Mahkamah Tinggi kekal hukuman terhadap majistret
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengekalkan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen terhadap seorang majistret atas pertuduhan menerima rasuah yang dilakukan dua tahun lalu.Hakim Datuk Azman Abdullah ketika membacakan penghakimannya, berkata keputusan Hakim Sabariah Othman terhadap Mohd Firdaus Ramlan, 29, pada 3 Oktober tahun lalu adalah tepat.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Firdaus, majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang, dituduh menerima suapan RM3,000 daripada Md Shani Ishak di Stesen Minyak Esso, Machang pada 10.30 malam, 11 Oktober 2009 sebagai dorongan untuk meringankan hukuman mendapatkan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.
Dalam pertuduhan kedua, Mohd Firdaus dituduh meminta suapan sebanyak RM5,000 daripada Md Shani atas tujuan sama di bilik Majistret Mahkamah Kuala Krai pada 9 pagi, 6 Oktober 2009.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Pada prosiding hari ini, Azman, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam bela Mohd Firdaus, Datuk Shukri Mohamed untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas anak guamnya itu selesai membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Mohd Sophian Zakaria. - BERNAMA
sumber : Berita Harian
Sepatutnya majesterit ini dikenakan hukuman yang lebih berat
Dia yang kita harapkan menegakkan keadilan....
Rupanya keadilan yang ditegakkan mesti berduit....
Cer citor kenapa jadi macam ini?




No comments:
Post a Comment