalkan di bahu jalan tanpa mematikan enjin di Jalan KIP 1, Desajaya, Kepong, Isnin lalu.
Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, seorang lelaki melarikan kereta itu bersama-sama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang ditinggalkan dalam kereta berkenaan semasa bapanya pergi membeli makanan di sebuah restoran.
"Siasatan polis mendapati mangsa disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara dan polis yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menahan tiga lelaki dan seorang wanita di hotel itu pada pukul 2 petang 28 November lalu," katanya.
Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di sebuah hotel di Cheras pada 29 November.
Adnan berkata, ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua yang ditahan itu mendapati mereka positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A Kanun Keseksaan kerana menculik daripada penjaga yang sah.- BERNAMA
Sumber: Berita Harian
Tahniah Polis diraja Malaysia....
Namun masih Ramai lagi Kumpulan penjenayah diluar sana yang bermaharajalela...
Kita sebagai masyarakat harus lah sentiasa membantu dalam memberi maklumat....
Dimana la akal penjenayah ini asyik ambil barang orang lain ajer....
Cer citor apakah hukuman yang paling sesuai untuk mereka ini....



No comments:
Post a Comment